Penyanyi muda bersuara lunak dan berbakat besar yang merupakan artis terbaharu Rocketfuel Entertainment yang berasal dari Johor Bahru, dan merupakan pemenang tempat keempat Big Stage 2019, Irfan Haris Othman atau lebih mesra dengan panggilan Irfan Haris kembali menghangatkan industri muzik tanah air dengan single terbaharu berjudul ‘Patung’ yang ditulis oleh beliau sendiri, saudara beliau, Ubaidillah, dan digubah oleh komposer muda yang merupakan abang kandungnya, Haiqal Iskandar.
Penuntut jurusan diploma dalam bidang Entertainment Arts di KDU University Colllege ini berkata,
“Lagu ini mengisarkan tentang perhubungan cinta seorang lelaki yang merasakan dirinya dilayan seperti patung oleh teman wanitanya.
Ibarat sebuah patung yang tidak mampu bergerak dan tidak mempunyai perasaan, lelaki tersebut merasakan dirinya diperlakukan sebegitu teruk kerana dipergunakan sesuka hati sesuai kehendak teman wanitanya.”
– Irfan Haris
Memilih untuk kembali kepada genre balada, Irfan Haris menerangkan,
Sejurus keluar daripada Big Stage, ramai yang mahu saya menyanyikan semula lagu balada kerana kebanyakan peminat lebih gemar saya menyanyikan lagu-lagu sebegitu. Lagu Patung merupakan idea saudara saya sendiri iaitu Ubaidillah, pada mulanya lagu ini diciptakan untuk kakak saya iaitu Amira Othman, tetapi disebabkan hal yang tidak dapat dielakkan rezeki untuk menyanyikan lagu ini jatuh kepada saya.
Terus-terang saya katakan, lagu ini merupakan antara lagu paling sedih yang pernah saya nyanyikan, liriknya yang meruntun jiwa dengan melodi yang sedih pasti membuat sesiapa sahaja yang mendengarnya merasa syahdu.”
– Irfan Haris
Patung telah dirakamkan sejurus Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila arahan rentas negeri dibenarkan oleh kerajaan dan mengambil masa selama dua hari untuk disiapkan kerana ia memerlukan ‘feel’ yang cukup bagi menghidupkan rasa sedih yang diperlukan.
Manakala, peluang bekerjasama dengan keluarga sendiri merupakan pengalaman berharga yang tidak dapat dilupakan, beliau mengulas,
“Saya sangat bersyukur kerana dapat berkolaborasi dengan abang sendiri iaitu Haiqal Iskandar selaku komposer dan saudara rapat, Ubaidillah kerana bakat yang mereka ada serta daya kreatif yang dimiliki sungguh menakjubkan, selain itu saya juga dapat menonjolkan bakat saya sebagai penulis bersama dalam pembikinan lagu ini.
Saya juga sangat teruja dengan konsep video muzik yang bakal dipertontonkan kerana saya berlakon menjadi patung di sebuah muzium dengan jalan cerita yang sungguh menarik, jika semua nak tahu kesudahannya kenalah tonton di YouTube nanti.”
– Irfan Haris
Encik Feros Sayna, Ketua Label Rocketfuel Entertainment berpendapat,
“Saya nampak potensi yang ada pada Irfan, walaupun masih muda dia mempunyai bakat yang besar dalam bidang nyanyian dan mampu pergi jauh pada masa akan datang.”
“Saya berharap agar lagu Patung ini dapat diterima ramai walaupun lirik serta melodinya yang sedih kerana saya pasti di luar sana pasti ada yang pernah melalui situasi sebegini dan menjadi pengalaman yang mendewasakan kita,” jelas Irfan Haris.
– Irfan Haris
Lagu ‘Patung’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music bermula 1 Oktober 2020. Manakala video lirik dan muzik lagu ‘Patung’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Entertainment pada hari yang sama.
Lirik Lagu PATUNG
Tajuk: Patung
Artis: Irfan Haris
Lirik: Ubaidillah
Komposer: Haiqal Iskandar & Irfan Haris
Ketika bibir tak mampu bicara
Meraba mata mencari bayangmu
Kerana luka lama yang berdarah
Kini telah membeku menjadi lumpuh
(Chorus)
Harus ku sedari, tentang kamu
Yang melayaniku sepertiku tiada hati
Habis ku dihina dipujuk semula
Mengisi kebosananmu
Aku mainan akulah boneka
Anggaplah saja ku tak punya rasa
Kerana hanya aku yang mengalah
Demi terus menjaga ikatan
(Chorus)
Dan kau pun sedari, tentang aku
Bersaksikan nyawa, mencintamu sepenuh hati
Puas ku menangis, merayu mengemis
Kau tetap membisu
Egomu membunuh hati, menghukumku
Tanpa simpati, kernaku patung cintamu
(Chorus)