Video berseluar dalam yang dimuat naik menerusi laman Instagram pelakon Arja Lee dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab setelah telefon bimbitnya digodam.
Pengurusnya, Lin Ramli berkata, pelakon tersebut cuba memadam video itu, namun tidak berjaya berikutan kata laluan akaun tersebut digodam oleh pihak tertentu.
“Telefon bimbit Arja hilang malam tadi selepas kami pulang daripada makan malam dan dia menyedari hal tersebut ketika sudah pun berada di rumah.
“Arja cuba membuang video tersebut, namun malangnya akaun itu sudah ditukar kata laluan dan dikawal oleh pihak tertentu,” ujarnya kepada mStar Online, di sini Rabu.
Lin berkata demikian ketika diminta mengulas tentang video berseluar dalam milik pelakon tersebut tersebar dan dikecam oleh pengguna laman sosial.
Video berdurasi 15 saat itu menunjukkan aktor itu sedang menimbang bola dengan memakai baju berwarna merah jambu dan hanya berseluar dalam di dalam sebuah rumah.
Video itu mendapat hampir 2000 likes dengan 1,240 komen daripada pengikut akaun instagram itu.
Sementara itu, Lin berkata, Arja sudah membuat satu laporan polis kira-kira pukul 2.30 pagi Rabu di Balai Polis Mutiara Damansara.
“Kami sudah buat laporan polis selepas mengetahui kehilangan telefon itu malam tadi dan sekarang ingin ke Celcom untuk urusan kehilangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Lin berkata, buat masa ini pelakon tersebut juga belum bersedia memberi sebarang kenyataan kepada media bagi mengulas perkara berkenaan.
Katanya, pelakon Anu Dalam Botol itu kini masih berada dalam keadaan terkejut dan tertekan.
“Saya minta maaf kerana Arja belum sedia untuk bercakap dengan media. Dia dalam keadaan tertekan dan terkejut dengan perkara ini.
“Insya-Allah dia akan buka mulut bila semuanya sudah selesai,” ujarnya.