Justeru pada sambutan Maulidur Rasul yang diraikan pada 29 Oktober ini, seluruh umat Islam diseru menyatakan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dengan melaksana segala suruhan dan sunnah baginda. Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga berbesar hati dapat berkongsi tayangan empat telemovie khas disiarkan sepanjang hari pada 29 Oktober ini menerusi saluran TV1, TV2 dan TV Okey.
Membariskan pelakon Azri Iskandar, Aleeza Kassim, Syazwan Zulkifli, Reen Rahim, Shafiq Sahli, dan Adam Shahz, saluran TV1 menyiarkan telemovie khas arahan Eizlan Yusof bertajuk “Mencari Muhammad†pada pukul 11.05 pagi.
Kisahnya berlatarkan watak utama Hisyam telah mendermakan 1/4 hartanya serta membekukan 2/4 lagi dengan mewasiatkan harta itu adalah milik Muhammad. Ini telah menimbulkan kontroversi dan spekulasi dalam keluarganya kerana mereka tidak kenal siapa Muhammad.
Isteri Hisyam mengesyaki Muhammad adalah anak Hisyam dari perkahwinan yang dirahsiakan, manakala anaknya pula merasakan yang Hisyam sudah terkena ajaran sesat hingga sanggup mewasiatkan hartanya kepada Muhammad. Hisyam pula memilih untuk merahsiakan kisah sebenarnya. Siapakah Muhammad sebenarnya?
Penonton TV2 dijanjikan lakonan mantap Azman Hassan, Chekem Mirza dan Masher Muse dalam drama pendek “Aku Tahu Engkau†terbitan UDTV RTM pada pukul 1.00 tengah hari.
Seterusnya sarat dengan babak-babak menyentuh hati dan menginsafkan, saluran TV2 juga pada hari sama pula tampil dengan sebuah telemovie diberi tajuk “Sunnah Terakhir†pada pukul 9.30 malam. Drama ini mengisahkan tentang keperibadian kanak-kanak lelaki bernama Faiq yang pasti akan membuka mata dan nurani ramai orang. Betapa kadang-kadang perubahan itu bakal membuka lembaran baru dalam kehidupan manusia.
Lalu apakah kesudahannya? Watak drama ini dibawakan oleh pelakon kanak-kanak Syed Ali Murtadha, di samping Pekin Ibrahim, Zarina Zainoordin dan Jesse Lim.
Saluran TV Okey pula menyiarkan telemovie “Nur Muhammad†pada pukul 8.00 malam. Jalan ceritanya yang berbeza pastinya membuatkan anda tertanya-tanya apakah kesudahan drama ini. Latar ceritanya tentang sepasang suami isteri yang telah 29 tahun mendirikan rumah tangga. Satu hari mereka dikejutkan dengan berita si isteri hamil lima bulan. Apatahlagi disaat itu isterinya hendak memulakan persaraannya.
Pelbagai persoalan bermain diminda pasangan ini yang bagaikan mimpi ngeri. Mampukah isterinya melahirkan anaknya? Berbagai cabaran terpaksa mereka dihadapi 4 bulan sebelum kelahiran? Antaranya sifat cemburu dan buruk sangka terhadap suaminya dengan doktor yang merawatnya. Mampukah pasangan ini mendepani kenyataan ini? Saksikan lakonan Datuk Mustafa Kamal, Aida Khalida, Reen Rahim, dan Mustaqim Bahadon.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.