in

Isma Yusoof Tukar Nama Kepada Azma Aizal Yusoof

Sebenarnya dah lama tak jumpa dan berborak dengan pelakon Isma Yusoof. Ops, sekarang Isma dah tukar namanya kepada Azma Aizal Yusoof. Minggu lalu, Budiey disapa Azma Aizal melalui SMS. Katanya, “Call Isma, ada bahan PANAS!!!”

Pada masa itu, Budiey bersama dengan Kak Kelly dan juga krew Ewah-Ewah tengah makan-makan di Rumah Terbuka Hotel Quality Shah Alam. Sejurus selepas itu, Budiey kena join menjadi peserta Ewah-Ewah musim terbaru di Studio Glenmarie. Kemudian, Budiey call Isma. Cakap kat dia, apa dia yang panas sangat nih. Ingat ke Isma nak kasi bahan gossip ke apa ke, rupanya ingin mengkhabarkan sesuatu tentang perkembangan dirinya. Diajaknya Budiey bertemu untuk berbual-bual.

Mungkin kerana sibuk, Budiey tak sempat nak bertemu dengan Azma Aizal. Tapi pada hari Budiey ada assignment di Pavillion (Sidang Media Drama Kau dan Aku – Astro), Budiey terserempak dengan Azma Aizal bersama dengan wartawan Kosmo.

Jadi selepas Budiey baca temubual ini, barulah Budiey dapat tahu perkara yang sebenarnya. Budiey sangat TERKEJUT BESAR~!

Apa yang Budiey harapkan, Azma Aizal teruskan perjuangan dalam bidang seni, semoga apa yang berlaku dijadikan pengajaran dan pastikan sejarah hitam takkan mungkin berulang.

Semoga Azma Aizal terus sukses~

====

BERMATLAMAT menginjak kepada satu fasa transformasi yang besar dalam hidupnya, pelakon dan pengarah muda, Isma Yusoof kini nekad tidak lagi ingin dikenali dengan nama glamor itu. Dia kini mahu semua memanggilnya dengan nama Azma Aizal Yusoof. Melalui saat getir pada bulan Ramadan dan Syawal kali ini gara-gara terlalu percayakan rakan-rakan, Azma, 27, hampir tenggelam dalam dunia khayalan ganja. Pengaruh kurang sihat rakan-rakan seperjuangan juga membuatkan hidupnya berada dalam zon gelap buat seketika.

Pemilik nama sebenar Muhamad Ismaizal Yusoof ini tidak kesal melalui apa yang sudah ditakdirkan dalam lipatan perjalanan hidupnya. Kepada Kosmo! Ahad, dia menceritakan pengalaman berada di bawah pengaruh ganja dan dua minggu dia meneutralkan diri dalam semua aspek di sebuah pusat pemulihan di Sungai Besi, iaitu Pemulihan Rakan Sekelompok Amalan Daya Juang Abadi (Persada) atau yang kini dikenali sebagai Puspen.

Ia merupakan pusat serenti pertama yang melaksanakan modul terapi kekeluargaan. Buat masa sekarang, Azma menetap di kediaman ibunya di Bukit Beruntung dan diletakkan di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Bagaimana boleh terjebak dengan pengaruh ganja?

AZMA: Mula-mula dengan rokok dan kemudian semua berlaku sewaktu saya berlakon dalam drama Di Antara Garisan. Sewaktu itu saya betul-betul mendalami watak Hattan. Saya mula banyak bercakap tentang ketuhanan. Selepas tamat penggambaran waktu bulan puasa, saya mengambil keputusan untuk duduk di rumah sahaja. Ya, waktu itu saya bergelumang dengan ganja dan sebenarnya yang buat saya tertekan apabila kawan-kawan menuduh saya gila dan mengalami bipolar. Realitinya mereka juga yang mengajar saya mengenali ganja.

Kemudian?

Saya mengaku berada di bawah pengaruh ganja. Saya tidak mahu tuding nama siapa-siapa yang membawa saya ke arah itu tetapi yang lebih menyakitkan apabila mereka mula menelefon ibu saya dan memburuk-burukkan saya. ‘Kawan-kawan’ ini datang ke rumah saya dan kononnya mahu menasihati saya. Akhirnya ibu saya datang ke rumah dengan dua orang polis dan membawa saya ke hospital. Saya masuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selama tiga hari pada hari raya dan dimasukkan ke dalam wad psikiatri.

Khabarnya anda masuk ke Puspen dengan kerelaan sendiri?

Ya, saya mahu meyakinkan ibu saya, Hamidah Abdullah bahawa diri ini boleh sembuh. Saya memikirkan cara untuk menyenangkan hatinya dan selepas berbincang dengan Kak Nur, kakak sepupu saya yang merupakan seorang polis pengiring, saya masuk ke Puspen dengan kerelaan sendiri. Ibu dan keluarga yang menghantar saya ke sana. Saya mahu buat ibu dan keluarga bangga dengan tindakan saya. Dua minggu saya di sana dan baru keluar 12 Oktober yang lalu.

Apa yang anda pelajari di sana?

Saya belajar banyak perkara di sana. Saya tahu latar belakang penghuni di sana lebih ekstrem daripada saya tetapi mereka adalah abang-abang yang banyak mengajar saya. Malah, mereka adalah cermin saya. Di sana, saya banyak mengutip pengalaman mereka dan akan saya jadikan filem. Malah, saya berpeluang untuk mencintai dirisendiri dan keluarga dengan lebih mendalam lagi. Malah, dapat membezakan yang mana malaikat dan mana syaitan dalam kehidupan ini.

Saya dapat idea buat lagu di sana.

Maksudnya selepas ini anda akan hasilkan album dan jadi penyanyi?

Saya akan keluar dengan album saya yang berjudul, Aku Sayang Mak Aku. Saya bertanggungjawab menjadi penerbit, penyanyi dan penggubah lagu. Namun, saya akan turut memasukkan hasil kerja Pam Yuen, Audi Mok, Pacai, AwanBand dan AG Hujan. Semua lagu dalam album ini bakal menceritakan tentang kehidupan dan ketuhanan. Saya akan bergerak di bawah produksi saya sendiri iaitu PLUSS Records dengan motto, Plus The Plus, Minus The Minus.

Maksudnya anda akan terus berkarya dan tidak takut dengan pandangan orang selepas ini? Bagaimana pula dengan individu yang kononnya rakan-rakan anda itu?

Mereka kini bersembunyi kerana takutkan polis. Biarlah dan saya berani untuk berhadapan dengan ini semua. Saya mahu katakan yang saya benci dadah. Saya mengerti perasaan Jamal Abdillah dan Saleem kini. Saya boleh katakan semua ini ada hikmah di sebalik kejadian. Selain akan muncul dengan album, saya juga ditawarkan oleh pihak KRU untuk terlibat dalam produksi muzikal mereka, selain mengarah filem terbitan syarikat mereka.

Keadaan anda sekarang ini?

Saya lebih yakin dengan diri dan mahu bahagiakan keluarga. Dulu, saya terlalu percayakan rakan-rakan dan sanggup berkorban demi mereka. Kini tidak lagi. Tidak berdendam tetapi saya akan berkarya untuk siapa yang jujur malah siapa yang dapat menawarkan saya dengan harga yang bagus kerana menghargai bakat saya. Saya doakan semoga rakan-rakan saya itu akan menjadi manusia yang lebih baik. [sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Selebriti di Kembara TV3 Edisi Raya

Gambar Jamal Abdillah dan Nash Ubaidillah di Rumah Terbuka PENGASIH