Yonny berkata Ramadan kali ini berbeza kerana dia perlu berdikari lebih-lebih lagi ketika waktu bersahur kerana isterinya tidak larat untuk memasak.
“Biasanya isteri yang akan sediakan sahur. Tapi tahun ini saya kena berdikari sendiri. Nasib baik perkhidmatan penghantaran makanan ada sehingga awal pagi.
“Sebabnya isteri, Nazira yang kini sedang hamil enam bulan sudah tidak larat memasak di dapur. Saya pun tidak memaksanya untuk memasak. Jadi tidak mengapa bila saya kena urus sendiri makan minum sepanjang Ramadan,” katanya.
Menurut Yonny lagi, sejak disahkan hamil, isterinya Nik Nazira mengalami alahan teruk sehingga berat badannya turun sebanyak 10 kilogram serta tidak boleh tidur.
“Isteri kena alahan teruk sehingga berat badannya turun sebanyak 10kg. Dari pagi sampai ke malam. Antara gejala yang dia alami tidak boleh tidur dan anxiety.
“Dia juga selalu mengadu rasa kejang dan sakit. Lebih sakit daripada kekejangan akibat datang bulan katanya. Mungkin sebab pengalaman hamil kali pertama, jadi isteri belum biasa lagi,” katanya.
Bakal bergelar bapa dalam masa tiga bulan lagi, Yonny mengakui sangat turuja apatah lagi sememangnya itu impiannya untuk menimang cahaya mata pada usia 25 tahun.
“Saya memang teruja sangat nak sambut kelahiran bayi sulung ini nanti. Bergelar bapa pada usia 25 tahun memang antara impian saya. Alhamdulillah ini rezeki dan hadiah daripada Tuhan,” katanya.
Terdahulu, Yonny dan Nazira mendirikan rumah tangga pada 20 November 2021 lalu secara rahsia, namun hanya mendedahkannya kepada umum enam hari sah bergelar suami isteri.