“BELAIAN SANUBARI DARI HANYA YANG MEMAHAMIâ€
Irin Putri Azmi Serikan Musim Baru Bersamamu
Apakah sebenarnya yang terbuku di hati seorang ibu yang telah begitu lanjut usianya, tatkala keseorangan di malam hari? Apakah perasaan dan hajat seorang penarik beca setiap kali memerah kudrat dan keringat di seluruh pelusuk kota, dan akhirnya bertemankan sepi tanpa hala destinasi? Sejauh manakah keindahan dan luasnya permandangan jika ianya hanyalah sebuah memori seorang wanita yang tidak dapat dikongsi kerana terbatas penglihatannya?
Begitulah antara cebisan kisah hidup yang dipaparkan menerusi program bercorak kemasyarakatan TV3, “Bersamamuâ€. Ia kini tampil lebih segar dengan garapan pengisian mengikut citarasa dan objektif utama program ini dalam menyampaikan warkah dan tauladan untuk sama-sama kita hayati dan saling membantu. Musim ini juga membuka lembaran baru menampilkan Irin Putri Azmi, menggalas tugas sebagai pengacara mulai 6 April 2011 dan untuk episod-episod seterusnya.
Irin Putri Azmi
Menurut Penerbit Eksekutif, Abdul Hisham Abdullah, “Diangkat sebagai salah satu daripada program utama TV3, setakat ini, Bersamamu telah membantu hampir 250 keluarga yang memerlukan menerusi derma dan sumbangan orang ramai yang prihatin di mana sebahagian besar daripadanya sudah pun diagihkan kepada keluarga Bersamamu pada musim-musim yang lalu. Sejak kemunculannya pada Mei 2005, Bersamamu kini mencecah 300 episod penerbitannya. Sejak penerbitannya, Bersamamu melalui beberapa perubahan waktu siaran dan pengacara namun begitu masih kekal dengan objektif program iaitu, prihatin terhadap masalah masyarakat dengan membangkitkan rasa simpati dan prihatin terhadap belenggu rakyat yang diserlahkan menerusi konsep keterbukaan dan penghayatan, di mana segala isi hati, harapan, inspirasi, daya usaha dan kekuatan akan dititik beratkan, dan bukan hanya sekadar paparan yang menyayat hati untuk meraih simpati dan perhatian. Kisah yang ingin kami ceritakan kepada para penonton berdiri teguh di atas karakter dan personaliti subjek itu sendiri, dalam mengatasi kepayahan kehidupan seharian dengan hanya berbekalkan keberanian, kecekalan dan maruah yang tinggi. Seterusnya, kisah-kisah ini juga mengalu-alukan sebarang interaksi secara langsung penonton untuk menghayati dan berfikir akan maksud sebenar di dalam mesej yang ingin disampaikan dan dibantu oleh pengacara, Irin Putri.â€
Irin Putri Azmi atau singkatannya Irin, bukanlah wajah baru dalam mengendalikan program berbentuk majalah di TV3. Sebelum ini Irin pernah tampil sebagai wartawan penyiaran menerusi program Medik TV dan Majalah 3 manakala sering dilihat bersama rakan setugas lain seperti Azizah Ariffin, Hasfizza Sabjahan, Azura Zainal dan lain-lain menerusi rancangan bual bicara, Wanita Hari Ini. Kali ini, Irin diberi kepercayaan untuk mengendalikan pula Bersamamu, mengupas pelbagai aspek dan perspektif di mana setiap kandungan diambil serius dalam memastikan mesej tersirat dapat difahami oleh penonton dan seterusnya menjadi teladan bersama.
Menurut Irin “Berbeza dengan program-program sebelum ini, Bersamamu memberi satu pengalaman yang nyata mencabar jiwa dan emosi. Apabila bertemu dengan golongan yang tidak bernasib baik dan menyelami keadaan hidup mereka, secara tidak langsung saya turut merasai keperitan yang dilalui. Pengalaman paling menyedihkan bagi saya adalah ketika melihat seorang ibu kehilangan anak yang disayanginya. Sebagai seorang ibu, tidak boleh saya gambarkan keadaan dan reaksi saya jika terpaksa melalui situasi yang sama, apatah lagi itulah pertama kali saya melihat seseorang meninggal dunia di depan mata saya.â€
“Baru selesai beberapa episod, saya akui masih banyak yang perlu dipelajari dan pastinya setiap hari banyak cabaran dan aspek yang perlu saya terokai untuk memastikan tanggungjawab saya sebagai hos Bersamamu bukan sahaja dapat menambat hati penonton, tetapi berjaya mengetengahkan isu dan konflik yang dipaparkan. Tidak semua yang saya sampaikan berdasarkan skrip semata-mata kerana tidak semua yang saya lakukan di hadapan kamera dirancang daripada awal, malah ia semua bergantung kepada keadaan sekeliling dan berlaku secara spontan. Contohnya, sempena meraikan Hari Sindrom Down Sedunia 2011 di Johor baru-baru ini, saya telah dipelawa untuk menyanyikan sebuah lagu. Pelbagai aksi menarik dapat dilihat apabila pentas dikerumuni kanak-kanak istimewa yang asyik menari bersama. Keluarga yang dipaparkan dalam Bersamamu berusaha gigih untuk hidup selesa seperti orang lain. Tetapi keadaan serta takdir yang menimpa mereka menyebabkan hidup dibelenggu kesukaran. Apa yang mengagumkan saya adalah melihat keyakinan dan sifat positif yang ditunjukkan oleh mereka meskipun melalui kesempitan hidup. Sebarang bantuan yang disalurkan kepada mereka sudah pasti dapat membantu mereka sekeluarga hidup lebih selesa,†tambah Irin lagi.
Antara objektif program Bersamamu ini adalah untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan individu untuk menyelesaikan masalah dan menerima daya saing. Selain itu, ia juga bertindak sebagai satu medium pengantara, yang menghubungkan masyarakat umum dengan golongan minoriti yang memerlukan perhatian, bantuan dan peluang yang boleh diperolehi dari sumber tertentu. Juga, melalui objektif utama program ini, Bersamamu juga turut giat mendekati dan memahami pelbagai usaha, inisiatif dan perspektif dalam menaikkan kualiti dan taraf hidup rakyat Malaysia, di dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, serta menepati kehendak cabaran di peringkat komuniti global.
Di samping itu, kutipan ’Tabung Bersamamu TV3’ juga masih diteruskan bagi mereka yang ingin menyumbang dalam usaha menampung keperluan keluarga Bersamamu untuk episod-episod seterusnya. Selain kutipan daripada orang ramai yang diterima melalui Karnival Jom Heboh 2011, orang ramai juga boleh menghantar sumbangan mereka kepada Maybank akaun Tabung TV3 Bersamamu-BSM: 5643 2412 9973 yang dipantau oleh pemegang amanah TV3 iaitu Amanah Raya Berhad (ARB).
Krew penerbitan Bersamamu dibarisi Abdul Hisham Abdullah sebagai Penerbit Eksekutif dan Siti Hajar Abdullah selaku Penerbit. Kedua-dua tenaga produksi ini bukan sekadar memantau, menerbit atau memastikan program Bersamamu mematuhi kehendak editorial dari segi pengumpulan visual dan penulisan skrip dan siarkan pada waktu yang ditetapkan malah mereka juga akan ke lokasi untuk membuat liputan bagi mengisi slot Bersamammu. Johari Abu Bakar pula bertindak sebagai wartawan, Irin Putri Azmi sebagai perantara dan Megat Nazaruddin Megat Mohd Ghazali sebagai Pembantu Penerbitan.
Jangan ketinggalan mengikuti pengalaman Irin Putri Azmi mendekati golongan yang memerlukan perhatian kita menerusi Bersamamu, setiap Rabu, 9.30 malam mulai 6 April 2011, hanya di TV3.
Nama : Irin Putri Azmi
Tarikh Lahir : 28 September 1982
Asal : Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur
Pendidikan : B.IT (Hons) Multimedia Technology Management, Multimedia University,
Cyberjaya.
Adik-beradik : Anak bongsu daripada 3 beradik
Status : Berkahwin
Anak : Raees Aryan Ezmir, 1 tahun 7 bulan
Hobi : Membaca, Menyanyi, Bowling, Bermain piano, Menulis blog
Pengalaman:
Wartawan : MedikTV, Stock Watch, Bijak Wang, Majalah 3, MagSeven
Pengacara : Wanita Hari Ini, Bersamamu
Iklan : Sunsweet, Marrybrown, Sony, AKPK
Blog : http://veryberrymerry.blogspot.com
Twitter : http://twitter.com/irin_putri