Gambar yang sama turut dikongsi gadis yang dikenali sebagai Farisha Iris di laman sosialnya, sekali gus mencetuskan persoalan, apakah hubungan sebenar antara mereka. Menafikan sedang menjalin cinta dengan gadis itu, Irfan, 18, yang mula dikenali menerusi lagu Redha pada 2016 turut menepis dakwaan, ia sengaja dilakukan untuk mempromosikan single terbaru, Sambil yang juga lagu duet bersama kakaknya, Amira Othman.
“Saya tidak berniat mencetuskan kontroversi atau menimbulkan spekulasi kerana Farisha hanya kawan biasa. Kami sudah saling mengenali sejak menyertai program Idola Kecil.
“Kebetulan, baru-baru ini saya menghadiri majlis perkahwinan kakaknya dan jurugambar mengajak kami untuk bergambar bersama di atas pelamin. Memandangkan gambar itu cantik, jadi saya muat naik di Instagram.
“Lagipun, ia bukan gambar pertama bersama wanita yang saya muat naik di Instagram. Rasanya tidak timbul isu saya mahu mencari perhatian atau sengaja membuat gimik untuk memperkenalkan lagu terbaru,”
– Irfan Haris
Irfan berkata, pada usia 18 tahun, dia belum bersedia untuk memikirkan soal cinta atau kekasih. Apatah lagi, dia yang turut dikenali menerusi lagu Pesan dan Hilang baru menamatkan alam persekolahan.
Ketika ini, anak bongsu tiga beradik itu mahu memberikan sepenuh perhatian kepada kerjaya seni, apatah lagi single duetnya bersama Amira baru menjengah pasaran.
“Awalnya, saya ingatkan kakak mahu menyanyikan lagu ini secara solo. Tetapi, selepas berbincang dengan keluarga dan pengurusan, kami rasakan lagu ini sesuai dinyanyikan secara duet.
“Memandangkan ramai peminat yang meminta kami berduet, saya dan kakak melihat ia sebagai idea yang baik. Bagaimanapun, saya akui agak sukar mencari ‘mood’ untuk menyanyikan lagu ini.
“Maklum, ia lagu cinta dan kami pula adik-beradik. Disebabkan sukar menghayati, proses rakaman mengambil masa agak panjang, bermula jam 10 malam dan hanya selesai 5 pagi,”
– Irfan Haris
Mengakui agak berdebar untuk menunggu maklum balas pendengar, Irfan bagaimanapun, optimis lagu itu akan diterima dengan baik peminat.