Pada tahun 2012, Instagram mengubah API yang mengakibatkan imej prebiu yang ingin dikongsi di Twitter tidak lagi dipaparkan. Akibatnya pengguna perlu menekan pautan pada Twitter untuk melihat imej apakah yang dikongsi di Instagram. Hari ini secara mengejut sokongan imej previu dikembalikan semula ke Twitter.
Pengumuman dilakukan sendiri oleh akaun rasmi Instagram di Twitter pagi ini. Imej kecil akan dipaparkan dan ini memudahkan pengguna Twitter untuk memilih sama ada ingin menekan pautan dan melihat imej pada saiz lebih besar di dalam aplikasi Instagram.
Ia menimbulkan persoalan mengapa Instagram secara tiba-tiba membuat langkah yang sedemikian. Sedekad lalu, fungsi ini wujud sehingga Facebook membeli Instagram. Berikutan langkah itu, Twitter menyekat Instagram daripada menggunakan APInya yang mana ia membolehkan orang ramai mencari rakan Twitter di Instagram.
Susulan daripada tindakan tersebut, Instagram kemudiannya bertindak balas dengan menghalang Twitter daripada mengirimkan pratonton siaran Instagram ke dalam tweet apabila pengguna berkongsi pautan Instagram.
Tidak sangka bahawa syarikat yang mengaut keuntungan berbillion dollar bercanggah pendapat mengenai isu yang remeh ini. Hari ini, Meta (syarikat induk Facebook yang telah ditukar nama) nampaknya telah memulakan usaha untuk meningkatkan imejnya yang sebelum ini mempunyai rekod buruk.
Bermula dengan menjenamakan semula kepada Meta dan kemudian disusuli dengan pengumuman bahawa penandaan muka automatik akan dihapuskan. Tambahan, ciri pratonton di Twitter hanyalah satu lagi langkah dalam strategi yang untuk meningkatkan imejnya.
Sejak mengubah nama kepada Meta, pelbagai perubahan mendadak dilakukan pada syarikat. Hari ini di Twitter dan semalam mematikan ciri pengecaman wajah automatik dengan data lebih 1 bilion wajah dipadam. Adakah ini petanda Meta akan lebih terbuka berbanding Facebook? Hanya masa akan menentukan jawapannya.
Sumber: Amanz