Menerusi beberapa perkongsian, Jaafar turut mempersoalkan mengapa baju Melayu ‘diketatkan’ sedangkan rekaan asalnya sememangnya sudah cukup cantik.
Malah, Jaafar turut meluahkan siapa lagi yang akan menghormati pakaian warisan jika bukan kita sendiri serta meminta generasi baru untuk hormat dengan baju Melayu.
Sementara itu, memetik Harian Metro, Jaafar menyifatkan golongan tersebut sudah tidak mempunyai otak atau mereka itu tergolong dalam kalangan kurang berfikiran waras.
Susulan itu, ada yang mendakwa hantaran tersebut ada kaitan dengan kemunculan video muzik lagu Hari Raya seorang pengasas kosmetik.
“Mereka dah tak ada otak, atau mereka tergolong dalam kalangan manusia yang kurang berfikiran waras? Ini bukan sekadar merosakkan nilai baju Melayu, tetapi saya memang pantang kalau ada orang yang memperkotak-katikkan baju Melayu.
“Kalau ada yang singgah di rumah saya dengan berbaju Melayu tidak lengkap pun, saya akan tegur. Kenapa tak pakai bagi lengkap? Bukankah ia cantik dipakai?
“Baju Melayu adalah baju Melayu. Kenapa nak pakai ketat-ketat? Siapa dia, nak ubah-ubah rekaan baju Melayu? Kalau Power Rangers, itu lain. Ini baju Melayu budaya kita,” katanya.
Dalam pada itu, Jaafar turut meminta gunakan idea lain untuk mencipta kandungan digital atau gunakan kekayaan yang ada kearah yang lebih bermanfaat.
“Jangan fikir, kamu kaya raya, kami boleh buat sesuka hati. Kalau nak cari nama atau buat kandungan semata, tak payah buat benda-benda pelik sebab ia akan membuatkan anda tersungkur.
“Kamu dah ada nama, ada keluarga yang baik-baik. Janganlah burukkan nama mereka kerana tindakan kamu. Kamu ada kekayaan. Apa kata, gunakan untuk beramal jariah,” katanya.