Demi meneruskan langkah dalam industri muzik dan dakwah tanah air, Izmir Fareez kini mempertaruhkan single terbaru berjudul ‘Maaf’ hasil ciptaan Akmalul Azmi sebagai pencipta lagu dan Izmir Fareez sendiri sebagai penulis lirik.
Menurut Izmir Fareez, pengarah muzik dan penerbit untuk lagu ‘Maaf’ ini adalah Along Exists dan pembantu penerbit, Imtiaz dari kumpulan Simfoni.
Menurut Izmir Fareez lagi, pada asal lagu ‘Maaf’ ini dicipta pada tahun 2020, ianya bukanlah berkisarkan tentang kekeluargaan tetapi ianya berkaitan tentang penceritaan kematian seseorang. Setelah dipersembahkan lagu tersebut kepada Along, beliau mengatakan lagu berbunyi ‘jiwang 90an’ ini tidak sesuai dengan lirik yang berat seperti kematian kerana lagu yang berbunyi ‘jiwang 90an’ ini kebanyakannya akan dikaitkan dengan kisah percintaan. Maka, beliau menyarankan agar tukar lirik kematian kepada percintaan.
Akhirnya, lirik yang berkisarkan tentang percintaan telah siap digubah oleh Izmir Fareez tetapi disebabkan saat dan ketika itu Covid-19 yang semakin berleluasa di Malaysia, pergerakan terbatas ke studio untuk membuat rakaman muzik dan vokal. Sehinggalah kerajaan mengumumkan pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan, maka bermulalah rakaman muzik dan vokal lagu ‘Maaf’ ini pada tahun 2021.
‘Maaf’ adalah sebuah lagu yang mengisahkan perceritaan kehidupan seorang suami dan isteri setelah berkahwin selama 3 tahun. Setelah hidup berumahtangga yang mereka bina, hanya isteri seorang sahaja yang menunjukkan rasa cinta dan kesetiaan kepada suami tanpa rasa jemu dan lelah, tetapi suami semakin lama hidup berumahtangga semakin pudar cinta dalam hatinya terhadap isteri. Sehinggalah isteri jatuh sakit dan meninggal dunia, maka suami mula rasa kehilangan dan menyesal dengan pelakuan dan layanan yang diberikan kepada isteri ketika hidupnya dan tiada lagi cinta dan kasih sayang setelah isteri meninggalkan suami buat selama-lamanya.
Penyesalan yang dirasai oleh suami tidak dapat mengubah apa-apa kerana isteri tidak akan kembali kepada suami buat selama lamanya. Hanya mengharapkan agar isteri mengampunkan dosa suami di akhirat nanti.
Penggambaran video muzik lagu ‘Maaf’ yang diarahkan oleh Ahmad Nasuha dari NSPIXTURES dijalankan selama dua hari di Alor Setar dan Sungai Petani Kedah. Bagi setiap urusan penggambaran diuruskan oleh Imtiaz dari kumpulan Simfoni selaku Pengurus Projek untuk lagu ‘Maaf’.
Pelakon utama di dalam video muzik ini adalah Arie Laso dan Aleya Trisya yang kedua-duanya juga merupakan model pakaian lelaki dan perempuan.
‘Pada asalnya memang kita hendak membuat penggambaran muzik video ini di sekitar Kuala Lumpur tetapi disebabkan pengarah, teknikal dan pelakon-pelakon menetap di utara, jadi kita membuat keputusan untuk membuat penggambaran di sekitar negeri Kedah’, ujar Izmir Fareez.
Ditanya mengenai harapan Izmir Fareez terhadap lagu ini, beliau menjawab, ‘Saya berharap agar lagu ini dapat diterima oleh seluruh lapisan masyarakat kerana lagu ini berunsurkan kekeluargaan yang kita sendiri hadapi dan tempuhi di dalam kehidupan kita.’
Muzik video lagu ‘Maaf’ ini boleh ditonton di laman Youtube rasmi Inteam Digital dan boleh didengari di platform digital seperti Spotify, Joox, Itunes, Deezer, Kkbox atau boleh juga menerusi permintaan lagu di stesen-stesen radio di tanah air.