Presiden Persatuan Penerbit Drama Televisyen Malaysia (PVTM) Datuk Jurey Latiff Rosli berpendapat tindakan penerbit drama Izinkan Aku Mencintaimu iaitu Mahligai Serimas berdiam diri sepanjang isu ini hangat diperkatakan adalah tepat.
Jurey berkata, pihak produksi mungkin dalam keadaan tertekan dan sedang fokus menyiapkan drama yang sudah lebih daripada tempoh penggambaran ditetapkan.
“Mereka bukan tidak mahu mengulas tentang isu ini, tapi mereka tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak sama ada Aliff atau Afifah kerana penggambaran masih belum tamat.
“Jika mereka membuat kenyataan dan disalah ertikan mana-mana pihak mungkin akan lebih mengeruhkan keadaan dan kerja mereka lebih sukar.
“Saya percaya mereka juga dalam keadaan tertekan,” ujarnya kepada mStar Online.
Jurey berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan produksi yang dituduh membuat perancangan menjadikan heroin drama itu, iaitu Afifah Nasir sebagai alat memikat Aliff Aziz supaya datang ke lokasi penggambaran.
Sementara itu, mengulas tentang tuduhan perancangan yang diatur produksi berkenaan, Jurey berkata, mereka bertanggungjawab memastikan pelakon utama berada dalam keadaan baik dan mewujudkan keserasian.
Bagaimanapun, ia tidaklah sampai memaksa mereka untuk bercinta.
“Produksi akan memastikan pelakon utama ada hubungan baik dan tidak bermasam muka, mampu mewujudkan keserasian tapi bukanlah meminta mereka untuk bercinta.
“Seharusnya semua itu hanya di dalam set penggambaran sahaja, apa yang berlaku di luar set adalah tanggungjawab mereka sendiri,” ujarnya.
Berkaitan penggambaran drama yang sudah tertangguh lebih sebulan, Jurey berkata, produksi berkenaan boleh meminta bantuan dan nasihat persatuan jika mereka merupakan ahli PVTM.
Sumber: Mstar Online