SEJAK semalam, tular rakaman di laman Facebook memaparkan suasana kecoh dalam satu sidang media tertutup mengenai isu kontroversi projek banglo mini anjuran DBI Technology Sdn. Bhd.
Menurut laporan beberapa portal, suasana menjadi semakin ‘tegang’ apabila wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendapati Boy Iman tidak datang dalam sidang itu apabila disedari cuma isterinya berseorangan.
https://youtu.be/nU8ric_Ux5E
Bukan itu sahaja, malah seorang akauntan DBI yang tidak membenarkan wakil PPIM masuk mengikuti sidang media berkenaan juga antara punca keadaan di luar dewan bertukar menjadi kecoh.
Difahamkan, semalam DBI telah mengadakan program tertutup itu bersama-sama sekumpulan pembeli rumah projek kontroversi syarikat tersebut dengan tajuk ‘Atas Nama Kebenaran‘,
Sidang tersebut bertujuan memberi pencerahan lanjut berkaitan kontroversi yang melibatkan aduan orang ramai tentang isu projek banglo mini gagal disiapkan.
Menerusi video berkenaan, berlaku ‘peperangan mulut’ antara isteri Boy Iman, Ida Anas dengan beberapa wakil PPIM termasuk aktivisnya, Yusuf Azmi apabila mula diajukan soalan berkaitan urusan perniagaan suaminya.
“Mungkin kita boleh tanya isteri Boy Iman mengenai modus operandi yang dijalankan oleh DBI ini,” soal Yusuf kepada Ida.
Bagaimanapun, wanita tersebut mendakwa tidak mengetahui mahupun terlibat dengan urusan perniagaan suami itu.
“Saya tak tahu apa-apa. Saya tak campur dalam hal ni,” balas Ida ringkas.
Situasi di luar dewan itu jadi makin ‘panas’ apabila Ida mula dakwa pihak PPIM ‘putar belit’ cerita mengatakan konon suaminya membatalkan pertemuan pada Jumaat lalu kerana mahu membawa beliau pergi membeli belah.
“Dia dah bagitahu awak yang dia tak dapat datang. Tapi awak tukar cerita, awak kata dia nak bawa saya pergi shopping kan?,” dakwa Ida.
Yusuf bagaimanapun menempelak dakwaan Ida dengan mempersoalkan status dalam akaun Instagram yang menunjukkan beliau dan Boy Iman sememangnya ada membeli belah.
“Memang you sendiri post dekat dalam Instagram, you pergi makan,” bidas Yusuf.
Dalam pada itu, Ida telah mencabar Yusuf membuat laporan polis sekiranya benar syarikat suaminya itu melakukan penipuan seperti yang didakwa kebanyakan pihak.
Sementara itu, peguam PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim menafikan dakwaan kehadiran pihak PPIM ke sana adalah ingin mencetuskan provokasi kepada syarikat berkenaan.
Sebaliknya mereka hanya ingin mendapatkan maklumat bagi menjawab setiap persoalan yang ditanya oleh mangsa-mangsa projek yang dibuat oleh DBI itu.
“Saya jangka, saya datang dapat berjumpa kontraktor dia, atau QS (juruukur bahan) dia dan akan beri penjelasan laporan kiraan harga rumah yang kita boleh buat berdasarkan bahan kita miliki.
“Sebab kita tidak faham macam mana contohnya, seorang kena bayar RM50,000, dibayar pula komisen kepada ejen jualan, harga bahan berapa kos, kos buruh berapa, margin untung berapa?
“Ini soalan kita nak tanya hari ini bukan nak buat provokasi,” kata Hishamuddin menerusi rakaman tersebut.
Jelas Hishamuddin lagi, beliau menggesa agar tindakan dan siasatan segera diambil oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa kepada skim tersebut.
Terdahulu, terdapat satu pertemuan antara mangsa-mangsa yang ditipu sehingga tercetusnya kekecohan apabila Boy Iman gagal menjawab persoalan berhubung projek banglo mini tersebut.
Namun sehingga kini, tidak diketahui apakah kesudahan sidang media tersebut sama ada pembeli berpuas hati dengan solusi penyelesaiannya ataupun masih tergantung.
Sumber & Video: MyNewsHub