in

Inspitari 2012

Inspitari 2012
Cetus reinkarnasi tradisi

SEPERTI flora dan fauna yang terancam oleh usia bumi, tanpa pemuliharaan, proses tambah nilai atau naik taraf, nilai budaya dan keunikan seni tradisional juga tidak mustahil boleh luput ditelan zaman.

Menoleh sejenak kepada gegaran Gangnam Style oleh Psy yang menawan dunia dengan tarian seumpama menunggang kuda,terfikirkah juga sedangkan kita di Malaysia sendiri telah ada tarian kuda kepang yang cukup terkenal dalam kalangan masyarakat di Johor. Kenapa tarian itu kekal begitu dan tidak mampu menjadi peluru-peluru seni untuk dijual ke persada muzik.

Sekadar bayangan biarpun samar-samar, jika diberi roh baharu, barangkali tidak mustahil, roh tarian lama milik warisan juga boleh menjadi muzik video hit di serata dunia. Di situlah letaknya kreativiti dan sejauhmana keyakinan karyawan kita mengambil inisiatif yang berstrategi untuk menjual budaya secara komersial.

Inspitari

Menyedari hakikat dan mengesan bahawa budaya kreatif harus disemarakkan dan diberi sokongan padu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) tidak berpaling daripada meneruskan program yang dipanggil Inspitari. Program yang dimulakan sejak tahun 2009 itu secara konsisten dilihat sebagai penyemarak kreasi tarian-tarian baharu yang diilhamkan daripada budaya tradisional.

Biarpun cenderung ke arah nilai tradisional, tidak mustahil program seumpama itu boleh menyuntik inspirasi.Ibarat senjata lama yang diberi peluru baharu, Inspitari bergerak atas misi itu untuk menaik taraf tarian tradisional ke persada dunia.

Tahun ini, 15 lagi kumpulan karyawan tari Kesenian JKKN dari seluruh negara sedia beraksi. Meskipun olahan mereka mungkin dilihat masih mentah dan masih perlu digilap, namun apa yang penting ialah maklum balas yang baik memungkinkan olahan tersebut boleh dipopularkan oleh penggiat tari dan industri hiburan negara ke peringkat global.

Siapa tahu, gerakan ‘ayam didik’ misalnya yang merupakan satu daripada khazanah tari negara boleh diberikan sentuhan dan olahan muzik kontemporari mampu meledakkan tarian ‘ala Malaysia’ ke peringkat antarabangsa pula.

Sarat elemen Malaysia, Malam Gala Inspitari akan kembali menyemarakkan gelombang tari negara pada 12 dan 13 Oktober nanti. Bertempat di di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpul (DBKL), Jalan Raja Laut, pesta tarian itu terbuka percuma untuk umum.

Bakal menyaksikan 16 tarian yang diberi nafas segar dari segi pola lantai, pergerakan mahupun susunan lagu dan busana, tahun ini lebih 274 orang artis budaya (Tari) daripada Kumpulan Kesenian (KK) JKKN dari seluruh negara akan terlibat.

Antara tarian yang bakal dipersembahkan ialah Tarian Awang Batil oleh kumpulan JKKN Perlis, Tari Jelapang (Kedah), tarian lanca (Pulau Pinang) dan Tarian Gambus Kampung Padang Changkat (Perak).

Dua jenis tarian zapin yang diberi sentuhan baru, Zapin Cemara dam Zapin Woye pula akan dipersembahkan oleh kumpulan kesenian dari Selangor dan Kuala Lumpur. Kemunculan kumpulan kesenian dari Kelantan dengan tarian Dikir 3D dijangka akan mengembalikan kehangatan Tari Nego yang pernah dicipta pada Inspitari tahun lepas. Dikir 3D yang menampilkan olahan daripada tiga jenis dikir iaitu Dikir Laba, Dikir Rebana Kercing dan Dikir Kreatif satu tarikan diharap akan mengujakan peminat tarian dan dikir barat, khususnya.

Selebihnya terdapat juga tarian-tarian lain seperti tarian Seramik daripada JKKN Negeri Sembilan, tarian Inang Bukit Cina (Melaka) serta tarian Masadeka yang diilhamkan daripada gerakan teater rakyat hamdolok oleh JKKN Johor.

Bagi negeri seperti Pahang dan Terengganu, masing-masing akan mempersembahkan tarian Moh Mutik Teh yang diadaptasi daripada aktiviti mengutip daun teh di Cameron Highland dan tarian Tedung yang diangkat dari kesenian Saba, sebuah ritual untuk perubatan tradisional.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli menjelaskan kesemua kumpulan kesenian yang mewakili setiap negeri itu telah melalui pengisian program menerusi bengkel dan latihan kumpulan.

“Kita arahkan koreografer seluruh negara menghasilkan sebuah tarian sama ada berasaskan tarian sedia ada masyarakat setempat di negeri masing-masing. Mereka harus olah tarian itu menjadi lebih menarik dan segar, sesuai arus semasa agar tidak pupus. Jika tarian baru yang dipilih, ia harus berasaskan kehidupan masyarakat setempat masa silam atau masa kini.

“Improvisasi yang diketengahkan bertujuan menghasilkan persembahan yang lebih menarik, relevan dan seiring dengan tuntutan peredaran zaman,” jelas Norliza yang tidak mahu nilai komersial dalam kreasi baharu itu membunuh keaslian dan disiplin dalam tarian tradisional.

Tahun ini, Inspitari dijangka bakal mengulangi kejayaan sambutan hangat yang disaksikan menerusi penganjuran tahun lepas. Orang ramai yang berhajat hadir ke Malam Gala Inspitari 2012 dinasihat hadir awal bagi mengelakkan kesulitan mendapatkan tempat duduk.

Inspitari

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fenomena Gangnam Style Cetus Idea Malam Gala Inspitari 2012

KL 48 Hour Film Project 2012