Jika negara-negara Asia lain seperti Thailand, Korea dan Jepun boleh berbangga dengan filem-filem seram mereka, selepas ini kita boleh berbangga dengan terhasilnya Jangan Pandang Belakang. Dengan bajet mencecah RM1.5 juta, Jangan Pandang Belakang telah menjalani pengambaran di sekitar Kuala Kangsar dan Ipoh, Perak sebanyak 60 peratus dan baki 40 peratus akan dihabiskan di sekitar Kuala Lumpur. Jangan Pandang Belakang adalah filem ketiga Ahmad Idham bersama Metrowealth Movies Production selepas Remp-it dan Tentang Bulan.
Yang Menarik Tentang Filem
Filem ini membariskan Pierre Andre sendiri sebagai pelakon utama. Beliau digandingkan dengan dua orang pelakon baru di bawah naungan MIG Talent iaitu Intan Ladyana dan Rio Elani. Intan pernah berlakon sebagai Tipah dalam Tipah Tertipu The Movie manakala Rio merupakan bintang baru yang dikenalpasti dapat diketengahkan bakatnya.
Sudah pasti filem ini tidak akan lengkap tanpa kolaborasi pelakon baru dan bintang lama. kehadiran Khatijah Tan, Rusminah Sidek, Kamarul Yusoff, Jalaludin Hassan, Dian P. Ramlee dan beberapa orang artis veteran lagi pasti membuat filem ini lebih meninggalkan kesan di hati penonton.
Gabungan para pelakon ini dimantapkan lagi dengan sokongan dari make up artist berpengalaman yang bertanggungjawab merealisasikan imaginasi penulis skripnya ke dalam bentuk visual. Pihak produksi juga telah menggunakan khidmat stuntman bagi menghidupkan beberapa babak khas.
Kejadian yang menimpa salah seorang stuntman semasa pengambaran ini meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada semua yang terlibat. Namun, ia akan dijadikan azam untuk menjadikan Jangan Pandang Belakang ini sebuah filem yang hebat.
Bagi peminat filem seram anda akan dapat saksikan Jangan Pandang Belakang pada 5 APRIL 2007 nanti. Perkembangan lain, MMP akan sekali lagi turun ke lokasi untuk pengambaran filem 9 SEPTEMBER 2006 dan awal Februari 2007 nanti.
Berikut beberapa foto adegan menarik.