Penyanyi yang cukup popular dengan lagu-lagu berentak dangdut, Iwan berpendapat kegagalan pasangan artis dalam mengekalkan hubungan perkahwinan adalah kerana mereka tidak sedar siapa diri mereka sebenarnya.
“Kebanyakkan artis kita dikaburi oleh perkara-perkara bersifat kebendaan. Selain itu, ada mereka yang berfikiran agak terbuka sementara ada segelintirnya yang tidak tahu batas yang perlu dipatuhi. Kurangnya didikan agama di kalangan mereka juga menyebabkan masing-masing sering bertindak keterlaluan,” jelas Iwan apabila diminta memberi pendapat mengenai kes penceraian pasangan artis yang semakin menjadi-jadi.
“Kegagalan perkahwinan pertama dan kedua saya juga disebabkan masalah yang sama. Tapi bila umur semakin meningkat, ianya cukup mematangkan saya dan menyedarkan saya mengenai kesilapan masa lalu,” terangnya yang sekarang ini hidup bersendirian apabila telah berpisah dengan isterinya.
Ditanya jika dia mempunyai orang istimewa untuk mengisi hatinya yang kosong, dia menjawab, “Buat masa ini belum ada lagi tapi jika ditakdirkan saya menemui jodoh yang sesuai, saya rasa tidak salah.”
Iwan ditemui ketika menghadiri majlis pelancaran album amal oleh Persatuan Bencana Alam Kedah, PBANK baru-baru ini.
Mengenai persoalan ke mana dia menghilang selama ini tanpa sebarang album baru, dia memberitahu, “Saya sebenarnya bukan menghilangkan diri tapi saya lebih suka melibatkan diri dalam bidang seperti ini (merujuk kepada album amal). Selain dari itu, saya sering memenuhi permintaan mengadakan persembahan makan malam dan juga di ekspo-ekspo. Saya baru sahaja pulang dari membuat persembahan di Sarawak.”
Jadi, sejauh mana penerimaan peminat-peminat muzik kepada irama dangdut yang sekarang ini agak tenggelam berbanding pop, balada dan rock serta kemunculan kumpulan indie? Iwan bersyukur yang dirinya masih diterima. Ini berpandukan sambutan yang cukup hangat terutamanya apabila dia mengadakan persembahan di pesta ria di merata tempat.
“Dengan sambutan seperti ini, saya cukup berbangga dan ia menjadi bukti irama dangdut masih boleh diterima dan mempunyai peminat tersendiri.”
Dalam sibuk menghasilkan dua buah lagu untuk album amal Cintaku Cintamu, Iwan sebenarnya dalam proses menerbitkan sebuah album kompilasi yang akan menemui peminat-peminat sekitar Jun nanti.
Album bertajuk ‘Dunia Muzik, Memori Koleksi Terbaik Dangdutnya Iwan, Popnya Iwan’ mengandungi 14 buah lagu, enam darinya lagu dangdut dan selebihnya lagu pop. Dihasilkan sendiri dan mendapat kerjasama komposer dangdut terkenal Indonesia EE, album itu nanti akan diselitkan dua buah lagu baru karyanya sendiri, masing-masing berentak pop dan dangdut. Setelah rakaman, proses ‘mastering’ akan dilakukan di Jakarta, Indonesia. Iwan berharap penghasilan album ini dapat memahatkan kembali namanya di persada seni suara.
Tetapi mengapa dia masih membuat album dangdut sedangkan selera peminat muzik kini nyata lebih kepada genre lain?
“Seperti yang dikatakan, peminat dangdut masih ada. Banyak faktor lain yang mendorong saya membuat album berentak ini. Satu, saya yakin dunia ini berputar. Selain dari itu, saya bertanggunjawab merintis kembali irama dangdut dalam aliran seni tanahair. Dangdut sudah sebati dalam jiwa saya.
“Dari sudut penghasilan album dan promosi, saya rasa ianya mempunyai simbiosis sendiri. Bila ada produk (album), saya yakin pihak syarikat juga akan menjalankan promosi. Jadi sebenarnya tiada masalah. Namun persoalannya, ramai pengiat seni takut untuk mengambil risiko, terutamanya sesuatu yang baru. Bidang hiburan juga satu perniagaan, jadi setiap perniagaan ada risikonya. Kita perlu ambil risiko itu,” kata Iwan.
Untuk pengetahuan semua, album Yang Tersayang terjual sehingga 90,000 unit manakala Puteri Dangdut mencecah jualan sehingga 300,000 unit. Sebelum ini, Iwan pernah menghasilkan lagu untuk penyanyi dangdut Indonesia, Sonya dan jualan albumnya mencecah 2 juta unit di Indonesia. Iwan juga antara artis yang berjaya menembusi pasaran Indonesia.
“Itu mungkin rezeki saya. Biasanya untuk album di sana ianya melibatkan perbincangan antara syarikat rakaman. Tetapi saya begitu bersyukur untuk album terdahulu saya berbincang terus dengan syarikat pengedaran muzik di sana. Jika di sini saya mendapat royalti sekitar 20 peratus dari penjualan album, di sana mereka membahagikan sama rata,” terang Iwan yang dilahirkan di Medan, Sumatera, Indonesia.
Dalam usianya menginjak ke 47 tahun, Iwan mengaku dirinya lebih matang dalam menghasilkan karya. Atas sebab itu, dia menghasilkan sebuah lagu berunsurkan ketuhanan iaitu Ke Jalan Lurus. Dengan lirik yang bukan sahaja cukup menarik bahkan ianya mengajar manusia erti sebenar kehidupan.
Perpisahan dengan isterinya setelah mengemudi alam perkahwinan hampir lapan tahun selepas penceraian dengan isteri pertama cukup mengajarnya erti kegagalan. Baginya, kegagalan itu mengajarnya supaya menjadi lebih baik. Iwan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Wan Ramadha, 18, penuntut di Australia, Wan Shamira, 16 dan Wan Shahira, 15, yang tinggal bersama ibu mereka di Kuala Lumpur.