Tiga janda muda berhijrah ke Kuala Lumpur untuk meninggalkan masa lepas yang penuh kepahitan. Dengan menjalankan kehidupan mengikut kebolehan diri dan terpaksa melalui liku-liku hidup yang penuh dengan cabaran, terutamanya dari masyarakat sekeliling. Kehidupan di bandar besar ini juga menemukan mereka dengan jodoh yang tidak disangka.
Kisah ini melatari drama bersiri “Janda Muslimah” yang sedang bersiaran di TV2 setiap Sabtu, pukul 3.00 petang.
Kisah Janda Muslimah Cari Calon Suami Di TV2
Bermula kisah dengan tiga janda kawan sejati sejak kanak-kanak, Ustazah Maryam (Intan Ladyana), Munawarah (Julia Ziegler) dan Latifah (Sharifah Nadia), yang bertekad berpindah dari Perlis ke K.L. Masing-masing mempunyai pengalaman pahit, mahu berhijrah. Latifah ditinggalkan Jalil, suaminya sehari selepas berumah-tangga dan dihina serta dibenci oleh emak mertuanya. Maryam pula menjanda sebab diduakan oleh suaminya, Basir yang bercinta dengan seorang janda. Sementara Munawarah yang bercita-cita menjadi seorang usahawan, menjanda setelah suaminya meninggal dunia.
Mereka mempunyai matlamat utama, untuk pulang dengan segenggam kejayaan diri. Latifah dan Maryam pergi dengan iringan nostalgia kesedihan tetapi Munawarah pergi dengan iringan doa seorang lelaki kampungnya, Mazlan. Di K.L., mereka tinggal di rumah Maksu dekat Kampung Baru, berjiran dengan dengan Zahir (Aqasha), seorang pegawai tentera yang sempat Latifah lemparkan satu senyum dikala pertama kali bertentang mata.
Latifah terbayangkan pertemuannya dengan Zahir, yang kini sedang berkenalan dengan Munawarah. Zahir yang menduda, diminta oleh Wan (Wan Raja), teman serumahnya, meminta diberi laluan peluang mendapatkan jiran baharu mereka. Zahir terlanggar pokok ketika memandu motosikalnya sambil matanya asyik memandang Latifah yang berada di perhentian bas. Dia menceritakan kepada Wan yang memberi komen tentang sikap Maryam yang garang. Maryam mencari kerja di sekolah, tetapi belum ada jawapan yang menerimanya. Latifah mencadangkan agar Maryam buka kelas agama di rumah mereka.
Munawarah tegur sikap Maryam yang mendendami bekas suaminya dan dilepaskan kepada jiran mereka. Ketika bersendirian di dalam rumah, Munawarah mengambil peluang memasak nasi goreng untuk diberi kepada Zahir. Tetapi bekas nasi di tangan Zahir terjatuh ketika melihat Rona (Lana Nordin), janda yang baru berpindah berdekatan.
Mereka bertiga dipelawa menghadirkan diri untuk gotong royong di masjid bagi sambutan Maulidul Rasul. Mereka melihat Rona berkenalan dengan dua jiran lelaki mereka dan terdengar jiran memuji sikap Rona yang sanggup berjalan untuk berkenalan dengan jiran. Keesokan harinya, Munawarah dan rakan serumah melakukan perkara yang sama sebagaimana Rona buat, untuk berkenalan dengan jiran sekampung. Latifah dan Munawarah cuba memikat Zahir dengan membuat lauk.
Pada hari gotong royong, mereka pergi ke masjid untuk membantu dan terperanjat melihat Rona juga ikut serta membuat bubur lambuk bersama kaum lelaki. Mereka terdengar puak lelaki asyik memuji Rona sahaja. Marah ketiga janda semakin meluap apabila terdengar Rona yang memakai bajung kurung sendat, mengajak Zahir ke kelab dangdut. Maryam tergoda mendengar suara azan, lantas dia mengajak Latifah untuk bersolat di masjid.
Maryam yang hairan dengan gelagat dua teman serumahnya yang berebutkan Zahir. Zahir membuat perhubungan dengan kedua jirannya. Bagi Wan pula, dia mahu Zahir berikan keputusan siapa di antara mereka bertiga yang menjadi pilihan hatinya. Zahir mencadangkan Wan mendekati Latifah sedangkan pada masa yang sama, Latifah bersedih dan Maryam memberi nasihatnya agar perhubungan mereka bertiga serumah dikekalkan. Munawarah dan Latifah memang berperang dingin di antara mereka.
Maryam tenang dan tergoda mendengar suara Ustaz Raykal (Fizz Fairuz), Imam Muda memberi kuliah. Maryam menceritakan hal Raykal kepada Latifah tetapi Latifah memperli Munawarah inginkan buah hatinya. Munawarah gembira dengan jualan di warung pakaiannya. Maryam mencadangkan agar Munawarah membuka butik.
Maryam terus menasihati Latifah agar berbaik dengan Munawarah dan ketepikan Zahir. Rona yang mabuk, baru pulang dari tempat kerjanya di waktu subuh, menegur ustaz di tepi jalan. Teguran Ustaz Raykal membuat Rona sedia meninggalkan tabiatnya dan pergi bersolat berjemaah di masjid. Kehadiran Rona memeranjatkan Maryam dan Munawarah dan perubahan pada Rona menjadi bualan kaum ibu. Zahir terjatuh dari motosikalnya ketika menegur Latifah dan meminta bantuannya, tetapi Latifah tidak melayannya.
Saksikan kesudahan 13 episod drama terbitan Rumah Karya Citra ini.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.