Budiey nak ucap tahniah kepada Isma Yusoof kerana sekarang dia dah jadi pengarah! Bravo, bro! Itulah yang dikatakan rezeki. Bermula dengan seorang pereka grafik, kemudian berjinak dengan bidang lakonan… dari drama menjelajah pula ke filem… dan sekarang… lihatlah di mana anak Kelantan bergelar Isma Yusoof ini berada! Budiey turut berbangga dengan pencapaian Isma!
Drama pertama untuk drama Merah Putih! Syabas dari kami di Sensasi Selebriti! Tak sabar nak tengok Isma mengarah di lokasi. Khabarnya drama ini akan memulakan pengambaran pada bulan Februari dan akan menjalani shooting di Kuala Kubu Baru.
Berilah apa saja watak, baik besar atau kecil, pasti dijiwai dengan berkesan. Ia terbukti menerusi watak Jenal, samseng kampung bergigi jongang menerusi drama Kerana mu Saerah, Mac (Emil Emilda), Butang (Sinderella) dan terbaru Benjamin Salleh (Rona Roni Makaroni).
Lebih membanggakan, anak didik pengarah Shahrulezad Mohameddin (Ezad) ini mendapat kepercayaan melebarkan bakat sebagai pengarah menerusi drama Merah Putih untuk slot Legenda TV3 yang akan memulakan penggambaran Februari ini.
Ia perkembangan pantas, apatah lagi pembabitannya dalam industri masih hijau. Pun begitu, lulusan Ijazah Kepujian Filem Animasi, Universiti Multimedia (MMU) ini tidak pernah mendabik dada, sebaliknya menyifatkan ia sebagai rezeki.
Lagipun baginya, yang baru saja tamat penggambaran drama Rona Roni Makaroni, tawaran depan mata tidak seharusnya ditolak, apatah lagi itu impian sejak dulu.
“Tahun lalu Ezad cadangkan supaya saya mengikut langkahnya sebagai pengarah, tetapi saya belum bersedia. Sebagai orang baru, masih banyak perlu saya belajar. Justeru, saya memilih untuk bermula dari bawah dan tidak kisah membantu apa saja kerja di lokasi, termasuk menyediakan prop dan membancuh air. Saya percaya makin banyak kita bekerja, makin banyak kita belajar dan jadi lebih bersedia. Ketika menjayakan Sinderella, saya turun padang sebagai pengarah bersama. Jika Ezad tidak ada, saya akan ambil alih tempatnya. Dari situ saya dapat pendedahan dan ada keberanian untuk bergiat dengan lebih serius,†katanya.
Memandangkan ini percubaan pertama, Isma tidak menafikan dia berdebar dan risau mengenangkan penerimaan orang ramai terhadap hasil kerjanya nanti. Pun begitu, dia bertuah kerana sebagai penerbit, Ezad akan membantu dan memantau usahanya. Skrip siri ini ditulis Jai tetapi cerita asal daripada Isma dan Ezad. Mengulas lanjut drama terbitan Radious One Sdn Bhd ini, Merah Putih diangkat daripada kisah rakyat Bawang Putih Bawang Merah, namun ia dipermodenkan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.
“Antara kelainan yang ditonjolkan dalam Putih dan Merah mengisahkan dua beradik tiri lelaki yang menyayangi antara satu sama lain. Watak itu dijayakan Wan Elias dan pendatang baru, Zahiril Adzim. Meskipun banyak perubahan dilakukan, saya masih mengekalkan elemen Bawang Putih Bawang Merah seperti cinta tiga segi, tasik, ikan kaloi serta kuasa magis. Diharap drama ini menjadi permulaan baik buat saya menyumbangkan sesuatu terhadap industri. Walaupun tidak sebesar mana, setidak-tidaknya ia mewarnai lagi suasana sedia ada,†katanya merendah diri.
Aktor berusia 26 tahun ini tidak pernah mengehadkan kemampuannya. Selagi berdaya melangkah, dia akan menceburi apa saja cabang seni yang terbentang luas depan mata. Siapa sangka, dia buka saja berbakat sebagai pelakon, pengarah dan pereka poster, tetapi juga bisa menghasilkan skrip, lirik serta lagu.
“Saya bercita-cita tinggi dan mahu melakukan banyak perkara sebelum usia mencecah 30 tahun. Mungkin ada segelintir pihak menyifatkan saya tamak, tetapi saya tidak kisah kerana tidak mahu menyesal di kemudian hari. Berjaya atau tidak ia tak penting, sekurang-kurangnya saya sudah mencuba. Apa yang dikecapi hari ini bagaikan mimpi. Sejujurnya, saya tidak tahu bermain alat muzik dan tidak pernah terfikir akan jadi penulis lirik dan penerbit lagu. Saya berterima kasih kepada Ezad kerana percayakan kemampuan saya menulis lirik untuk lagu tema siri Sinderella nyanyian Amylea AF3. Bermula dari situ, keyakinan diri semakin bertambah dan saya bertindak sebagai penerbit muzik untuk drama Rona Roni Makaroni.
“Menerusi tanggungjawab ini saya menerbitkan lagu Akan Tiba dipersembahkan Alif. Sekarang saya giat bekerjasama dengan kumpulan Bau, Aizat AF5 dan Amylea menyiapkan lagu tema drama Merah Putih. Minggu lalu pula, saya menandatangani kontrak sebagai penulis lirik syarikat Principle Connection M Sdn Bhd yang diusahakan Afdlin Shauki dan Pacai,†katanya yang bakal muncul dengan filem pertama, Stem di samping Afdlin, Vanidah Imran dan Que Haidar.
Menyingkap pembabitan awalnya dalam industri, anak muda berwawasan jauh ini memulakan kerjaya sebagai jurugambar dan pereka poster filem. Dari situ dia mendapat pendedahan luas apabila berpeluang bekerja dengan ramai nama besar antaranya, Afdlin Shauki dan Ida Nerina. Pada masa sama, minat terhadap bidang lakonan sejak di bangku sekolah semakin membuak-buak dan dia tidak menolak peluang apabila ditawarkan membintangi drama Sutun 2 dan terlintas untuk bergiat serius apabila menjayakan Sinderella.
“Tak sangka daripada suka-suka, akhirnya saya bergiat serius sebagai pelakon. Sukar juga kerana saya terpaksa membahagikan masa di lokasi penggambaran dan kerjaya pereka poster. Akhirnya saya mengambil keputusan memberi lebih tumpuan kepada bidang lakonan kerana di situlah jiwa saya. Bagaimanapun, ramai rakan menasihati supaya saya tetap meneruskan kerjaya mereka poster seperti biasa. Insya-Allah jika ada kelapangan, saya akan buat, malah ramai juga teman artis meminta saya menyiapkan kulit album untuk mereka. Setakat ini saya berjaya menyiapkan poster filem terbaru Afdlin iaitu My Spy, Jin Notti dan masih dalam perbincangan untuk filem Yasmin Ahmad,†katanya yang mementingkan kejujuran dalam setiap kerja dilakukan.
Mengulas lanjut kariernya sebagai pelakon, Isma bersyukur kerana berpeluang menghidupkan pelbagai karektor dan kebanyakannya melekat di hati penonton.
“Alhamdulillah tawaran datang silih berganti, tetapi tidak semua dapat saya terima kerana wataknya stereotaip. Sebagai pelakon, saya mahukan kelainan dalam setiap kemunculan dan relevan dengan saya. Untuk menjayakan sesuatu watak, saya tidak kisah melakukan apa saja, termasuk membotakkan kepala seperti dalam Rona Roni Makaroni yang bersiaran setiap Khamis, 9 malam, di Astro Ria. Saya juga tidak memilih sama ada drama, teater filem mahupun filem pendek, jika karektor dan jalan ceritanya bagus, saya akan terima,†katanya. – Sumber Harian Metro
Sebagai Ben dalam Rona Roni Makaroni
Pelakon serba boleh 2008!