Penyanyi Ippo Hafiz tidak menduga lagu Saat Bahagia yang dihasilkan ketika berkenalan dengan Fara Roslan menjadi doa yang membawa mereka ke jenjang pelamin.
Ippo, 30, berkata lagu itu dihasilkan sebagai luahan hatinya ketika awal perkenalan dengan Fara yang juga model untuk video muzik single terbarunya itu.
“Lagu itu memang saya cipta khas untuk Fara. Kami bertemu pada September lalu, namun tidak sangka perkenalan singkat itu membawa kami ke fasa serius.
“Kami tidak bercinta seperti pasangan lain, justeru ramai yang terkejut apabila kami mengambil keputusan untuk hidup berdua.
“Namun, sokongan keluarga kedua-dua pihak membuatkan kami yakin membuat keputusan yang tepat. Mereka begitu teruja apabila kami meluahkan hasrat mahu mendirikan rumah tangga. Lagipun, perkara yang baik tidak elok dilengah-lengahkan,”
– Ippo Hafiz
Ippo atau nama penuhnya, Muhammad Hafiz Yaziz, dan Fara bakal menamatkan zaman solo mereka pada 24 Ogos depan.
Ahad lalu, majlis merisik berlangsung di kediaman keluarga Fara di Setia Alam, Selangor.
“Fara sentiasa membuat saya selesa di sisi, lantas meyakinkan saya untuk membawa hubungan ini ke peringkat serius. Dia juga sukakan kanak-kanak dan tidak kekok melayan anak angkat saya, Cinta Rizky Amanda.
“Kami bersepakat untuk tidak mengadakan majlis pertunangan, sebaliknya terus bernikah pada tarikh itu nanti,”
– Ippo Hafiz
Lagu Saat Bahagia sebelum ini, turut menghiasi drama Pujaan Hati Kanda yang dibintangi Remy Ishak dan Mira Filzah.
Sumber: Berita Harian