Seawal jam 12 malam hari sebelumnya, peminat sudah menanti buah tangan terbaru Stacy itu dilancarkan di pelantar digital muzik kegemaran masing-masing sehinggakan dalam tempoh tidak sampai sejam lagu “Khayal” sudah pun berjaya tersenarai dalam Top 5 lagu-lagu terlaris di iTunes Malaysia. Begitulah penangan penyanyi yang diberi jolokan ‘Ratu Tari Malaysia’ ini.
Pemilik nama sebenar Ummu Shaikhah Stacy Anam ini dikenali umum dengan vokalnya yang mantap, persembahannya yang bertenaga dan keunggulannya dalam menerajui genre pop dansa. Bintang yang paling versatil di Malaysia ini sentiasa menjanjikan karya segar yang pasti menjadi hits siulan ramai. Jadi tidak hairanlah apabila karya terbarunya “Khayal” mendapat reaksi yang sangat positif, malah lagu ini dari segi kualiti muzik hingga ke seni hiasan kulit (cover art) dipuji sebagai karya setaraf antarabangsa.
Jika lagu dan seni hiasan kulit pun sudah hebat, pastinya kini peminat tidak sabar pula menyaksikan video muzik rasmi “Khayal”. Stacy yang cukup dikenali dengan video muzik yang menyajikan visual hebat, bergaya dan bertenaga menerusi video muzik lagu-lagunya sebelum ini seperti video muzik ‘Cakap Ke Tangan’ dan ‘Not For Sale’, sememangnya dinanti peminat untuk melancarkan video muzik rasmi “Khayal”.
Bagi memenuhi permintaan peminat, Nova Music (M) Sdn Bhd bakal melancarkan video muzik rasmi “Khayal” pada hari Khamis, 25 JULAI 2019 jam 3 petang di saluran YouTube Nova Music Videos. Video muzik arahan pengarah berbakat Hasif Hamid ini cuba menggambarkan Stacy berada di dunia fantasi seperti yang dikhayalkannya dalam lirik single “Khayal”.
Bercerita tentang konsep video muzik ini Stacy berkata,
“Secara ringkasnya, video muzik ini adalah bayangan imaginasi Stacy berada di dalam dunia fantasi. Idea asalnya datang dari hasil perbincangan Stacy bersama pengarah. Untuk video muzik “Khayal” ini, kami mengekalkan ‘look and feel’ yang digunakan untuk ‘cover art’ single ini.
Penampilan Stacy dalam video muzik ini mendapat sentuhan magis jurusolek Datuk Alha Alfa dan penata gaya Yana Husinbagi menghasilkan ‘magical look’, yang menggabungkanunsur ‘Dark’ dan ‘Feminin’ dalam memaparkan ‘feel’ dan ‘character’ Stacy sendiri untuk lagu ini.“
– Stacy
Berbeza dengan video muzik lagu-lagunya sebelum ini, kali ini Stacy lebih memberi penekanan kepada elemen tarian dalam video muzik “Khayal”ini.
“Untuk video muzik Khayal ini, Stacy belanja peminat dengan lebih elemen tarian. Sajian visual yang memaparkan elemen tarian boleh memberikan ‘mood’ kepada penonton di setiap ‘musical progression’ lagu Khayal.
Tambahan pula, lagu Khayal ini sendiri mempunyai dua jenis ‘feel’ dan ‘character’ yang berbeza iaitu ‘Dark’ dan ‘ Feminin’. Stacy cuba sampaikan konsep gabungan unsur ini melalui visual tarian berdasarkan ‘mood’ lagu Khayal itu sendiri.
Untuk mendapatkan gerak tari yang mampu menggambarkan gabungan dua unsur itu, Stacy menggunakan khidmat dua orang koreografer iaitu Wadi dan Faruq yang masing-masing mempunyai ‘signature style’ tersendiri,”
– Stacy
Stacy menyifatkan video muzik “Khayal” ini tidak menekankan kepada jalan cerita, tetapi lebih kepada sajian visual yang menggambarkan jiwa dan rasa di sebalik muzik dan lirik lagu ‘”Khayal” itu sendiri.
Mengulas tentang jangkaan peminat dan harapannya untuk video muzik “Khayal” ini setelah hampir dua tahun tidak menghasilkan video muzik terbaru, Stacy berkata,
“Stacy sendiri pun teruja untuk mempertontonkan video muzik Khayal kepada peminat. Walaupun pembikinan video muzik ini dibuat dalam waktu yang agak terhad tapi Stacy berpuashati dengan hasilnya.
Stacy berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama yang baik dalam merealisasikan aspirasi Stacy seiring dengan konsep yang dipilih untuk video muzik Khayal ini. Stacy tidak janjikan sesuatu yang luarbiasa tapi video muzik Khayal tetap menawarkan sajian visual yang berbeza.
Stacy berharap video muzik ini dapat menepati citarasa dan jangkaan peminat. Namun yang paling penting, Stacy berharap dengan menonton video muzik ini boleh buat peminat lagi faham ‘mood’ dan ‘feel’ sebenar lagu Khayal ini sekaligus membuatkan mereka jadi lebih suka dengan lagu Khayal.”
– Stacy
“Khayal” merupakan singlepertama terbitan Stacy sendiri menerusi syarikat Rhythm & Rhyme Entertainment (RnR) miliknya dan suami Akim Ahmad dengan kerjasama Nova Music Malaysia selaku rakan usahasama dan pengedar. “Khayal” boleh didapati di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KK Box, Deezer dan iTunes bermula 12 JULAI 2019.
Manakala video muzik rasmi “Khayal”boleh mula ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada 25 JULAI 2019 jam 3 petang, di link berikut: https://youtu.be/kC4vTbr5KRM