in ,

Inspirasi Menerusi Hijrah Pengorbanan

Dua tahun telah berlalu dan masalah pandemik masih lagi tiada noktah! Bersempena dengan Awal Muharram pada 10 Ogos 2021 (1 Muharram 1443H) ini, TV3 telah menyusun program-program yang dapat memberi inspirasi dan semangat kepada penonton setianya seperti Tanyalah Ustaz, Malaysia Hari Ini (MHI), Wanita Hari Ini (WHI) dan Majalah 3.

TV3 mengajak seluruh umat Islam di Malaysia mengikuti Zikir Munajat yang diketuai oleh Syeikh Karim Al-Makki menerusi Tanyalah Ustaz, 10 Ogos 2021bermula 6.30 pagi. Bacaan Zikir Munajat ini akan turut disertai oleh 5 ustaz bertauliah menerusi sidang video iaitu Ustaz Zul Ramli M. Razali, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi, Ustaz Elyas Ismail, Ustaz Mohammad Rozie bin Mohd Rejab, Ustaz Mohamad Zarifi Hj. Mohamad Daud, Ustaz Mohd Fakhrul Radhi bin Khamarudin.  

Selesai Zikir Munajat, Tanyalah Ustaz akan mengupas tajuk “Hijrah Menurut Sunnah” yang akan dibawakan oleh panelis Ustaz Ahmad Shukri Yusof. Topik ini membicarakan mengenai Hijrah menurut Islam dan juga pengajarannya yang boleh diaplikasi dalam kehidupan umat Islam dalam situasi masa kini.  

Sementara itu, Malaysia Hari Ini (MHI) juga akan menyiarkan topik menarik berkaitan  Awal Muharram selama dua hari pada pukul 9.30 pagi iaitu “Inspirasi: Hijrah Kerja” pada 9 Ogos (Isnin) membincangkan tentang kelangsungan hidup dikala negara berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19 yang memberi impak yang sangat mendalam kepada masyarakat terutamanya apabila ramai yang terkesan dan hilang punca pendapatan. Dalam situasi begini, ada insan yang berani mencuba dan merubah bidang pekerjaan sehingga berjaya lebih daripada sebelumnya. Pokok pangkalnya kita jangan cepat berputus asa dan perlu tabah dengan situasi sebegini. 

Keesokan harinya iaitu pada 10 Ogos (Selasa), pukul 9.30 pagi, MHIakan membawa penonton menjejaki perjalanan hijrah Nabi Muhammad S.A.W dari Makkah ke Yathrib melalui jarak, peristiwa dan lokasi. Topik menarik ini bertujuan untuk kita pelajari kisah sejarah Islam iaitu penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dan melihat perbandingan antara laluan dahulu dan sekarang. 

Sejak penularan virus Covid-19 ramai terkesan dan memberi impak dari segi psikologi kepada semua masyarakat. Namun, untuk meneruskan kehidupan, kita perlu berhijrah dalam mencari rezeki. Inilah yang akan ditampilkan dalam Majalah 3 yang membawa kisah yang dapat memberi inspirasi kepada masyarakat pada 9 Ogos (Isnin), pukul 9.00 malam. “Hijrah Ke Pantai” menceritakan bagaimana Irfan, seorang peniaga pasar malam membuat penghijrahan menjadi pencari dan penjual siput beliung. Dengan izin Allah S.W.T, perubahan  ini berjaya membawa cahaya baharu dalam kehidupan Irfan sekeluarga. 

Bertemakan “Hidup Baharu”, Wanita Hari Ini (WHI) akan membincangkan dua topik istimewa selama dua hari bermula 9 Ogos (Isnin) pada pukul 12 tengahari dengan segmen pengenalan “Hijrah: Menanti Hari Esok”. Topik ini menceritakan tentang persediaan hijrah diri menjelang tahun baharu mengikut Takwim Islam. Setiap tahun pastinya ada azam yang menjadi iltizam! Tetapi bagaimana pula dengan persediaan diri dari sudut rohani dalam menempuh tahun baharu yang serba mencabar serta mendidik diri untuk terus cekal dalam situasi pandemik yang belum ada penghujungnya ini?

Pada hari Selasa, 10 Ogos pada pukul 12.00 tengahari, WHI berkongsi kisah insan yang perlu melalui kehidupan baharu akibat pandemik Covid-19 menerusi topik “Awal Muharram: Hidup Baharu”. Topik ini menceritakan bagaimana anak-anak meneruskan kehidupan setelah kehilangan kedua ibu bapa dan isteri yang menjadi balu akibat pandemik ini? Pastinya sukar bagi mereka tetapi mereka perlu berhijrah untuk mendapatkan semangat untuk melalui kehidupan serba baharu ini.

Jangan jadikan pandemik sebagai alasan untuk kita berputus asa dalam mencari rezeki. Jika kita berusaha pasti ada jalan penyelesaian. Marilah sama-sama kita berdoa agar kehadiran tahun baharu Islam (Hijrah) 1443H memberi sinar harapan baharu kepada kita dan memanjatkan doa ke hadrat Allah SAW supaya kita semua dihindari dilindungi dari virus Covid-19. Jangan lupa juga untuk membaca bacaan doa akhir dan awal tahun (1442H – 1443H). 

Layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia untuk perkembangan terkini tentang program TV3

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Selepas Aeril, Wawa Zainal Pula Positif Covid-19, Sampai Bila Mampu Bertahan?

Tolak Potong Usus, Man Raja Lawak Yakin dengan Produk Bodycurv