Imran Ajmain yang juga menggalas posisi Pengarah Kreatif SukaSucre Creatives itu menjelaskan, dia terinspirasi untuk membikin karya tersebut selepas menyaksikan filem, Blood Diamond lakonan Leonardo DiCaprio pada tahun 2006 berpaksi pengorbanan seorang lelaki terpaksa mendepani situasi gelap dalam perhubungan.
Imran Ajmain dalam satu kenyataan akhbar menyatakan sebalik lagu ini ada metafora yang tersendiri.
Pembikinan Lagu INTAN DAN PERAK
Watak utama dalam filem ini ditunjangi oleh Djimon Hounsou yang dijadikan hamba abdi di sebuah tapak perlombongan berlian semasa perang saudara di Sierra Leone, Afrika hingga dia harus melalui banyak onak dan duri untuk mendapatkan intan berharga.”
“Semua ini dilakukan demi menyelamatkan diri sendiri dan keluarganya daripada peperangan yang berlaku. Walaupun tetap berjaya pada pengakhiran cerita, namun dia menanggung bermacam insiden serta pengalaman yang teramat menyiksa jiwa raganya.”
“Relevannya, naratif itu juga boleh digunakan di dalam perhubungan moden di mana wanita zaman kini punya pendidikan tinggi sekali gus memiliki pendapatan tinggi hingga menjadikan golongan lelaki pula tidak mampu melakukan hal sama termasuk mengekalkan hubungan,”
– Imran Ajmain
Tiada lain, dendam, amarah, kecewa, duka saling berbagi emosi berlaku tanpa mampu dihindar. Dan situasi itu juga cuba diluahkan oleh Imran buat khalayak melalui garapan lirik puitis single terkininya sementara melodi Intan dan Perak digubah oleh Rauzan Rahman serta Avex daripada komuniti HipHop Malaysia.
Berawal pantas larut di dalam jiwa Intan Dan Perak, maka proses merekod di studio tidak mencuri waktu panjang. Sebaliknya sekadar satu malam yang berhasil dirakam bersama Faiz Rosli di Nomad Studios, Petaling Jaya.
“Saya tidak berdepan masalah kala merakam lagu ini kerana telah membuat persiapan sejak awal lagi termasuk menjaga vokal dan tidak terkecuali kesihatan. Justeru, proses rakaman berlangsung dengan lancar tambahan pula saya memang berambisi tinggi untuk muncul semula dengan karya solo usai Seribu Tahun.
“Tidak ketinggalan, peminat akan mendengar Intan Dan Perak yang masih kekal bermelodi pop balada bersama lenggok suara Melayu saya, namun ada elemen muzik berentak R&B dan Hiphop. Justeru, saya anggap single ini teramat istimewa di hati,”
– Imran Ajmain
Sebelum menoktah bicara, Imran meletakkan ekspektasi tinggi agar single ini diterima baik oleh peminat lalu menjadi siulan peminat yang selama ini mengikuti perjalanan karier seninya juga menghimpun pengikut terbaharu terdiri daripada golongan remaja.
Untuk mengetahui perkembangan terkini atau variasi kisah seharian Imran, peminat boleh mengikuti di laman Instagram; @imranajmain atau Twitter (@imranajmain).
Intan dan Perak yang merupakan terbitan oleh SukaSucre Creatives di samping Penerbit Eksekutif, Dato’ Fazley Yaakob ini boleh didapati serta didengar menerusi aneka penstriman ataupun pelantar digital seperti Spotify, Joox, Apple Music pada 1 Mac ini.
Terdahulu, Imran pernah menghasilkan single duet bersama NJWA yang berjudul, Sentiasa Merinding pada tahun lalu.
Informasi Intan Dan Perak;
:: Senikata & Gubahan; Imran Ajmain, Rauzan Rahman & Az Avex Azman
:: Rakaman; Faiz Rosli (Nomad Studios)
:: Terbitan; Avex (Boxavex Entertainment, Melbourne)
:: Adunan Muzik; Flightsch @ Ezekiel Keran (M03 Records LLP)
:: Mastering; Tom Coyne (Sterling Sound, New York)
*Selesai Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!