“Dalam hal ini, saya memang mengaku salah kerana tidak memakai pelitup muka ketika bergambar dalam majlis berbuka puasa pada April lalu. Saya sentiasa menjaga SOP, selama ini. Namun, apa yang terjadi pada hari berkenaan berpunca daripada kelalaian sendiri. Saya tidak sesekali menyalahkan sesiapa.
“Saya sedar ramai berkecil hati terhadap perbuatan saya. Jika netizen marah sekali pun, saya terima kerana memang salah saya membiarkan perkara ini berlaku,” kata pelakon Mawar Rashid yang tidak sesekali menuding jari menyalahkan sesiapa, malah akur dengan kesilapan dan kelalaian selepas didapati gagal memakai pelitup muka ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 di sebuah hotel pada Ramadan lalu.
Malah, insiden itu turut mengheret suaminya, Raf Yaakob dan beberapa rakan artis seperti Iman Troye, Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Nurin Afiqah Zulkifli yang turut dikenakan kompaun sebanyak RM1,500, sekali gus menjadi pengajaran terbesar buat pelakon drama Suamiku Paling Sweet dan TQ Captain itu.
Manakala, Ariz Ramli atau Caprice daripada Syarikat Rindu Raudah Sdn Bhd selaku penganjur pula dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal memastikan tetamu memakai pelitup muka sepanjang majlis berlangsung. Penganjuran Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf itu didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Berhubung netizen melabelkan artis sebagai golongan kayangan dan terlepas hukuman jika melanggar SOP, Mawar berkata, apa yang berlaku terhadapnya sudah cukup membuktikan status selebriti bukanlah lesen terlepas hukuman apabila melanggar undang-undang. Aktres yang diangkat Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-33 (ABPBH 33) itu mengakui, sebagai manusia ada kala dirinya alpa.
“Jika ditanya apa yang saya pelajari di sebalik peristiwa ini, dalam berjaga-jaga, terkena juga. Apa yang berlaku membuatkan saya lebih berhati-hati pada masa depan. Jujurnya, saya sendiri kecewa apabila insiden ini berlaku. Ini kerana secara tidak langsung ia mencalarkan reputasi saya. Selama ini, saya punya patuh dan menitik beratkan keselamatan. Cuma, saya terkilan disebabkan perbuatan kami, penganjur pula menerima tempiasnya,” jelasnya lagi.
Mengulas pertanyaan, susulan kejadian itu, penganjur majlis iaitu Caprice dan Nurin Atiqah saling menuding jari hingga perkara ini berlanjutan, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia memilih tidak memihak kepada sesiapa dalam kemelut yang membelenggu mereka.
“Saya lebih selesa bersikap ‘neutral’ memandangkan mereka adalah rakan saya. Apa yang berlaku antara Caprice dan Nurin Atiqah disifatkan sebagai salah faham. Sebagai rakan, saya hanya mampu mendoakan yang baik-baik buat mereka. Jika boleh, saya mahu mereka berbincang dan dapat menyelesaikan kemelut dengan cara baik,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, pelakon berusia 26 tahun itu berkata, dia kini banyak memberi fokus pada bisnes sejak akhir ini. Namun, ia bukan bermakna sudah tidak berminat berlakon.
“Mana mungkin saya melupakan bidang seni yang diminati sejak kecil lagi. Saya tiada masalah untuk kembali aktif berlakon. Saya mempunyai ramai orang kanan yang boleh membantu menguruskan perniagaan. Selepas habis berpantang, saya berlakon dalam telefilem arahan Osman Ali. Saya juga menerima tawaran membintangi drama bersiri. Jujurnya, saya rasa lain jika tidak berlakon. Suami cukup suka jika saya dapat tawaran berlakon. Kami tahu minat masing-masing,” katanya.