“Tiada soalan mengenai Mira Filzah dan Jennie Blackpink,” demikian pinta pelawak, Zizan Razak yang ditemui selepas majlis sidang media program The Masked Singer.
Malah, pelakon filem Polis Evo itu enggan mengulas usikan netizen berhubung sekeping gambar memaparkannya bersama tiga pelakon wanita, Juliana Evans, Emma Maembong dan Mira Filzah yang pernah dikaitkan dengannya dan kini sudahpun mendirikan rumah tangga.
“Tak mengapa, saya tidak mahu terbabit,” kata Zizan memberi jawapan ringkas, enggan mengulas perkara berkenaan.
Zizan atau nama sebenarnya, Mohammad Razizan Abdul Razak, 36, berkata, dia kini bercelaru dan risau memikirkan keadaan nenek sedang uzur. Justeru, meminta semua pihak memahami keadaan emosinya.
Kata Zizan, ramai yang suka bergurau dengannya tanpa mengambil kira perasaannya disebabkan seorang pelawak. Sedangkan, dia juga manusia biasa dan berharap masyarakat memahami perasaannya.
“Buat masa ini, saya tak fikir mengenai kahwin atau apa sahaja ke arah jodoh. Saya tiada masalah mengenainya kerana banyak perkara lain yang lebih penting untuk diberikan perhatian. Saya menjaga ibu dan keluarga saya.
“Ditambah pula keadaan nenek sedang sakit, jadi ia agak merisaukan. Saya sudah kembali sibuk dengan kerja, nenek pula dalam keadaan uzur. Saya bimbang tidak dapat pulang ke kampung jika berlaku apa-apa kerana tidak mahu menyusahkan produksi.
“Sebab itu, emosi saya sedikit terganggu kerana kesibukan kerja dan memikirkan keadaan nenek. Sejujurnya, saya tidak mendapat rehat yang cukup selepas pulang ke kampung menziarahi nenek, baru-baru ini.
“Saya mendapat berita nenek sakit pada jam 2 pagi, saya pula baru pulang penggambaran The Masked Singer. Saya terus bersiap pulang ke Dungun dan tiba jam 9 pagi. Saya langsung tak tidur dan hingga kini, belum dapat rehat yang mencukupi,” katanya kepada BH Online.
Zizan berkata, emosinya mudah terusik dan terganggu apabila tidak cukup rehat.
Bagaimanapun, tidak semua orang faham apa yang sedang dilalui.
“Nak tak nak, saya terpaksa memujuk hati sendiri. Ada kala, saya penat memikirkan bila orang nak faham keadaan saya.
“Bagaimanapun, saya cuba sedaya upaya kuat untuk diri sendiri. Orang ingat bila bergelar seorang pelawak, saya boleh bergurau setiap masa. Jadi, saya harap semua faham kenapa hari ini saya tidak berapa okay.
“Lagipun, nenek bukan sakit biasa, doktor mengesyaki nenek menghidap kanser. Setakat ini, belum dapat dipastikan kerana mereka masih melakukan ujian. Jika soal lain saya tak kisah, tetapi apabila membabitkan nenek, hati saya berkecamuk.
“Nenek pula bukan sakit biasa seperti demam yang diberi ubat boleh sembuh. Dia pun sudah berusia lebih 80 tahun, ia menambahkan kerisauan saya dan keluarga,” ” katanya.
Menerusi program The Masked Singer, Zizan dilantik sebagai juri tetap sebanyak lapan episod di samping juri lain seperti Datuk Aznil Nawawi, Michael Ang, Ella, Raja Azura, Nabila Huda, Ramona Zam Zam, Remy Ishak dan Angah Raja Lawak.
Zizan berkata, dia juga sibuk menjalani penggambaran telefilem dan supertele, selain bakal kembali beraksi menerusi filem Baik Punya Along di samping Datuk Afdlin Shauki dan Johan Raja Lawak.
*Sumber: BH Online