Jalil atau nama sebenarnya, Abdul Jalil Abdul Hamid, 66, menjelaskan antara tanda awal dialami adalah gangguan pernafasan yang terjadi sejak dahulu.
“Saya sudah dibenarkan pulang, semalam. Pada awalnya, saya rasa sesak nafas dan pergi mendapatkan rawatan di hospital.
“Kemudiannya, doktor memaklumkan saya ada masalah berkaitan jantung.
“Bagaimanapun, saya dibenarkan ke rumah, semalam selepas menerima rawatan di hospital,”
Jalil yang juga pelakon filem Zombi Kampung Pisang itu menjelaskan, buat masa ini, dia hanya menunggu keputusan dan panggilan daripada hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.
“Doktor ada menjalankan ujian darah dan akan memaklumkan kepada saya tarikh hadir semula ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Buat masa ini, saya berada di rumah dan tahap oksigen juga perlu dipantau rapi,” katanya.
Dalam masa sama, Jalil berkata, dia menolak berada di wad hospital kerana mahu memberi ruang kepada pesakit lain yang lebih memerlukan.
“Sebenarnya, saya masih perlu dirawat di hospital. Tetapi, saya rasa kasihan melihat pesakit lebih teruk, saya minta untuk pulang dan berehat di rumah sahaja.
“Saya lihat ada sesetengah pesakit yang tak dapat katil dan ada yang perlu menunggu lama. Ada juga saya lihat berbaring di laluan hospital. Jadi, saya beritahu pihak hospital untuk pulang,” katanya.
Terdahulu, berita keadaan terkini Jalil dikongsi pelakon dan pengarah berpengalaman, Fauziah Ahmad Daud menerusi hantaran dalam Instagram (IG) yang turut memaparkan rakannya itu berada di zon kuning ICU.