Satu Search dianggotai Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Denden (penyanyi) dan Minn (dram).
Satu lagi Search dibarisi Amy (penyanyi), Nasir (bass), Hillary Ang (gitar), Man Kidal (gitar) dan Joy (dram). Isu melanda dua Search ini sudah diketahui umum. Kini, apa yang penting bagi dua kumpulan ini ialah move on dan teruskan perjuangan masing-masing.
Paling menarik, kedua-duanya bakal tampil dengan konsert dalam tempoh seminggu.
Amy bersama ‘pasukannya’ bakal menggegar dengan Konsert Search Endemik di Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang City Centre pada 4 dan 5 Jun ini manakala Noordin dan ‘hulubalangnya’ dengan Konsert Search Rockin’ On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi di sini, pada 11 Jun ini.
Walaupun perpecahan ini mencetuskan ‘per4ng’ dalam kalangan anggota Search dan peminat di media sosial dan arus perdana, tetapi ia secara tidak langsung sebenarnya memberi kelebihan kepada peminat Search.
Mereka boleh menonton salah satu konsert itu atau paling menarik, tontonlah kedua-duanya.
Tidak dinafikan, kedua-duanya memiliki kelebihan dan keistimewaan masing-masing.
Sama ada Search yang itu atau yang ini, mereka pasti mahu memberikan yang terbaik buat peminat.
Jika disebut Search, sukar untuk menidakkan kehebatan penyanyinya, Amy.
Amy, 63, juga antara pengasas Search bersama pemain gitar, Hillary Ang dan Allahyarham Yazit (dram) ketika mula-mula mengadakan persembahan di kelab Red Rooster, Kuala Lumpur pada awal 1980-an.
Nama Amy sebati dengan Search. Daripada 12 album studio Search, hanya dua album tidak menampilkan Amy sebagai penyanyi iaitu Bikin Wilayah pada 1998 dan Selepas Banjir (1999).
Maksudnya, semua lagu popular Search adalah dendangan Amy.
Denden, 38, yang kini diberi tanggungjawab sebagai penyanyi Search mengakui ia satu tugas amat berat terutama apabila dibandingkan dengan Amy.
“Ia amat berat. Amy sudah sebati dengan Search. Jadi, saya perlu tampil berbeza terutama dari segi nyanyian dan penampilan,” katanya.
Amy, Idola Sejak Kecil
Penyanyi dari Bandung, Indonesia itu berkata, dia juga menghormati Amy kerana penyanyi itu adalah idolanya sejak kecil.
Namun, kehebatan Denden yang memiliki kualiti vokal tersendiri dan dikatakan sesuai dengan lagu Search belum teruji di depan peminat.
Sehubungan itu, konsert pada 11 Jun pentas untuk Denden membuktikan dia layak bersama Search.
Pada masa sama, Amy perlu membuktikan dia adalah legenda Search dengan memberikan persembahan terbaiknya nanti.
Inilah pentasnya untuk Amy memadam dakwaan dia sudah tidak sehebat dulu terutama isu kualiti vokal dan ‘menghulur mikrofon’ baru-baru ini.
Selain Amy dan Denden, turut menjadi perhatian dalam konsert ini ialah empat pemain gitar iaitu Noordin, Kid, Hillary Ang dan Man Kidal.
Hillary dan Man Kidal adalah legenda dalam industri muzik tempatan.
Gandingan mereka dalam Search belum pernah berlaku dan ini pastinya sesuatu yang bersejarah.
Namun, Noordin dan Kid juga sebati bersama Search. Gandingan abang dan adik ini sudah diterima sebagai pemain gitar terbaik dalam arah muzik Search bermula dengan album Karisma pada 1990 hingga yang terbaru, Katharsis.
Amy sendiri menggelar Noordin sebagai King Of Rhythm atau pemain gitar irama terbaik.
Manakala dalam kalangan peminat, Kid dikenali sebagai King Of Tremolo termasuk bertanggungjawab mencipta solo berhantu lagu-lagu Search.
Walaupun bukan anggota asal Search, Noordin juga terbabit dalam rakaman hampir semua album Search kecuali Selepas Banjir dan Gothik Malam Edan.
Noordin dalam temu bual bersama akhbar ini mengakui dialah yang menghasilkan ‘rangka’ kebanyakan gubahan muzik Search menerusi riff gitarnya.
Walaupun pernah dikecam kerana dikatakan tidak layak menganggotai Search kerana menggantikan Hillary pada 1988, Kid berjaya meletak namanya sebaris dengan pemain gitar handalan lain.
Malah, paling penting, Kid berjaya membuatkan namanya sebati dengan Search. Sound gitarnya cukup sinonim dengan Search hingga hari ini.
Nasir Daud pula cukup sinonim sebagai pemain bass Search namun Yan atau Amran Marsiman mungkin wira Search yang tidak didendang.
Nasir antara anggota asal Search ketika era bermain di kelab seperti Red Rooster dan Hard Rock Cafe (Taman Tun Dr Ismail).
Malah, dia terbabit dalam lapan album Search kecuali Cinta Buatan Malaysia, Rampage, Bikin Wilayah dan Selepas Banjir.
Walaupun hanya terbabit dalam tiga saja album iaitu Cinta Buatan Malaysia, Rampage dan Double Trouble (bersama Wings), tetapi Yan disukai ramai peminat Search.
Gaya permainan versatile menjadikan muzik Search lebih berwarna. Pengalaman Yan mengiringi persembahan dan rakaman album nama-nama besar industri muzik tanah air antaranya Datuk M Nasir, XPDC dan Lefthanded membuatkan dia lebih dihormati.
Amy, Noordin ketuai gandingan berlainan untuk persembahan kumpulan legenda.
Persembahan ‘Kayangan’, Marhaen
Ada segelintir netizen melabelkan Konsert Search Endemik di Zepp Kuala Lumpur sebagai ‘konsert kayangan’ manakala Konsert Search Rockin’ On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell sebagai ‘konsert marhaen’.
Ia berdasarkan harga tiket iaitu RM250 hingga RM650 untuk Konsert Search Endemik dan RM88 hingga RM298 bagi Konsert Search Rockin’ On Rooftop.
Lokasi Zepp Kuala Lumpur di Bukit Bintang City Centre dilihat lebih mewah dan classy berbanding bumbung Kompleks Campbell di Jalan Dang Wangi.
Namun ia sebenarnya unik lebih-lebih lagi Kompleks Campbell itu sendiri sinonim dengan rockers era 1980-an.
Apapun tanggapan mereka, ternyata kedua-dua konsert ini mendapat sambutan.
Dikhabarkan, semua tiket hampir habis dijual, sekali gus membuktikan ‘dua Search’ ini tetap hebat.
Pemain bass Search, Nasir Daud berkata, ketika merancang konsert Endemik, tiada perkara lain terlintas kecuali untuk menghiburkan peminat mereka.
“Bukan satu isu besar kerana Search pernah beraksi empat malam di lokasi berprestij Istana Budaya beberapa tahun lalu.
“Maklumat penganjur menunjukkan, penonton dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak selain Singapura turut membeli tiket. Mereka sudah lama idamkan hendak menonton konsert selepas kebenaran pergerakan diberikan.
“Kali ini kami lebih fokus kepada lagu nostalgia. Sebabnya, kita kena sedar peminat Search memang ramai sejak empat dekad kami wujud. Mereka rata-rata berusia 40 ke atas,” katanya.
Sementara itu, pemain gitar Search, Nordin Mohd Taib berkata, lokasi di atas bumbung pusat beli-belah itu pastinya memberi pengalaman berbeza buat penonton.
Menurutnya, pentasnya tidak berbumbung dan tidak ada backdrop, sebaliknya penonton dihidangkan dengan panorama bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.
“Itulah backdrop pentas kami. Pastinya ia memberi impak menarik terutama daripada segi fotografi dan visual,” katanya.
Noordin berkata, mereka juga akan menampilkan keistimewaan tersendiri dan hanya mahu enjoy bersama penonton.
“Tiada tekanan dan nak enjoy semata-mata. Kami nak habiskan projek ini dan kemudian pergi kepada projek seterusnya (merakam single bersama Denden) dan konsert di Indonesia,” katanya.
‘Kedua-dua Kumpulan Ada ‘Market’ Tersendiri
Penyanyi dan penerbit album tersohor, Datuk Ramli Sarip menyifatkan dua konsert Search yang akan dijayakan tidak lama lagi sebagai perkembangan yang sihat untuk industri muzik.
Untuk rekod, Konsert Search Endemik di Zepp Kuala Lumpur akan diadakan pada 4 dan 5 Jun manakala Konsert Search Rockin’ On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell di sini, pada 11 Jun ini.
Ramli berkata, ia satu ‘warna’ yang baik yang mana setiap individu ada bakat yang hendak ditonjolkan atau dipersembahkan.
“Mudah-mudahan ia akan berkembang secara positif untuk kebaikan karier mereka,” katanya.
Walaupun Ramli lebih sinonim dengan penerbitan album-album Lefthanded, penyanyi kumpulan Sweet Charity itu pernah menyumbangkan satu lagu untuk Search iaitu Langit & Bumi.
Sehingga hari ini, itulah satu-satunya lagu ciptaan Ramli untuk Search.
Menurut Ramli, seperti yang diketahui ramai, Amy tetap hebat sebagai Amy Search.
“Hakikat ini tidak dapat dinafikan lagi. Persembahannya pasti memukau dan mengujakan peminat setia kumpulan ini.
“Namun, mungkin peminat mahu lihat juga kehebatan Search oleh Noordin dan Kid. Tentunya kedua-dua kumpulan ini ada market tersendiri,” katanya. Dalam pada itu, penyanyi Blues Gang, Ito Mohd mengakui rapat dengan anggota kedua-dua kumpulan Search ini, terutamanya Kid ketika usianya 13 tahun.
Menurutnya, adalah baik sekiranya kedua-dua Search ini boleh bertahan dan selepas itu bergabung dalam konsert besar.
“Amy dan anggotanya bagus. Noordin pula pernah terbabit dengan konsert Blues Gang dulu. Saya rasa mereka akan jadi lebih hebat. Tak apalah, sekarang mereka buat konsert berasingan dulu tapi satu hari nanti, kita minta mereka bergabung semula.
“Perkara sebegini bukannya mustahil. Macam saya cakap mereka, dari satu kampung iaitu Johor Bahru, Johor. Saya yakin mereka boleh bergabung,” katanya.
Amy Atau Kid Bukan Pengasas Kumpulan Search. Tapi Hillary dan Yazit
Tetapi… ia bermula dari detik di mana Hillary Ang mengajak Yazit mencuba nasib di KL untuk bekerja di Red Rooster Club, Medan Tuanku kerana ada kontrak menanti.
Ketika itu kumpulan Search terdiri daripada Hillary, Yazit, Zainal dan Memek dari Indonesia. Mereka mengikat kontrak dengan kelab tu selama 3 bulan.
Namun, selepas tu, tiada lagi persefahaman yang menyebabkan hanya tinggal Hillary dan Yazit sahaja.
Pihak kelab boleh meneruskan kontrak kumpulan Search tapi dengan syarat mereka mesti cukupkan ahli kumpulan. Jadi, mereka berdua pun balik ke Johor untuk mencari seorang vokalis dan pemain bes.
Waktu di sana, Hillary ada perancangan nak ambil Suhaimi Abd Rahman (Amy) kerana sebelum ni mereka memang ada pengalaman buat persembahan bersama Amy dalam majlis kenduri.
Waktu tu Amy kerja sebagai penghantar surat dan tak ada gaya rockers bagi Yazit. Tapi, disebabkan Yazit tak nak timbulkan sebarang konflik dengan Hillary, dia bersetuju.
Pada mulanya Amy belum bersetuju untuk masuk kumpulan Search sebab dia pun baru beberapa hari dapat kerja sebagai piano tuner di Yamaha Music. Maka, nak yakinkan tu agak mencabar. Namun, Yazit mula menunjukkan minat selepas ditunjukkan kontrak.
” Kami bagi tempoh sehari saja dan saya maklumkan, lusa kami tunggu dirinya untuk naik bas MARA di stesen bas jam 1 tengah hari. Saya sampai dulu dan beli tiga tiket kerana yakin Amy pasti ikut kami ke KL.
” Sehinggalah bas nak bergerak, batang hidung dia masih tak nampak. Lepas naik bas, saya terus campak tiket Amy ke dalam tong sampah.”- Yazit, petikan dari BeritaHarian.
Tiba-tiba, baru bas nak gerak, kelibat Amy muncul.
Akhirnya, mereka bertiga menaiki bas ke KL. Sepanjang perjalanan, mereka tidak bercakap sesama mereka hinggalah Amy menoleh ke Yazit dan Hillary sambil berkata,
” Zit (Yazit), lu jangan tipu gua. Kalau lu tipu gua m4ti. Gua cakap dengan mak gua pergi Kuala Lumpur tiga hari saja”- Amy, petikan dari Berita Harian
Dia pun tunjuk sekali lagi kontrak dengan tertulis gaji RM900 seorang. Kemudian, mereka menyambung melayan perasaan hinggalah sampai ke Puduraya.
Dan di KL, mereka diperkenalkan pula dengan Nasir yang direkrut masuk menjadi pemain bes kumpulan tersebut, maka cukuplah ahli kumpulan Search.
Dah lengkap semua, maka persembahan pun dimulakan di Red Rooster Club. Pengunjung terkejut dengan persembahan mereka kerana waktu tu rentak Raggae yang lebih popular. Kelab tu menerima semakin ramai pengunjung.
Dipertemukan Dengan Man Kidal
Selepas setahun, mereka terpaksa mencari pengganti Hillary kerana dia akan ke Jerman menjadi pemuzik pengiring Datuk Khatijah Ibrahim. Maka dari situ, Search dipertemukan dengan Man Kidal yang pada mulanya ahli kumpulan Lefthanded.
” Boleh dikatakan, setiap malam kelab itu penuh dengan pengunjung. Band terkenal tempatan dan luar negara juga ada singgah di situ. Pada masa sama, ramai penerbit tengok persembahan kami.
” Antaranya Fauzi Marzuki daripada EMI. Selang beberapa hari, (Datuk) M Nasir yang memang kami ketahui sentuhannya dalam Kembara juga datang.
” Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, semua ahli bersetuju komposer berkenaan menerbitkan album sulung kami.”- Yazit, petikan dari Berita Harian
Tak lama lepas tu, Search menjadikan M. Nasir sebagai penerbit album pertama serta kemudiannya menandatangani kontrak rakaman dengan Polygrams Record sebuah syarikat rakaman di Singapura.
Kumpulan ni dah menghasilkan tiga album studio terawal bersama Polygram. Iaitu Cinta Buatan Malaysia (1985), Langit dan Bumi (1986) dan Mentari Merah Di Ufuk Timur (1987).
Dari situ, nama kumpulan ni meningkat naik sehingga menerima anugerah Penyanyi Berkumpulan Paling Popular Berita Harian beberapa kali dari tahun 1987, hinggalah dirampas kumpulan IKLIM pada tahun 1990.
Selepas ada sedikit konflik dengan Polygram Record, Search beralih ke Pacific Records sebagai label edaran. Mereka juga menubuhkan syarikat rakaman sendiri, Go-Search Sdn. Bhd. serta membuat rakaman album di sini.
Maka, bermulanya detik fenomena kumpulan Search dirasi apabila album hit pertama mereka, Fenomena dikeluarkan pada tahun 1989 serta termuatnya lagu ‘Isabella’.
Selain membuat persembahan live dan jelajah ke seluruh negara termasuk Indonesia, dua buah filem berkaitan mereka turut dihasilkan iaitu filem Fenomena (1990) dan Isabella (1990) yang dibintangi sendiri oleh Amy Search.
kredit: HMETRO