Sebelum ini, Janna pernah berkongsi penyakitnya itu menerusi laman Instagram (IG). Menerusi entri IG, pengacara Melodi itu turut mendedahkan pernah dua kali cuba membunuh diri kali sepanjang hidupnya.
Bagaimanapun, Janna mengakui, dirinya berada dalam keadaan stabil.
Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu berkata, pendedahan beraninya itu bukan berniat mahu membuka aib dan pekung sendiri.
“Saya masih menjalani rawatan dengan pakar psikiatri. Boleh dikatakan hampir setiap minggu saya bertemu doktor.
“Alhamdulillah, keadaan saya semakin stabil. Saya kini perlu mengambil ubat yang ditetapkan doktor.
“Saya sedar pendedahan yang dilakukan ini meletakkan diri sebagai manusia normal. Saya juga tidak sempurna. Saya fikir diri saya normal selama ini, namun ia sebaliknya,” katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner berkata, dia kini terpaksa membiasakan diri dengan kesan ubat yang dimakan.
“Kesukaran memakan ubat berlaku ketika bekerja, ia memberi kesan saya menjadi terlalu tenang dan ada kalanya cepat mengantuk.
“Setakat ini, saya sudah tiga kali menukar ubat. Ada yang tak sesuai dengan saya.
“Walaupun ada ubat yang tidak sesuai, namun mengambilnya adalah solusi terbaik menangani masalah saya,” katanya.
Ditanya reaksi keluarga di atas pendedahannya, Janna berkata, awalnya, mereka sangat terkejut.
“Mereka tidak menjangka saya berada sampai tahap ini, termasuk dua kali cubaan membunuh diri.
“Keluarga tidak tahu, keadaan emosi saya serumit ini. Jujurnya, saya melihat masyarakat tidak terbuka atau peka dengan masalah kesihatan mental. Mereka ingat saya bertindak keterlaluan dan cuba mencari perhatian.
“Saya akui terkejut apabila mendapat tahu penghidap gangguan bipolar. Saya ingat, saya manusia normal. Namun, tindakan pantas pada saat berdepan situasi ini adalah mencari pakar atau berjumpa doktor,” katanya.
Terdahulu, Janna menjayakan sidang media secara virtual anjuran TV3 bersama Elisya Sandha.
Janna dan Elisya membintangi telefilem Misteri Mona Kuserumu Kembali yang akan disiarkan pada hari raya ketiga, jam 10 malam di TV3.
Selain itu, Janna turut mengacarakan Melodi Raya 2021 bersama Awal Ashaari bagi dua episod pada 16 dan 23 Mei ini.
Tidak ketinggalan, Janna mengarahkan telefilem kedua berjudul Jeti yang akan disiarkan pada hari raya.
*Sumber: Berita Harian