Dalam Berita Minggu semalam telah menyiarkan rintihan bintang AF8 bernama Iwan yang dikatakan ada masalah disiplin, tidak jawab panggilan telefon sehingga menyusahkan pihak pengurusan dan media menghubunginya. Iwan dikatakan telah dibuang dari senarai pelakon drama Kau dan Aku kerana sering ponteng latihan dan digantikan oleh Hafiz AF7.
Iwan atau nama sebenarnya Emirza Azwan Zulazrin Chew sangat kesal dengan pihak pengurusan AESB yang tidak memberikan sebarang pengesahan samada kontraknya ditamatkan atau tidak. Menurut Iwan, beliau seperti anak tiri dan seolah-olah dia tidak pernah wujud di bawah pengurusan itu kerana tiada sebarang persembahan untuknya.
Iwan mengaku pernah tidak berpuasa dan makan di khalayak pada bulan Ramadan lalu.
“Bayangkan, ketika Ramadan lalu, artis seperti kami diminta menari di tengah panas terik, berlakon untuk pembikinan montaj dan sebagainya. Pihak produksi seolah-olah tidak menghormati kami yang berpuasa.”
“Saya akui, artis yang terbabit ketika itu memang ‘terbabas’, kami tak mampu meneruskan ibadat puasa termasuklah saya. Ketika itu, nafsu memang untuk minum saja. Penggambaran lama lagi nak habis, waktu berbuka puasa lambat lagi, tekak pula dah kering sangat, saya tak mampu bertahan lagi. Saya terpaksa membatalkan puasa.
“Saya dan beberapa lagi artis AF turut merokok dalam kereta. Alang-alang dah tak berpuasa, sebab itu saya curi-curi hisap rokok. Saya tak berpuasa, itu antara saya dengan Tuhan, tapi saya mengaku salah apabila perbuatan minum air, merokok dapat dilihat oleh orang ramai. Perbuatan kami tidak sopan apabila tidak menghormati sensitiviti orang lain. Saya minta maaf atas kealpaan itu,”
Iwan juga mengeluh kerana tidak mempunyai sebarang kerja dan tidak berpuas hati dengan bayaran yang diberikan.
“Saya seperti anak tiri! Saya pernah semak jadual aktiviti baru-baru ini, nama saya kosong, tak ada persembahan langsung! Yang ada pun nama Shahir dan Adira saja. Sekarang saya tak ada apa-apa kerja, macam mana saya nak hidup? Saya hidup sendiri, ibu bapa pula di kampung, perihal makan minum, sewa rumah macam mana?
“Nak buat persembahan luar yang kami cari sendiri, tak boleh. Kalau kami buat juga ‘persembahan haram’ tanpa pengetahuan AESB, kami boleh disaman! Tapi, apabila kami dapat show, maklumkan kepada AESB, dia orang pula ambil keuntungan sebanyak 40 peratus. Banyak tu, kami nak makan apa? Nak cari show bukan senang.
“AESB tak beritahu apa-apa pun. Pernah mereka beritahu nak jumpa, berbincang, tapi ketika itu saya tak ada kenderaan nak datang ke pejabat. Saya maklumkan kepada pihak pengurusan, boleh tak kita jumpa hari ini, namun tiada maklum balas, terus diam sampai sekarang. Kini, saya dah tukar nombor telefon, kami pun terus terputus hubungan. Namun, saya harap kami dapat bertemu sedikit masa lagi untuk selesaikan masalah ini.”
Soal pemilihan pakaian semasa berlakon dalam Kau dan Aku juga menjadi isu apabila Iwan diberikan pakaian yang selekeh seperti badut. Iwan pernah meminta pendapat daripada Cikgu Norman dan pengetua AF8 itu menasihatinya supaya berhenti berlakon.
“Bagi saya, pihak produksi seperti memperlekeh saya. Saya diminta mengenakan pakaian yang menampakkan saya seperti badut! Apabila saya tawarkan diri pakai baju sendiri, mereka tak benarkan. Saya malu apabila pakaian saya paling selekeh! Saya pernah minta pandangan daripada Pengetua AF8, Cikgu Norman, saya maklumkan soal bayaran dan masalah lain, dia menasihatkan saya supaya tidak teruskan penggambaran.
“Saya bukannya lahir daripada program Raja Lawak, jadi saya tak mahu imej saya terjejas. Namun, saya tetap meneruskan pembabitan bersama produksi itu apabila memikirkan kembali tawaran yang sudah diberi. Namun, saya akui ada beberapa siri kelas vokal dan lakonan yang saya tak dapat hadir kerana berdepan masalah pengangkutan.
“Namun, apabila saya gagal hadiri kelas sekali dua, pihak produksi terus kirimkan e-mel kepada AESB memaklumkan saya ada masalah disiplin, tidak bertanggung jawab, kurang ajar dan macam-macam lagi. Padahal, ada lagi beberapa artis AF, langsung tak datang kelas, namun tidak pula diambil tindakan ke atas mereka!
“Saya harap selepas ini dapat bertemu dengan pihak pengurusan AESB dan berbincang. Sekiranya mereka dah tak boleh terima saya, biar saya keluar cara baik. Tapi, jangan gantung saya tak bertali. Saya juga mohon maaf sekiranya pendedahan ini menyinggung perasaan banyak pihak terutama AESB. Apabila wartawan mencari saya, saya luahkan segala yang terbuku di hati selama ini.”
Sebenarnya, ini bukan masalah pertama yang dihadapi oleh bintang AF8. Pernah dulu, ada bintang AF yang menamatkan kontrak sebelum tamat kerana tak berpuas hati dengan cara pengurusan.
Semoga isu ini dapat diselesaikan dengan cara baik.