Kemelut rumah tangga antara bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dengan isterinya, Puan Seri Elly Afizahwati Abdul Jalil hangat menjadi perbualan netizen di media sosial. Rasanya, kalau video perbalahan diorang ni kat sosial media, mungkin kita pun tak tahu.
Dalam perkembangan terbaharu, isterinya yang berusia 42 tahun hadir memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor, Khamis pagi.
Elly berkata permohonan cerai itu difailkan kerana faktor shiqaq atau perbalahan berpanjangan dengan Musa yang dikahwininya sejak 10 tahun lalu.
“Tan Sri dah keluar rumah kelamin sejak enam bulan lalu. Selepas tuntutan ceral ini, saya akan memfailkan tuntutan hak jagaan dan nafkah anak saya yang berusia lapan tahun,” katanya ketika ditemui di mahkamah.
Terdahulu, Elly hadir bersama peguam syarie, Datuk Hazizah Kassim dan Noorulhuda Daud bagi memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.
Isteri nafi sebar video pertelingkahan dengan Musa Hassan
Isteri Tan Sri Musa Hassan menafikan telah menyebarkan video berhubung pertelingkahannya dengan bekas Ketua Polis Negara itu, baru-baru ini.
Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42, berkata, ini kerana rakaman itu telah diserahkan lebih awal kepada pihak polis semasa siasatan dijalankan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur.
Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya memandang serius penyebaran video dan lain-lain rakaman TikTok di media sosial selain komentar terhadapnya.
“Saya turut mengecam penyebaran rakaman video itu kerana telah mendedahkan wajah anak saya yang masih kecil.
“Telefon bimbit mengandungi video tersebut telah diserahkan kepada polis, jadi saya tidak pasti sama ada ia tersebar kerana orang dalaman atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.
Elly Afizahwati berkata, beliau hanya mengetahui penularan video itu buat pertama kali menerusi aplikasi TikTok selepas dimaklumkan oleh adiknya.
Susulan itu, beliau membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk siasatan lanjut pada Rabu.
Sebelum ini, beliau telah mengambil pendirian untuk berdiam diri dan tidak mengulas termasuk membalas kenyataan oleh Musa kerana terdapat rundingan penyelesaian berkenaan.
“Tiada niat untuk menjadikan rakaman itu tular apatah lagi menjatuhkan reputasi mana-mana pihak kerana rakaman itu tidak lebih kepada melindungi diri saya dan menjadi bukti yang boleh digunakan di Mahkamah Syariah kelak.
“Ekoran penyebaran video itu, saya telah dipanggil memberi keterangan di IPK Kuala Lumpur pada 1 Mac lalu, malah saya membuat laporan polis berhubung insiden pergaduhan yang berlaku sebelum ini,” katanya.
Mahkamah turut menetapkan 11 Mei untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, video pertengkaran antara Elly dan Musa di dalam sebuah kediaman tular di media sosial sehingga menerima pelbagai reaksi netizen.
Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 2 Ogos 2013 dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki.