in

Jadual Perlawanan Siaran Langsung Live EURO 2012

ALAMI KEHANGATAN DEMAM EURO 2012
Saksikan Secara Percuma Siaran Langsung Di TV3 Dan Siaran Ulangan Di ntv7!

DEMAM EURO 2012 MELANDA! Selepas Austria dan Switzerland, kini tiba giliran Poland dan Ukraine menjadi tuan rumah bersama kejohanan Bola Sepak terunggul benua Eropah.

Menampilkan 16 buah negara termasuklah jagoan Eropah seperti juara bertahan, Sepanyol, Itali, Perancis, Jerman, Belanda dan England, malah, penampilan pasukan seperti Russia, Denmark, Croatia dan lain-lain juga tidak harus dipandang enteng kerana mereka juga mencatatkan keputusan yang memberansangkan di peringkat kelayakan.

Berita baik buat peminat fanatik bola sepak, Media Prima dengan tema “Real Fans Real Football” akan membawakan kepada anda 16 perlawanan EURO 2012 secara langsung di TV3 manakala siaran ulangan di ntv7 dan portal Tonton dengan percuma! Dua lagi stesen rangkaian televisyen Media Prima iaitu TV9 dan 8tv juga turut sama menyokong liputan Euro 2012 ini.

Bermula 8 Jun hingga 1 Julai nanti, TV3 selaku rakan penyiar bersama Maxis, penaja utama siaran, bakal memberi anda liputan eksklusif setiap hari menerusi pelbagai rancangan, antaranya, Score Board (TV3), Grand Stand (TV3), Sorak Borak (TV3), Kaki Bola (TV9) dan peraduan “Be A Fan” di ntv7!

Bagi menghangatkan lagi bahang kejohanan EURO 2012, Media Prima akan menganjurkan “Viewing Party” dan acara padang terbesar “Kembara Bola” di dua lokasi di luar Lembah Klang, istimewa buat peminat bola sepak di luar sana. Pelbagai aktiviti menarik dan hadiah hebat ditawarkan kepada pengunjung, antaranya bola sepak pantai, bola sepak 9-sebelah, bola jaring dan banyak lagi. Selain itu, “Kembara Bola” juga merupakan platform kepada pengunjung khasnya belia untuk berhibur dengan persembahan artis-artis popular tanah air dan beramah mesra dengan barisan personaliti serta pelakon drama di saluran Media Prima.

Menurut En. Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad:

“EURO merupakan pertandingan bola sepak kedua terbesar selepas Piala Dunia. Kami berbangga kerana telah mendapat kepercayaan dari badan bola sepak UEFA untuk menyiarkannya di kaca televsiyen untuk tatapan rakyat Malaysia. Difahamkan juga bahawa lebih 150 juta penonton seluruh dunia akan menyaksikan upacara rasmi pembukaan kejohanan bersejarah ini dan lebih dari nilai ini yang akan mengikuti siaran langsung perlawanan.

Kami di Media Prima, sentiasa berusaha memberikan liputan sukan terbaik sebagai tanda penghargaan kepada penonton amnya dan peminat sukan khasnya. Media Prima pernah terlibat dengan temasya sukan antarabangsa, antaranya, EURO 2008, Piala Dunia 2010 dan yang terbaru ialah Sukan SEA Palembang & Jakarta 2011. InsyaAllah, siaran Sukan Olimpik di London juga akan menyusul selepas EURO 2012 ini.

Integrasi erat rangkaian televisyen, rangkaian radio, portal, syarikat iklan luar dan media cetak dibawah naungan Media Prima Berhad pastinya mencipta satu fenomena demam bola sepak yang menyatukan 3 elemen, “perpaduan, persaingan dan keghairahan” kerana bersama liputan menyeluruh kami ini, rakyat Malaysia akan merasai bahang bola sepak Eropah paling berprestij di mana jua anda berada.”

Berikut merupakan jadual perlawanan yang dibawa secara langsung di TV3:

8 Jun 2012, Jumaat Poland lwn Greece 12.00 tgh mlm
9 Jun 2012, Sabtu Belanda lwn Denmark 12.00 tgh mlm
10 Jun 2012, Ahad Ireland lwn Croatia 2.45 pagi (Isnin)
11 Jun 2012, Isnin Ukraine lwn Sweden 2.45 pagi (Selasa)
12 Jun 2012, Selasa Greece lwn Republik Czech 12.00 tgh mlm
13 Jun 2012, Rabu Belanda lwn Jerman 2.45 pagi (Khamis)
14 Jun 2012, Khamis Sepanyol lwn Ireland 2.45 pagi (Jumaat)
15 Jun 2012, Jumaat Sweden lwn England 2.45 pagi (Sabtu)
16 Jun 2012, Sabtu Greece lwn Russia 2.45 pagi (Ahad)
17 Jun 2012, Ahad Belanda lwn Portugal 2.45 pagi (Isnin)
18 Jun 2012, Isnin Itali lwn Ireland 2.45 pagi (Selasa)
19 Jun 2012, Selasa England lwn Ukraine 2.45 pagi (Rabu)
22 Jun 2012, Jumaat Suku Akhir 2 2.45 pagi (Sabtu)
23 Jun 2012, Sabtu Suku Akhir 3 2.45 pagi (Ahad)
28 Jun 2012, Khamis Separuh Akhir 2.45 pagi (Jumaat)
1 Julai 2012, Ahad Akhir 2.45 pagi (Isnin)

*Siaran Ulangan pada hari yang sama jam 8.30 malam di ntv7

Poster Jadual Perlawanan EURO 2012

Viewing Party
“VIEWING PARTY” pasti akan menarik tumpuan penggemar bola sepak di sekitar Lembah Klang untuk turut serta dalam menyemarakkan lagi demam EURO 2012! Acara yang berlangsung pada 8 dan 29 Jun 2012 di Sri Pentas, Bandar Utama manakala perlawanan akhir pada 1 Julai 2012 di Red Carpet Avanue, The Strand, Kota Damansara, akan memberi peluang kepada peminat fanatik menyaksikan perlawanan beramai-ramai menerusi skrin gergasi yang disediakan.

Penampilan khas beberapa pemain Harimau Muda seperti Khairul Fahmi dan Nazmi Faiz tentunya akan menggamatkan lagi acara bola ini. Selain itu, kami juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung seperti mini konsert oleh penyanyi popular tanah air, gerai program Media Prima, cabutan bertuah yang menawarkan hadiah hebat, sesi ramah mesra bersama barisan personaliti dan pelakon drama Media Prima, pertandingan mewarna, pertandingan Playstation 3 (PS3) dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, kami turut menyediakan gerai ‘Fanzone’ di mana peminat-peminat lebih mudah untuk mendapatkan dan mengumpul cenderahati eksklusif pasukan kegemaran mereka.

Kembara Bola
Istimewa buat peminat fanatik bola di luar Lembah Klang, inilah peluang anda untuk sama-sama menikmati kemeriahan EURO 2012 menerusi acara padang terbesar di dua lokasi iaitu Dataran 1Malaysia, Klebang, Melaka pada 15 Jun dan Dataran Tok Gajah, Temerloh, Pahang pada 23 Jun. Pelbagai aktiviti menarik dan hadiah hebat ditawarkan buat para pengunjung di gerai MyTV3, “Real Fans Real Football”, Maxis, Coca Cola dan pentas utama.

Di Klebang, Melaka, pengunjung berpeluang untuk menyertai acara utama iaitu pertandingan bola sepak pantai manakala di Temerloh, Pahang, pertandingan bola sepak 9 sebelah.

Di samping itu, pengunjung juga boleh beramah mesra bersama barisan personaliti Media Prima dan pelakon drama yang terdiri daripada Nabila Huda, Intan Ladyana, Nad Zainal, Kamal Adli, Shahrizal Jaszle, Johan As’ari, Azlee Khairi, Zalif Sidek, Syazwan Zulkifli, Idzham Ismail, Talha Harith dan ramai lagi. Selain itu, pertandingan bola jaring, klinik bola sepak, sukaneka dan mini konsert yang menampilkan artis-artis popular tanah air seperti Drama Band, Awan Band, OAG dan Awi Rafael turut diadakan.

TV3: Score Board (setiap hari Isnin, jam 12.30 tengah malam)
Sebuah program bual bicara yang membincangkan sukan tempatan dan antarabangsa. Memaparkan 4 segmen iaitu ‘Kick Off’; membicara isu-isu hangat sukan, ‘Time Out’; lebih santai dengan rakaman acara sukan di luar, ‘On Field’; memberi peluang kepada penganjur untuk memperkenalkan acara-acara yang bakal berlangsung dan ‘Extra Time’; video pilihan dan kongsi cerita oleh tokoh sukan Negara. Istimewa sempena EURO 2012, antara sisipan utama, Score Board akan membawakan kemeriahan demam EURO yang berlaku dikalangan masyarakat dan memperkenalkan 16 pasukan yang bertanding. Score Board dihoskan oleh Tabah Sazwan Othman dan Nadia Zuber.

TV3: Grand Stand
Bersama Abu Bakar Atan dan pengulas jemputan istimewa, Vivian Alexander “Viv” Anderson (bekas pemain Nottingham Forest, Arsenal, Manchester United dan England) membincang dan menganalisis 16 perlawanan yang bakal ditayangkan. Turut memaparkan upacara rasmi pembukaan EURO 2012 yang berlangsung dari Stadium Nasional Warsaw, Poland yang mampu memuatkan 60,000 kapasiti penonton.

TV3: Sorak Borak
Sorak Borak akan memulakan siaran pada 13 Jun hinggga 1 Julai sebanyak 10 episod bersama pengacara yang terdiri daripada Kieran dan Tabah, dibantu oleh Nadia, Azahari dan Amat (Amekaw). Sorak Borak bakal bersiaran secara langsung dari Restoran Rasta, Taman Tun Dr. Ismail, Sri Pentas TV3 dan The Strand, Kota Damansara. Sorak Borak akan membincang dan menganalisis perlawanan yang bakal berlangsung selain segmen menarik seperti interaksi bersama penonton dan tilikan Mr. J (seekor kambing).

ntv7: Peraduan “Be A Fan”
Sebuah peraduan yang akan merealisasikan impian peminat fanatik yang ingin menjadi pengulas pada perlawanan Euro 2012! “Be A Fan” menawarkan pemenangnya untuk beraksi di kaca televisyen dan berkongsi pengetahuan bola sepak mereka sambil berpeluang untuk merebut hadiah utama berupa wang tunai bernilai RM10,000! Peraduan ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia yang makan bola, tidur bola dan gila bola.

TV9: Kaki Bola (setiap hari Isnin, jam 9.30 malam)
Kaki Bola merupakan program bual bicara selama 1 jam yang membincang dan menganalisis dunia bola sepak tempatan serta antarabangsa. Bersiaran secara langsung dari Studio 1, Glenmarie, Shah Alam bersama hos Kieran, Clan, Eone dan Diana, ikuti perkembangan berita terkini kelab-kelab dan pemain-pemain yang menjadi kegilaan ramai, Sempena demam Euro 2012 yang melanda, Kaki Bola akan menyediakan sebuah segmen khas, di mana mereka akan membincang dan memberikan info-info terkini mengenai Euro 2012!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lan Kristal Sambut Bayi Perempuan Kedua

UEFA EURO 2012 Predictor Challenge