Penyanyi terkenal Indonesia, Afgan dan Marcell serta penyanyi Malaysia, Dayang Nurfaizah bakal mengadakan persembahan secara langsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 28 dan 29 Mac 2014. Afgan bakal beraksi pada 28 Mac ini melalui konsert yang dinamakan “L1Ve To Love” diikuti dengan konsert gandingan Marcell dan Dayang Nurfaizah yang berjudul PESONA CINTA pada 29 Mac nanti.
Ini merupakan persembahan pertama yang bakal menggandingkan Marcell dan Dayang Nurfaizah dan persembahan pertama bagi ketiga-tiga artis untuk beraksi di pentas Istana Budaya. Dengan gabungan genre muzik pop, soul, R&B, dan jazz, keupayaan vokal mereka bukan sahaja dipuji oleh peminat, bahkan pengkritik muzik.
[pullquote]Buat julung kalinya, penyanyi popular dari Indonesia, Afgan Syahreza atau lebih mesra dengan panggilan Afgan bakal membuat konsert solo di negara ini. Menggunakan tajuk album ketiga beliau yang terbaru iaitu “L1ve To Love”, Konsert ‘Afgan L1ve To Love’ di Istana Budaya, Kuala Lumpur akan berlangsung pada 28 Mac 2014 ini.[/pullquote]
Namanya mula melonjak naik selepas memenangi anugerah Artis Lelaki Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2009, walaupun sebelum itu sudah menjadi sebutan dalam industri hiburan Indonesia. Kerjayanya terus berkembang apabila beliau memenangi lebih daripada 19 anugerah untuk vokal dan lagu-lagu nyanyiannya, yang sentiasa mendapat sambutan daripada peminat muzik. Afgan turut menyanyikan lagu tema istimewa untuk Southeast Asian Games 2011.
Peminat-peminat Afgan semestinya tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan beliau di Panggung Sari yang bakal mendendangkan lagu-lagu popular daripada album beliau seperti ‘Terima Kasih Cinta’, ‘Sadis’, ‘Tanpa Batas Waktu’, dan banyak lagi.
Sebuah lagi acara anjuran JAG Events yang akan diadakan sehari selepas konsert Afgan, pentas Istana Budaya akan digegarkan pula dengan persembahan dua nama besar Malaysia dan Indonesia iaitu Dayang Nurfaizah dan Marcell.
Marcell, penyanyi solo yang telah menghasilkan! tiga buah album serta! merangkul pelbagai anugerah termasuklah ‘Anugerah Artis Lelaki Terbaik’ di Anugerah Planet Muzik bakal digandingkan dengan Dayang Nurfaizah yang telah diiktiraf sebagai ‘Vokal Wanita Terbaik’ di Anugerah Industri Muzik 20 pada tahun 2013.
Kedua-dua penyanyi ini yang terkenal dengan kehebatan vokal mereka dan sentiasa membawa muzik pop dan R&B dengan gaya mereka yang tersendiri akan bersatu di atas pentas yang sama dalam konsert ‘Marcell & Dayang Pesona Cinta’ pada 29 Mac 2014 di Panggung Sari, Istana Budaya.
Peminat semestinya akan ternanti-nanti untuk menyaksikan paduan dua vokal yang mantap ini. Dayang dan Marcell bakal menghiburkan peminat dengan deretan lagu-lagu popular masing-masing dalam konsert yang akan berlangsung selama dua jam ini.!

Kedua-dua konsert adalah dibawa khas oleh JAG Concerts & Events (JAG), yang terkenal dengan penganjuran persembahan penyanyi- penyanyi tersohor antarabangsa di Kuala Lumpur. Antaranya ialah Michael Bublé, David Foster and Friends, serta Diana Ross. Konsert daripada penyanyi-penyanyi bertaraf antarabangsa yang diadakan sejak tiga tahun lepas hanyalah langkah permulaan bagi JAG.
Seperti yang dinyatakan oleh R. James Alexander Ali Simargolang, pemilik dan pengasas JAG:
“Konsert Afgan, Marcell dan Dayang Nurfaizah merupakan acara pertama kami untuk tahun 2014. Pada bulan-bulan yang akan datang, JAG akan membawa lebih banyak penyanyi bertaraf antarabangsa serta penyanyi serantau Asia dari pelbagai genre muzik ke Kuala Lumpur yang bakal memukau dan memenuhi citarasa para peminat. Kami berasa bangga kerana dapat memeriahkan lagi industri muzik Malaysia. Seperti yang kita sedia tahu, peminat di Malaysia juga sentiasa teruja untuk menyaksikan persembahan artis dari Nusantara secara langsung.”
Tiket untuk menyaksikan konsert anjuran JAG Events ini berharga RM150, RM250, RM350, RM450 dan RM550 dan boleh didapati di laman web www.jagtickets.com.