Di kala menghadapi dugaan pandemik Covid-19, penyanyi berdarah Indonesia-Malaysia ini ligat menghiburkan pengikutnya di laman sosial dengan lagu nyanyian semula karya-karya popular tempatan dan antarabangsa.
Terinspirasi daripada situasi pandemik ini sendiri, Aisha tidak putus bersyukur adanya barisan depan yang berkorban siang malam memerangi Covid-19. Lalu, terbitlah idea menghasilkan lagu berjudul TERIMA KASIH hasil nukilannya bersama Yuka Kharisma. Judulnya saja sudah cukup menggambarkan segala yang terbuku di hatinya tatkala menyebut barisan hadapan. Yang pasti, lagu ini sebuah dedikasi terhadap wira-wira negara kita itu.
Berbekalkan melodi yang mendayu, TERIMA KASIH dicipta bersulam emosi dalam diri membayangkan pengorbanan barisan hadapan. Perit getir yang mereka hadapi ternyata mengetuk kuat hati Aisha untuk menghargai setiap titik peluh mereka. Menurutnya, merekalah yang selayaknya menerima segala ucapan terima kasih daripada semua rakyat Malaysia. Segala doa yang baik-baik juga perlu didahulukan buat mereka.
“Lagu TERIMA KASIH ini kami sampaikan dengan penuh sentuhan kasih sayang kepada semua yang sudah sama-sama bertungkus-lumus membantu kami sepanjang wabak Covid-19 melanda.
Intipatinya dihuraikan sebagai tanda penghargaan kepada semua barisan hadapan yang terbabit, rakyat yang patuh berkurung di rumah, pejuang lain, dan kami sampaikan khas lagu bersama anda dalam doa kami.
“Lagu ini membawa mesej yang sangat universal dan kasih tidak berpenghujung buat setiap insan yang berusaha membantu kita semua melepasi rintangan pandemik ini.
Sesungguhnya, situasi sekarang sangat di luar jangkaan yang menggoncang seisi dunia.
Hanya ucapan terima kasih tidak terhingga dalam bentuk ritma dan melodi sekurang-kurangnya yang kami mampu untuk membalas pengorbanan mereka,”
– Aisha RetnoÂ
Aisha adalah siswazah dalam jurusan ekonomi di Universiti Malaya dan antara pendatang baru seni suara yang cukup dikagumi vokalnya. Menjadikan Mariah Carey dan Ariana Grande antara idolanya, vokal Aisha mempunyai laras yang begitu fleksibel dan penggunaan teknik ‘head voice’ cemerlang.
Corak nyanyian Aisha juga banyak dipengaruhi vokalis wanita hebat lain termasuklah penyanyi tempatan Dayang Nurfaizah.
Mewarisi bakat seni ibunya yang juga bekas penyanyi terkenal di Indonesia, Aisha mula didedahkan dengan muzik seawal zaman kecilnya.
Memperjuangkan muzik R&B dan soul, Aisha cukup selesa menghibur di pentas dan pernah beraksi di Festival Perancis di The Square, Publika, artis pembukaan showcase kumpulan terkenal CNCO, acara muzikal RIUH, dan banyak lagi.
‘TERIMA KASIH boleh dimuat-turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Spotify, Deezer, JOOX Music, KKBox.