Perkongsian berdasarkan dari sudut sosiobudaya, politik, ekonomi dan cabarannya masa kini, program berbahasa Inggeris 13 episodyang masuk musim kedua menemui penonton ini tampil dengan banyak lagi persoalan dan perbincangan yang dapat menambahkan lagi ilmu dan kecintaan terhadap Islam dalam menjalani kehidupan seharian.
Nikmat Islam Lengkapi Kehidupan Dalam Program Inggeris ISLAM TODAY Siri 2 di TV1
Episod pengenalannya “Marriage in Islam” membawa kepada persoalan mengenai konsep perkahwinan dalam Islam. Beberapa orang tokoh sarjana Islam membahaskan mengenai persoalan ini antaranya membincangkan mengenai hukum perkahwinan, memilih pasangan, pergaulan antara suami isteri, mendidik anak-anak termasuk hubungan dengan keluarga pasangan. Turut dibincangkan tentang perkahwinan antara penganut Islam dengan agama-agama lain khususnya perkahwinan dengan pasangan yang menganut agama Ahlil Kitab.
Dalam tajuk “Becoming a Muslim”,hos merujuk kepada tokoh daripada penganut agama yang sebelumnya bukan Islam tetapi telah berhijrah dan memilih Islam sebagai pegangan mereka. Secara keseluruhannya mereka mengakui memilih Islam adalah hasil kajian yang mereka lakukan dan mendapati Islam adalah agama fitrah dan benar berdasarkan penjelasan al-Qur’an. Mereka mengakui banyak cabaran yang perlu mereka tempuhi di awal pengislaman mereka terutama daripada keluarga namun akhirnya semua masalah dapat diselesaikan dengan baik.
Penting untuk dikongsikan tentang tajuk “Halal Travel and Tourism”di mana hos mendapatkan pandangan tokoh berkaitan dengan keperluan makanan halal kepada para pelancong muslim yang melancong ke negara-negara bukan muslim. Adalah menjadi kewajipan menyediakan kemudahan makanan halal dan kemudahan-kemudahan lain yang diperlukan oleh umat Islam kerana ramai antara mereka yang gemar melancong. Di samping itu para pelancong muslim hendaklah menjaga akhlak dan ketertiban semasa berada di negara asing.
Seterusnya tajuk “Islam and Science”tentang kaitan hubungan Islam dan sains dimana ia merupakan bidang ilmu yang dituntut dalam Islam. Di zaman keagungan Islam, ramai sarjana Islam yang menguasai pelbagai bidang ilmu berkaitan dengan sains. Antara tokoh-tokoh tersebut adalah al-Khwarizmi, al-Biruni dan Ibn Sina. Bidang-bidang yang diterokai adalah astronomi, matematik, aljebra, arithmatik dan trigonometri dan perubatan. Malahan pada masa ini ramai saintis muslim yang berjaya dalam berbagai bidang.
Sementara itu tajuk “Islam and the Changing Face of Fashion”(memperkatakan mengenai fesyen pakaian muslimat dan perkembangannya mengikut syariat pakaian wanita Islam), dan “Gender Identity”(mengenai isu golongan khunsa iaitu satu golongan yang mempunyai dua alat kelamin dan golongan yang mempunyai keinginan kepada kaum sejenis. Para ilmuan memberi penjelasan secara terperinci mengenai golongan ini dan menasihatkan masyarakat tidak memandang serong kepada mereka sebaliknya mendekati, membimbing dan memberi nasihat).
Episod “Wealth in Islam”(mengenai memiliki harta dan kekayaan menurut pandangan Islam), “Sustainable Living”(penting mengekalkan kehidupan yang sempurna melalui persekitaran yang baik), “Islamophobia”(mengenai pengertian Islamophobia – sentimen media barat dan secara berterusan supaya masyarakat bukan Islam membenci masyarakat minoriti Islam).
Dalam tajuk “Muslim Children Today”(kaedah mendidik anak-anak supaya mereka menjadi seorang muslim yang sempurna), “Islam and Local Culture”(mengenai hubungan Islam dengan adat budaya yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia), “Muslim in the Digital World”(mengenai dunia digital di kalangan umat Islam) dan “Corporote Muslim Leadership” (berkaitan perniagaan dalam Islam yang perlu dipatuhi ketika menjalankan perniagaan adalah aqidah, syariah dan tariqah).
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.