Jae Deen atau nama sebenarnya Joshua Asare merupakan artis Hip Hop dari Kanada yang sedang meningkat naik. Pertemuan singkat di antara Jae Deen dengan kumpulan nasyid Inteam dari Malaysia sewaktu mereka mengadakan persembahan di sana telah menghasilkan satu kolaborasi mantap sehingga terbitnya sebuah single berjudul I Love Muhammad pada 22 Februari baru-baru ini.
Menurut Syah yang merupakan ketua kumpulan Inteam, single baru ini telah dirakamkan di sebuah studio di Mississauga, Kanada. “Semasa kami berada di Kanada untuk memenuhi jemputan persembahan di sana, kami telah bertemu dengan pengurus Jae Deen iaitu saudara Sami Abboud yang mencadangkan agar kami mengadakan kolaborasi di dalam sebuah lagu.
Alhamdulillah, ia berlaku dengan begitu pantas, di dalam beberapa hari sahaja Jae Deen sudah memperdengarkan contoh lagunya dan kemudian kami pun merakamkan beberapa bahagian dari lagu tersebut semasa berada di sana” tambah Syah lagi.
Jae Deen sebelum ini pernah mengadakan persembahan pembukaan di dalam konsert Justin Bieber di Kanada sewaktu beliau masih bersama kumpulan Deen Squad. Namun kini beliau bergerak solo dan meneruskan kariernya sebagai penyanyi Hip Hop yang menyelitkan mesej-mesej Islamik di dalam karya-karyanya.
“Alhamdulillah kami bersyukur dapat bekerjasama dengan beliau dan ini merupakan projek kerjasama single antarabangsa kami yang kedua di mana sebelum ini kami pernah berduet dengan Mesut Kurtis dari Macedonia dalam lagu Thalama Ashku terbitan Awakening Records” tambah Amin Inteam.
“Lagu ini memuatkan mesej yang sangat baik iaitu menanam kecintaan kepada Nabi Muhammad S.A.W serta betapa junjungan Nabi kita merupakan rahmat untuk seluruh alam” kata Rahim mengulas mengenai mesej lagu tersebut.
“Video liriknya pula dihasilkan dalam bentuk animasi mengisahkan perjalanan kami kumpulan Inteam dari Malaysia ke Kanada lalu bertemu Jae Deen di sana” tambah Rahim lagi.
Lagu berjudul “I Love Muhammad” ini telah pun dilancarkan dan berada di platform-platform digital serta video muziknya turut dimuatnaik di rangkaian Youtube Inteam Digital dan Deen Starz serentak. Sehingga kini, muzik video lagu ini di kedua-dua rangkaian tersebut telah mencecah lebih 10,000 tontonan serta mendapat respon sangat positif dari peminat kedua-dua artis ini.
Ditanya mengenai perancangan kerjayanya, Jae Deen berkata beliau sedang giat mempelajari Bahasa Melayu untuk membantu memudahkan kerja-kerja promosi beliau di sini serta melebarkan kerjaya seninya di negara Malaysia dan Indonesia. “Sekiranya diberi peluang selepas ini, saya berminat untuk berkolaborasi dengan artis terkenal dari Indonesia pula dan mengadakan siri jelajah persembahan di Malaysia dan Indonesia” ujar Jae Deen.
Lagu ‘I Love Muhammad’ turut memuatkan gabungan irama moden barat iaitu Hip Hop dengan elemen ketimuran seni Melayu menerusi petikan irama dikir barat di sebahagian melodi lagu ini.
Single baru Jae Deen bersama Inteam ini kini boleh didengari dan ditonton di seluruh platform digital seperti Spotify dan Deezer serta rangkaian YouTube Inteam Digital dan Deen Starz.