in ,

Istana Negara Persembah Potret Rasmi Agong & Permaisuri

Istana Negara mempersembahkan potret Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Potret itu dipersembahkan sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai 2024.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Menteri Komunikasi merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17, Fahmi Fadzil, pada 16 Mei lalu mengumumkan Istiadat Pertabalan berlangsung pada 20 Julai di Istana Negara dan kerajaan dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, akan melaksanakan tujuh acara sempena istiadat penuh simbolik lima tahun sekali itu.

Istana Negara Persembah Potret Rasmi Agong & Permaisuri

Acara sempena Istiadat Pertabalan itu dimulakan dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada 18 Julai disusuli Khutbah Khas serta Solat Jumaat pada keesokannya di Masjid Negara.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara akan disusuli Majlis Santapan Diraja pada hari sama.

Turut berlangsung lawatan Raja Permaisuri Agong ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai manakala Pameran Raja Kita dijadualkan pada 25 Julai di Muzium Negara sebelum diakhiri dengan Majlis Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai di Istana Negara.

Istana Negara Persembah Potret Rasmi Agong & Permaisuri

Detik bersejarah Raja Berperlembagaan

Malaysia bakal melakar detik bersejarah dalam sistem Raja Berperlembagaan menerusi istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Menerusi istiadat pertabalan itu, ia secara tidak langsung turut menterjemahkan identiti Kesultanan Melayu dan memperlihatkan keunikan Malaysia sebagai satu-satunya negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan secara penggiliran.

Istiadat pertabalan Sultan Ibrahim juga memaparkan keistimewaan warkah persilaan yang dimulakan sejak istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang pertama negara iaitu Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad.

Berkongsi mengenainya, Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, warkah persilaan menggunakan tulisan jawi yang ditulis tangan itu, diletakkan di dalam kapsul khas untuk dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu dan Tuan Yang Terutama (TYT).

Ia bertujuan mengundang Raja-Raja Melayu dan TYT untuk mencemar duli ke Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim yang bakal berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada 20 Julai ini.

Istana Negara Persembah Potret Rasmi Agong & Permaisuri

UTUSAN WARKAH PERSILAAN

Menurut Azuan Effendy, utusan menyampaikan warkah persilaan tersebut terdiri daripada wakil Istana Negara iaitu beliau sendiri, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang dipertanggungjawabkan sebagai Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Awang Alik Jeman merangkap Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan serta Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan, Datuk Rozainor Ramli.

”Untuk Raja-Raja Melayu, bekas (kapsul) itu disaluti dengan emas manakala untuk Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, ia disaluti perak.

“Kita berusaha sebaik mungkin untuk menghadap ke bawah duli baginda secara penuh tertib dan santun, untuk menyembahkan warkah persilaan ini dengan penuh adat istiadat,” katanya.

Sebagaimana yang diamalkan sebelum ini, warkah berkenaan juga ditulis tangan dengan tulisan khat Jawi dan bahasanya adalah bahasa Melayu.

Ia menggunakan bahasa Istana yang halus sebagai perantaraan di kalangan Raja-raja yang menitikberatkan penghormatan kepada baginda sultan yang lebih tua dan dalam masa yang sama menggunakan panggilan hormat untuk baginda sultan yang lebih muda.

Sebanyak 16 warkah persilaan telah dipersembahkan dengan yang terakhir, disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu (5 Julai). Warkah itu turut dipersembahkan kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sendiri berkenan menyembahkan warkah itu kepada Sultan Hassanal Bolkiah.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Puteri Sarah & Nad Zainal Terharu Terima Anugerah Khas Daripada Mommyhana

YONNYBOII

Berganding Dengan Jobranko, Yonnyboii Serlah Sisi Rock Dalam Nadi