Memaparkan pengalaman keluarga marhaen dalam membesarkan anak-anak mereka dari kecil hingga besar dan berjaya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan program bertajuk “Sinar Marhaen” yang berkongsi inspirasi kejayaan dengan semua penonton setia salurannya.
Mula bersiaran sejak 22 Julai lalu, setiap Ahad, pukul 2.00 petang menerusi saluran TV1, rancangan 13 episod ini membuktikan bahawa mereka tidak menjadikan sesuatu kesedihan dan kesukaran sebagai alasan untuk tidak berusaha memajukan diri dan keluarga mereka. Turut dikongsi panduan kebahagiaan kehidupan mereka untuk dijadikan teladan kepada masyarakat umum.
Inspirasi Kebahagiaan Di Sebalik Kepayahan Hidup Keluarga Marhaen Di TV1
Inspirasi yang pertama dalam episod satu berkongsi kisah pasangan suami isteri yang mempunyai dua belas orang anak. En. Kamarudin bekerja sebagai penoreh getah sementara Haslinda pula menjadi tukang sapu. Berbekalkan tulang empat kerat dan ikatan kasih sayang serta semangat yang kuat mereka meneruskan hidup tanpa mengharapkan bantuan daripada sesiapa. Berkat kegigihan mereka, anak kedua mereka telah lulus universiti dan menjadi pengusaha restoran.
Susuri kisah Rosmadi Ismail seorang pemandu kereta sewa di Kelantan yang tidak tentu waktu kerjanya demi mencari nafkah menampung keluarganya. Pada waktu sama dia membuat pelbagai kerja sampingan. Isterinya, Zanariah walaupun kurang sihat memberi kata-kata semangat kepada suaminya supaya tidak jemu untuk berusaha. Anak mereka juga membantu menjual keropok segera untuk menambah pendapatan.
Sinar Marhaen seterusnya membawa penonton ke Kedah bersama keluarga Ahmad Haji Bakar, atau Pak Su bapa lima anak di mana empat daripada mereka adalah OKU. Hanya anak lelaki sulungnya yang normal dan menjadi peniaga. Masyarakat setempat menghormati Pak Su kerana keterlibatannya dalam aktiviti kemasyarakatan di kampung mereka. Sebagai bekas Ketua Kampung, Pak Su masih bergiat aktif dan menjadi salah seorang daripada penyelia projek tanaman padi. Di samping kesibukan mengurus anak-anaknya, dia masih sempat ke surau untuk menyampaikan kuliah dan menjadi imam. Kesabaran, ketabahan dan semangat tidak berputus asa Pak Su wajar menjadi contoh kepada segenap lapisan masyarakat.
Dalam kisah Owi Boon Hin dari Pasir Mas, Kelantan membesarkan sembilan orang anak dengan gigihnya. Kehidupannya cukup susah dan dia melakukan bermacam-macam kerja untuk menyara keluarga. Setelah sekian lama bergelut membesarkan anak-anak, kini En. Owi lega kerana semua anak-anaknya telah berjaya dan mempunyai perniagaan sendiri. Kawan-kawannya menganggap beliau sebagai bapa contoh kerana kesabaran dan ketekunan yang ditunjukkan. Dia dijadikan pendorong kepada orang lain untuk berusaha lebih gigih.
Episod seterusnya kisah Ahmad Sufi Ismail seorang pengawal keselamatan merupakan bekas tentera yang mempunyai lapan orang anak. Setelah berkhidmat selama 13 tahun, Ahmad berhenti dari tentera dan balik bekerja di kampung. Beliau membesarkan anak-anaknya dalam keadaan yang susah. Kekuatan beliau memikul tanggung jawab sebagai ketua keluarga bukan bergantung kepada tulang empat kerat dan semangat yang kental sahaja tetapi diletakkan sepenuhnya kepada keimanan yang tebal. Empat orang daripada mereka telah pun melanjutkan pengajian ke universiti. Bagi teman sekerja Ahmad, beliau merupakan seorang yang baik dan sentiasa berfikiran positif. Dia tidak keberatan untuk memberi tip kepada kawan-kawannya bagaimana mendidik anak supaya berjaya.
Kenali Salman seorang tukang gunting rambut yang membuka kedai guntingnya sendiri. Salman juga mempunyai hobi yang mendatangkan pendapatan sampingan kepada beliau iaitu memelihara burung, kuda, lembu dan biri-biri yang semuanya boleh mendatangkan hasil. Salman anak sulung dan mengambil alih peranan ayahnya yang mengalami masalah gangguan ingatan serta menghidap angin ahmar. Walau pun layak melanjutkan pelajaran ke Mesir, Salman tidak mahu berjauhanan dengan ibu bapanya. Salman yang telah berkahwin dan mempunyai dua orang cahaya mata sedang membina rumah untuk keselesaan ibu bapa, isteri dan anaka-naknya.
Kongsi kisah Puan Zainab Awang atau lebih dikenali sebagai Mak Tam dari Kedah yang menjaga suaminya, Sobri Jaafar atau Pak Tam yang mengalami sakit buah pinggang kronik. Pasangan yang telah mendirikan rumahtangga selama dua puluh tahun ini tidak dikurniakan seorang pun cahaya mata. Pada mulanya Pak Tam menghidap diabetes sehinggalah buah pinggangnya mula membengkak dan disahkan mengalami penyakit buah pinggang kronik. Mak Tam berhenti kerja sebagai cikgu TADIKA untuk menjaga Pak Tam terpaksa menjalani rawatan. Mak Tam sangat dihormati dan disegani oleh jiran-jirannya. Dia dianggap sebagai ustazah di situ dan selalu membahagikan masanya untuk terlibat dengan aktiviti keagamaan.
Ikuti juga kisah inpirasi daripada Pak Sin, seorang pesara tentera wataniah yang melalui kehidupan susah serta mempunyai anak yang ramai. Sekarang ini anak-anaknya sudah besar dan sudah bekerja. Walaupun sudah berusia dan boleh berehat tetapi Pak Sin masih lagi berniaga di pasar-pasar malam. Dia tidak suka berdiam diri tanpa melakukan sebarang aktiviti.
Ada juga kisah Pak Nuri yang mempunyai semangat yang kuat untuk meneruskan kehidupannya. Walaupun beliau dikategorikan sebagai OKU, beliau tetap redha dan bersyukur dengan kurniaan Ilahi. Ini menjadikan beliau dihormati dan dikagumi oleh semua yang mengenalinya. Seterusnya kisah Pak Nae dari Kelantan merupakan penerima anugerah daripada Pertubuhan Peladang Kawasan Bachok kerana kegigihannya.
Sinar Marhaen turut mengunjungi Puan Jayanthi a/p Perumalu dari Jitra, Kedah yang menjadi ibu tunggal selepas suaminya meninggal dunia akibat kemalangan. Dia membesarkan anak dan menjaga kedua orang mertuanya yang sakit. Walaupun susah dan memikul tanggungjawab yang berat, Jayanthi sentiasa berusaha sendiri dan tidak pernah mengharapkan bantuan orang lain. Setelah anak sulungnya berjaya memasuki Kolej Sains Kesihatan, dia mula bekerja untuk menampung perbelanjaan mereka. Ketiga-tiga anaknya berjaya dalam pelajaran masing-masing.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.