Penyanyi popular Siti Sarah mengambil keputusan bertemu wakil masyarakat Orang Asli untuk memohon maaf secara terbuka berhubung isu melibatkan dirinya dengan suku kaum tersebut baru-baru ini.Sarah ketika ditemui Gempak berkata, dia bersyukur kerana komuniti tersebut sudi menerima permintaannya untuk bertemu.
“Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf sekali lagi kepada masyarakat Orang Asli di Malaysia yang terguris dengan kata-kata saya.
“Saya bersyukur apabila kedatangan saya dialu-alukan dan disambut baik. Tak tergambar perasaan ini apabila mereke menerima permohonan maaf saya dengan hati terbuka.
“Tak tenang hati ini selagi tidak bersemuka dan memohon maaf. Apatah lagi keluarga saya sendiri sangat rapat dengan masyarakat Orang Asli.
“Tidak terlintas langsung di hati ini untuk menghina kerana saya sendiri memiliki adik angkat dari suku kaum ini, yang bernama Rainbow.
“Atuk dan nenek saya juga sangat rapat dengan mereka ini, jadi untuk apa saya menghina? Saya kesal gara-gara terlepas kata, ramai pihak terguris,”
– Siti Sarah
Ditanya mengapa mendiamkan diri daripada Instagram, Sarah menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa dia cuba melarikan diri.
“Selama ini saya cukup-cukup menjaga kandungan media sosial saya. Saya berdiam bukan kerana mahu bersikap lempar batu sembunyi tangan, sebaliknya tidak mahu isu diperbesarkan.
“Saya mengakui insiden ini banyak mengajar saya dalam menjaga kata-kata, berhati-hati memilih kawan dan dengan siapa saya bercakap,”
– Siti Sarah
Siti Sarah berkata demikian ketika ditemui di Batu 12 Gombak pada malam semalam (Selasa).
Dalam pada itu, Sarah mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberikan nasihat dan kata-kata positif buat dirinya.
“Saya ada menerima pesanan peribadi daripada seorang Tok Batin yang menasihati saya supaya memohon maaf secara terbuka (menerusi video) termasuk beberapa yang lain.
“Terima kasih kerana menegur saya. Saya harap permohonan maaf sekali ini dapat mengekalkan hubungan baik sesama kita seperti sebelum ini,” katanya.
– Siti Sarah
Menerusi satu perkongsian video di IG TV miliknya, Sarah dilihat ditemani pengurus bagi bertemu secara empat mata dalam menyampaikan hasrat yang antara lain turut meluahkan isi hati.
“Dengan penuh rasa bersalah dan menyesal, saya minta maaf kepada semua masyarakat Orang Asli.
“Walaupun saya tahu, kehadiran saya di sini tidak mencukupi… saya tahu di Malaysia, kita ada kira-kira 18 suku kaum (Orang Asli).
Sumber: Astro Gempak
Lepas Jumpa, Siti Sarah Nak Tulis Surat Rasmi Mohon Maaf Pula!
SELEPAS membuat permohonan maaf secara bersemuka dengan wakil dan Pengerusi Persatuan Orang Asli, Suhaimi Along semalam, penyanyi, Siti Sarah akan menulis satu lagi surat rasmi mengenai permohonan maaf atas keterlanjuran kata terhadap etnik itu sebelum ini.
Menurutnya, itu adalah salah satu cara yang paling tepat kerana dia tidak berpeluang untuk bertemu dengan kesemua wakil daripada 18 suku kaum Orang Asli dalam pertemuan semalam.
“Semalam, saya bersua muka dengan wakil dan juga Pengerusi Persatuan Orang Asli di Batu 12, Gombak. Pada pertemuan semalam, ada wakil daripada beberapa suku kaum Orang Asli sahaja.
“Jadi, saya akan tulis satu surat rasmi mengenai permohonan maaf saya supaya dapat disampaikan kepada setiap wakil daripada 18 suku kaum Orang Asli kerana saya rasa, itu adalah cara yang paling tepat sekali,” katanya kepada Harian Metro.
Semalam, penyanyi lagu Semakin itu memuat naik video sesi pertemuan itu, berdurasi 2 minit 51 saat di Instagramnya.
Bersama video itu, Sarah turut menyertakan kapsyen permohonan maaf atas kata-katanya yang mengguris hati banyak pihak.
“Saya Siti Sarah dengan rendah hati menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada masyarakat Malaysia terutama kepada 18 suku kaum Orang Asli atas kekhilafan diri saya yang mengguris hati masyarakat Orang Asli.
“Sesungguhnya, tidak terlintas dan terniat untuk saya melukakan hati Orang Asli. Sebagai manusia biasa, kita tidak lari daripada melakukan kesilapan. Sarah juga sama.
“Sarah kesal dan menyesal atas apa yang berlaku, dan apa yang terjadi ini akan menjadi satu pengajaran bukan sahaja untuk Sarah, tapi juga kepada masyarakat di luar sana,” tulisnya.
Isu ini mula menjadi perbualan apabila Sarah muncul dalam satu video promosi produk syampu dan menyentuh mengenai keadaan rambut Orang Asli dan sekaligus, menjadi mangsa kecaman warganet.
*Sumber: Harian Metro