Penyanyi dan juga usahawan kosmetik, Syura Badron meminta netizen untuk tidak menghakimi kehidupannya kerana tiada siapa yang tahu apakah yang dilaluinya selama ini.
Ujar Syura, orang di luar sana hanya mengetahui kehidupannya sebagai penyanyi namun bukan kisah hidupnya.
Kata-kata itu ditulis Syura menerusi sebuah hantaran di Instagram Story untuk tatapan peminat di media sosialnya itu.
Terdahulu, nama Syura turut terpalit dalam sebuah isu kontroversi bersama empat individu lain termasuklah penyanyi Lan Solo dan isteri, Sheila, jurusolek Aida G. dan pegawai perhubungan awam syarikat rakaman FMC, Sam Samin.
Dalam kes tersebut, isteri Lan, Sheila ada menyebut nama Siti Nordiana sebagai penyebab mereka tidak memperoleh ‘job’ dalam industri serta dikatakan menumpang populariti penyanyi itu selama ini.
Sehubungan dengan itu, Siti Nordiana telah mengambil pendekatan berdiam diri sebelum tampil memohon permohonan maaf seperti yang disarankan peguam dan jika lima individu tersebut ingkar, dia akan bertindak untuk menyaman.
Namun, setelah gagal menerima permohonan maaf daripada individu-individu terbabit, Siti Nordiana dilaporkan telah mengambil keputusan untuk saman kerana didakwa telah mencemar nama baiknya sebagai penyanyi.