Bernaung di bawah syarikat rakaman Faithful Music, Aziz mula mencipta populariti menerusi lagu ‘Senyum’ sejak tahun 2014. Kali terakhir muncul dengan lagu ‘Jauh’ pada April tahun ini, yang berjaya tersenarai dan mencapai tangga #7 dalam Carta RIM ‘Top 10 Lagu Tempatan Yang Paling Banyak Distrim di Malaysia’. Kini penyanyi muda yang berpotensi besar ini cuba mencipta rekod baru dengan single terbaharunya, “Kembali”.
Single terbitan Faithful Music dan edaran Warner Music Malaysia ini merupakan ciptaan komposer Romeo dan Mage yang pernah terlibat dalam menghasilkan banyak lagu-lagu hits terbitan Faithful Music seperti ‘Ragaman’ nyanyian Faizal Tahir dan ‘Sebentar’ nyanyian Dayang Nurfaizah.
Setelah kejayaan balada ‘Jauh’, Aziz kembali mempertaruhkan lagu berentak rancak dalam “Kembali”.
Aziz yang kini sedang melanjutkan pelajarannya di University of East Anglia, United Kingdom menyifatkan single terbaharunya ini sebagai hadiah istimewa buat peminat yang tetap setia menyokongnya walaupun kini dia jauh beribu-ribu batu.
“Meskipun sibuk menggalas tanggungjawab sebagai pelajar, muzik adalah cinta saya. Peminat adalah sumber inspirasi saya. Walaupun saya tiada di sini untuk tempoh dua tahun, tetapi saya tidak akan berhenti berkarya dan terus menyepi. ‘Kembali’ adalah surat cinta saya buat peminat.”
– Aziz Harun
Sebagaimana lagu-lagunya sebelum ini, Aziz turut berharap agar single “Kembali” mendapat tempat di hati pendengar dan memeriahkan lagi suasana industri muzik di rantau ini.
Single “Kembali” boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 13 DISEMBER 2019.