Isteri Sham Kamikaze Tuntut Cerai. Berita paling hot hari ini, Budiey petik dari Mstar Online. Isteri kepada pemuzik dan pendakwah Sham (Kamikaze) iaitu Farazila Abdul Jabar memfailkan perceraian terhadap suaminya pada 30 Ogos lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dekat sini kerana konflik dalaman yang berlanjutan sejak tiga tahun lalu.
Farazila, 31, berkata, keputusan itu diambil selepas pelbagai usaha untuk memulihkan rumah tangganya dengan Sham atau nama sebenarnya Shamril Mohd Salleh, 36, menemui jalan buntu.
Farazila menunjukkan surat permohonan cerai yang difailkannya di Mahkamah Syariah Rendah Shah Alam pada 30 Ogos lalu. – Kredit Foto oleh WAHIDUZZAMAN
“Saya ambil keputusan untuk memohon cerai daripada Sham kerana sudah tidak boleh hidup bersamanya lagi. Kami hanya bahagia pada tahun pertama perkahwinan sahaja. Beberapa konflik dalaman yang berlaku antara kami terlalu peribadi untuk saya dedahkan. Ia menjadi sebab utama perceraian ini,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Menara Star di Petaling Jaya.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 17 Ogos 2008 secara rahsia di kampung halaman Farazila di Batu Pahat, Johor.
Ditanya adakah keputusan bercerai itu turut dipengaruhi kontroversi kononnya Sham sudah bernikah lagi pada Januari lalu, Farazila berkata, ia bukan faktor utama sehingga dia mengambil tindakan itu.
Farazila dan Sham bernikah pada 17 Ogos 2008 secara rahsia.
“Ia (bercerai) bukan kerana cerita itu. Jika benar Sham bernikah lagi, saya sebagai isteri pertamanya reda bermadu tetapi sikap tidak bertanggungjawabnya dalam urusan rumah tangga membuatkan saya kecewa dan tawar hati.
“Mengenai cerita dia bernikah lagi, tiga kali saya bertanya kepada dia untuk kepastian tetapi dia tidak mengaku dan berdolak-dalik. Malah, dia mula menjauhkan diri, tidur berasingan dan bersikap kasar terhadap saya,” katanya.
Farazila berkata, dia terpaksa berdiam diri selama ini walaupun maruahnya dan keluarga diperlekehkan umum sejak kontroversi Sham beristeri dua tersebar kerana disuruh mengunci mulut.
“Sudah lama saya berdiam diri sejak cerita itu tersebar walaupun maruah saya dan keluarga diperlekehkan. Kalau diperhatikan, saya langsung tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan kerana Sham tidak membenarkannya. Saya tidak mampu bertahan lagi kerana banyak konflik dalaman antara kami yang menafikan hak saya sebagai isteri. Sebab itu, saya ambil keputusan untuk memfailkan perceraian ini,” katanya.
Kontroversi yang mendakwa Sham bernikah lagi pada 16 Januari lalu bukan punca utama Farazila memfailkan perceraian. – Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Menerusi laporan mStar Online pada 20 Januari lalu, Sham menafikan desas-desus mendakwa dia sudah bernikah lagi secara rahsia pada 16 Januari di Pulau Pinang.
Sham menganggap gosip itu sebagai fitnah yang mencalar reputasinya sebagai pendakwah baru dan menggores hati isterinya Farazila.
Pada artikel mStar Online bertarikh 13 April lalu, keluarga yang dipercayai isteri kedua Sham iaitu Nurul Halimin Md Salleh, 32, terkilan apabila gitaris itu masih enggan mengakui dia sudah bernikah kali kedua.
Sumber terdekat keluarga tersebut berkata Sham yang kini bergelar pendakwah bebas bersikap tidak jujur kerana sehingga kini masih menafikan pernikahan itu. sumber: Mstar Online