Semasa sidang media Oh My English-Hello America, di Hotel Hilton, Isnin lalu, ramai yang perasan, isteri Aaron Aziz kini bertudung. Pelakon Aaron Aziz menzahirkan rasa syukur apabila isterinya Diyana Halik, 30, akhirnya membuat keputusan untuk berhijab selepas pulang daripada bercuti di Hong Kong pada Ahad lalu.
Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 37, berkata, dia ada meminta isterinya untuk bertudung selepas menunaikan umrah dua tahun lalu, namun tidak memaksa wanita itu untuk berbuat demikian.
“Saya bersyukur akhirnya dia ambil keputusan untuk bertudung dengan ikhlas tanpa sebarang paksaan. Sebelum ini ada juga meminta dia berhijab iaitu selepas pulang menunaikan umrah dua tahun lalu, namun saya tidak mahu terlalu memaksa dan biar dia melakukannya dengan kerelaan hatinya sendiri.”
Tambah Aaron, dia mengetahui niat isterinya untuk berhijab sudah lama, namun belum benar-benar bersedia untuk keputusan tersebut. Aaron berkata, dia juga mahu anak-anaknya mengikuti perubahan tersebut demi kebaikan keluarga mereka.
“Saya mahu anak-anak pun sama berubah juga, kalau boleh tidak mahu mereka pakai terlalu seksi atau singkat. Dahulu kalau saya tegur mereka akan mereka akan mempersoalkannya, kali ini biar mereka juga ikut seperti ibu mereka.”
Sementara itu, Diyana berkata, tindakan mengenakan selendang di kepala ketika berada di pesawat dalam perjalanan pulang dari percutian di Hong Kong menjadi titik mula hatinya terbuka untuk terus bertudung.
Tambahnya lagi, Aaron kerap kali menghantar video-video dan bercerita tentang hari kiamat menguatkan lagi hatinya untuk berhijrah.
“Sejak kebelakangan ini, Aaron banyak bercerita tentang petanda kiamat dan perkara itu menguatkan hati saya untuk bertudung. Sebelum ini memang saya sudah ada niat untuk berubah, cuma hati masih belum benar-benar bersedia,” katanya yang belum berkesempatan membeli tudung untuk membolehkan imejnya kelihatan lebih sempurna. – Sumber: Mstar Online