Kumpulan rock terkenal dunia, The 1975, membatalkan persembahan di Malaysia selepas Matty Healy, vokalis mereka, mencium gitaris lelaki, Ross Macdonald, secara spontan di atas pentas pada festival muzik Good Vibes di Sepang semalam.
Healy kemudian diberitahu untuk menghentikan persembahan sebelum muncul dalam acara nyanyian di Kuala Lumpur. Healy mengecam tindakan menghentikan dan menyekat kumpulannya, dan menyatakan ketidaksetujuan dengan tindakan tersebut.
“Ini tidak masuk akal, kerana anda semua bukan mewakili pihak kerajaan.
“Sangat merepek untuk mengarahkan orang tentang apa yang boleh dilakukan atau tidak,†katanya sambil meneguk minuman keras.
Sebelum meninggalkan pentas, dia mengucapkan selamat tinggal dan memberitahu kumpulannya sudah di ‘gam’.
“Kami baru sahaja dimaklumkan sudah di’banned’ dari Kuala Lumpur, selamat tinggal,†ujarnya.
Selain itu, dia turut mempertikaikan undang-undang yang masih tidak memberi peluang kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) hidup tanpa disekat kebebasan.
Difahamkan, insiden Healy mencium ahli kumpulan bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini mereka pernah melakukan hal sama ketika membuat persembahan di Dubai.
Sementara itu, penganjur acara, Good Vibes menerusi satu kenyataan mengakui kesal dengan tindakan The 1975 yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
“Kami menyesali tentang situasi yang berlaku ketika persembahan The 1975 sehingga perlu dibatalkan kerana tidak mengikut garis panduan ditetapkan.
“Festival Good Vibes akan tetap memberi pengalaman muzik yang hebat dan terima kasih atas semua sokongan anda,†ujarnya.
Meskipun berlaku perkara tidak diingini, jadual persembahan masih diteruskan mengikut yang dirancang.
“Festival ini akan terus berlangsung mengikut jadual yang sudah ditetapkan.
“Kami mengalu-alukan kehadiran anda pada hari ini dan esok.
“Kepada yang sudah hadir semalam, kami memahami kekecewaan tersebut dan anda dibenarkan hadir pada hari Sabtu atau Ahad (bagi pemegang gelang single-day festival) dengan hanya menunjukkan gelang pendaftaran,†katanya lagi.
Rata-rata orang ramai melahirkan kekecewaan dan berharap insiden tersebut tidak menjejaskan sebarang penganjuran konsert penyanyi dari luar negara di Malaysia.
Sejak semalam, The 1975 menjadi bahan bualan dan kecaman ramai apabila melakukan aksi tidak senonoh ketika membuat persembahan dan turut tular dalam media sosial.