‘Janji Zehan’ merupakan naskhah terbaharu arahan sutradara hebat, Bernard Chauly dan Zabrina Fernandez, yang bakal bersiaran di Astro First Eksklusif Saluran 480 dan platform digital ‘on demand’ mulai 14 Februari (Rabu) ini.
Mengisahkan tentang percintaan dua individu yang baru berkahwin dan berbeza latar belakang, bahasa serta budaya, ‘Janji Zehan’ turut mengangkat keindahan panaroma negara Timur Tengah; Iran, dan keunikan budaya masyarakatnya yang masih mengekalkan tradisi lama dalam kehidupan moden hari ini.
Keseluruhan sesi penggambaran filem televisyen (FTV) ini telah dijalankan di negara tersebut dan mendapat sokongan dari Kementerian Pelancongan Negara Iran dan Kedutaan Besar Republik Iran di Malaysia. Syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia turut hadir sebagai rakan penaja untuk penerbitan ini.
INFO PENTING BERKENAAN ‘JANJI ZEHAN’
1. Dengan tajuk asal dalam bahasa Iran, ‘Lahzeye Bi Payan’ yang bermaksud “Dalam Satu Detik Masa Yang Tiada Pengakhirannyaâ€, ‘Janji Jehan’ sekali lagi menampilkan gabungan hebat di antara Nur Fazura dan Bernard Chauly. Kerjasama terakhir mereka adalah untuk filem ‘Manisnya Cinta di Cappadocia’ terbitan Astro Shaw pada tahun 2014.
2. Menerusi kolaborasi tersebut juga, Fazura dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27 (2015). Selain dari ‘Manisnya Cinta di Cappadocia’, Bernard pernah bekerjasama dengan Nur Fazura dalam karya-karya hebat beliau seperti ‘Gol & Gincu’ (2005), ‘Pisau Cukur’ (2009) dan ‘Istanbul Aku Datang’ (2012).
3. Selain Bernard, turut menduduki kerusi Pengarah adalah Zabrina Fernandez dan ini merupakan filem pertama arahan beliau. Zabrina sebelum ini lebih aktif dengan tugasan di belakang tabir sebagai Penerbit Kreatif dan Pengarah untuk program-program realiti dan gaya hidup (lifestyle) tempatan dan antarabangsa.
4. Dalam FTV ini, kedua-dua Zabrina dan Bernard yang berpengalaman hampir 20 tahun dalam industri seni banyak mengangkat elemen kebudayaan, keindahan tapak-tapak warisan bersejarah di sekitar Iran dan keunikan makanan tradisi masyarakat Timur Tengah ini.
5. ‘Janji Zehan’ yang berdurasi 90 minit ini bergenre drama dan romantik, serta menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan.
6. ‘Janji Zehan’ merupakan kerjasama Astro First Eksklusif bersama Wildsnapper TV Sdn. Bhd. Produksi ini pernah terlibat dalam penerbitan program-program realiti berskala besar dan bertaraf antarabangsa seperti ‘The Apprentice Asia S1’, ‘Supermodel Me S5’, ‘Asia’s Got Talent’, ‘The Amazing Race S4 & S5’, ‘Fear Factor Malaysia S2’ dan banyak lagi. ‘Janji Zehan’ merupakan percubaan pertama Wild Snapper TV dalam menerbitkan sebuah filem televisyen.
7. ‘Janji Zehan’ turut merupakan kolaborasi pertama di peringkat antarabangsa buat pelakon kelahiran Iran, Amir Rezazadeh, 35 tahun. Selain terlibat dengan lakonan, Amir yang turut aktif sebagai seorang model pernah menghiasi pentas peragaan utama di sekitar negara Timur Tengah dan India.
8. Selain dibintangi Nur Fazura (Jehan) dan Amir Rezazadeh (Arman), pelakon hebat Bront Palarae turut membuat penampilan khas dalam FTV ini sebagai abang kepada Nur Fazura yang bernama Faizal.
9. Salah sebuah lagu Nur Fazura dari album terbaharunya, ‘Fazura’, yang bertajuk ‘Cinta Langka’ turut digunakan sebagai lagu latar untuk FTV ‘Janji Zehan’. Lagu tersebut merupakan dendangan duet di antara Nur Fazura dan Ariadinata dari kumpulan popular Indonesia, Samsons, dan diterbitkan oleh Universal Music Sdn. Bhd. pada bulan November tahun lalu.
10. Selain dari jalan penceritaan yang menarik, ‘Janji Zehan’ turut mengangkat keindahan lokasi-lokasi istimewa dan bersejarah di sekitar negara Iran seperti di Shiraz dan Yazd yang cukup mempesonakan.
Di antara lokasi penggambaran utama termasuklah:
➢ Nasir Ol Molk Mosque, Shiraz
Dibina pada tahun 1888 ketika era Qajar dan lebih dikenali sebagai ‘Pink Mosque’.
➢ Kota Persepolis
Lokasi bersejarah yang turut dikenali sebagai ‘Takht-e-Jamshid’ dan terletak kira-kira 60km di utara dari bandar Shiraz
➢ Hafeziye, Shiraz
Dibina seawal abad ke-14 bagi mengingati penyair tersohor Parsi bernama Hafez
➢ The ‘Old City of Yazd’
Salah satu bandar tertua di dunia
➢ The ‘Cypress Tree of Abarkuh’
Dipercayai sebagai pokok tertua di dunia dan dianggarkan berumur lebih dari 4,000 tahun
11. Keseluruhan penggambaran ‘Janji Zehan’ telah diadakan di 43 lokasi utama di sekitar Iran terutamanya di Shiraz dan Yardz, serta mengambil masa selama 12 hari untuk diselesaikan.
PETIKAN KENYATAAN
Sharmin Parameswaran, Ketua Saluran Astro First Eksklusif & Astro Best:
Sekalung penghargaan diucapkan kepada Kedutaan Besar Republik Iran di Malaysia yang telah memberikan sokongan padu dalam menzahirkan projek ini sejak dari hari pertama lagi. Kerjasama baik anda amat kami hargai.
Pada masa yang sama, produksi yang bertanggungjawab di sebalik ‘Janji Zehan’ ini iaitu Wildsnapper TV Sdn. Bhd. telah berjaya menzahirkan sebuah karya yang begitu indah. Gandingan sulung kedua-dua pelakon utama, Nur Fazura dan Amir Rezazadeh, telah mencetuskan sebuah kisah cinta dua benua yang cukup mengasyikkan dan penuh dengan keunikan, terutamanya di sebalik perbezaan budaya, latar belakang dan bahasa pertuturan. ‘Janji Zehan’ merupakan filem televisyen pertama terbitan produksi ini dan kami lihat, Wildsnapper telah berjaya membuktikan kemampuan mereka. Kami turut merasakan bahawa gabungan Bernard Chauly dan Zabrina Fernandez di sebalik lensa kamera sebagai Pengarah ternyata berkesan. Syabas diucapkan kepada semua yang terlibat.â€
Bernard Chauly, Pengarah ‘Janji Zehan’:
Ketika di Iran, Fazura ada memaklumkan kepada saya yang beliau bakal berkahwin, justeru sesi penggambaran kami dilihat lebih bermakna kerana saya dan Fazura kerap kali berbincang mengenai fasa baru alam perkahwinan yang bakal beliau tempuhi, harapan dan keinginannya. Kebetulan, ketika berlangsungnya penggambaran, Fazura sedang dilamun cinta bersama suaminya kini, Fattah Amin. Saya doakan hubungan mereka dilimpahi kebahagiaan.
‘Janji Zehan’ atau judul asalnya ‘Lahzeye Bi Payan’ merupakan sebuah kolaborasi yang cukup bermakna di antara Malaysia dan Iran. Iran merupakan sebuah negara yang cukup indah dan rakyatnya pula sangat peramah. Anda pasti jatuh cinta di saat menjejakkan kaki di buminya. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kedutaan Besar Republik Iran di Malaysia dan Kementerian Pelancongan Iran di atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan naskhah ini.
Saya turut berbesar hati di atas kepercayaan dan sokongan dari pihak produksi, Wildsnapper TV dan Astro First Eksklusif. Dalam pada itu, menerusi FTV ini juga saya berpeluang bekerja dengan lebih rapat lagi dengan pengarah bersama saya, Zabrina Fernandez, dan Joanna Lee dan Zena Choo yang bertindak sebagai Penerbit Eksekutif.
Akhir kata, saya berharap anda semua akan terhibur dengan ‘Janji Zehan’. Filem ini adalah filem untuk semua, tanpa mengira bangsa dan latar belakang. Jangan lupa, 14 Februari ini di saluran Astro First Eksklusif.
Zabrina Fernandez, Pengarah ‘Janji Zehan’:
Dalam pada itu, saya amat berpuas hati dengan persembahan setiap pelakon ‘Janji Zehan’. Masing-masing berjaya menjiwai watak dengan baik. Watak yang digalas Nur Fazura sebagai Zehan pula sangat dekat dengan hati saya dan beliau berjaya menyampaikannya dengan cemerlang. Dedikasi yang ditunjukkan Nur Fazura dan Amir membuatkan saya cukup berpuas hati dengan hasil akhir FTV ini.
Kami berbesar hati dengan sokongan yang diberikan oleh semua pihak sama ada di Malaysia dan di Iran dalam menjayakan naskhah ini. Kerajaan Iran, Astro dan penerbit bersama kami, Dr. Hossein Nejad, masing-masing telah memberikan komitment dari awal sehingga berakhirnya penerbitan ‘Janji Zehan’. Perbezaan budaya adalah sesuatu yang perlu diraikan, sama seperti sebuah cinta yang tulus ikhlas. Ia menjadikan kita semua bersatu tanpa memandang perbezaan budaya, adat, bahasa, mahupun latar belakang. Cinta itu adalah unik dan tidak perlu dibatasi oleh apa-apa.â€
BUTIRAN SIARAN
‘Janji Zehan’ bakal bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 14 Februari 2018 (Rabu) ini. Dengan hanya RM 15.90 (termasuk 6% GST), penonton boleh menonton ‘Janji Zehan’ dengan berulang kali dalam tempoh 48 jam (2 hari) dari waktu pembelian.
Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ‘Janji Zehan’ boleh turut didapati menerusi platform digital, ‘on demand’.
SINOPSIS ‘JANJI ZEHAN’
‘Janji Zehan’ mengisahkan tentang Zehan (lakonan Nur Fazura), seorang penerbit TV yang berjaya dan Arman (lakonan Amir Rezazadeh), seorang usahawan makanan berasal dari Iran, yang baru mendirikan rumahtangga dan kini dalam perjalanan menuju ke negara Timur Tengah itu untuk percutian bulan madu dan mencipta sebuah pengalaman romantis dalam fasa baru hidup mereka.
Namun begitu, pengalaman malam pertama mereka tidak seperti yang diharapkan. Kedua-dua mereka mula menyedari akan kekurangan masing-masing, dan disebabkan perkara-perkara kecil sahaja, Zehan dan Arman mula mempertikaikan sama ada keputusan untuk berkahwin di buat secara terburu-buru.
Keesokan harinya, Zehan dan Arman cuba berbaik semula, namun begitu kedua-duanya kelihatan tidak selesa dan kegembiraan yang diinginkan masih tidak menjelma. Arman kemudiannya membawa Zehan pulang ke kampungnya untuk diperkenalkan kepada nenek beliau. Walaupun kehadiran Zehan begitu dialu-alukan oleh nenek Arman, perbezaan budaya dan bahasa menyukarkan proses komunikasi mereka. Zehan kemudiannya cuba memenangi hati nenek Arman dengan menyediakan salah satu masakan tradisi istimewa negara Iran, ‘Ghormeh Sabzi’.
Ketika keadaan mula beransur pulih, panggilan telefon yang diterima Arman dari keluarga Zehan di Malaysia mencetuskan sedikit ketegangan. Arman sebelum ini dihubungi abang Zehan, Faizal (lakonan Bront Palarae) di mana beliau dimaklumkan bahawa ibu Zehan telah dimasukkan ke hospital. Khuatir Zehan akan risau dan terganggu ketika percutian bulan madu mereka yang masih berbaki dua hari lagi, Arman mengambil keputusan untuk tidak memaklumkan perkara tersebut kepada Zehan. Lagipun, Faizal sebelum itu ada memberitahu Arman bahawa beliau akan menghubunginya lagi untuk memaklumkan keadaan ibu dari semasa ke semasa.
Namun begitu, pada hari terakhir percutian mereka, Arman membuka mulut dan memberitahu Zehan mengenai keadaan ibunya yang kini berada di hospital. Zehan marah, sedih dan dilihat mula hilang pertimbangan. Ibunya adalah segala-galanya untuk Zehan Seorang ibu tunggal yang sangat kental jiwanya dan pengorbanan beliau membesarkan Zehan dan Faizal bersendirian tidak mungkin boleh dibalas semula.
Bagaimana pula dengan Arman? Beliau mencuba untuk memberikan kebahagiaan hakiki kepada Zehan. Sebuah destinasi cinta yang tidak terkata keindahannya. Mahukah Zehan memaafkan Arman? Saksikan pengakhirannya dalam ‘Janji Zehan’, Februari ini.