Dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Kento Yamazaki, Tao Tsuchiya, Nijiro Murakami dan Yuki Morinaga, drama ini mengambil tempat di Tokyo.
Pada pendapat penulis, konsep Alice in Borderland ini menarik kerana watak utama, Ryohei Arisu (Kento Yamazaki) dan dua orang sahabat baiknya iaitu Daikichi Karube (Keita Machida) dan Chota Segawa (Yuki Morinaga) telah ‘terperangkap’ di Tokyo dalam parallel universe.
Ketiga-tiga sahabat baik ini mahu mencuba hidup baharu dan ia menjadi realiti selepas satu insiden gangguan bekalan elektrik membuatkan mereka muncul secara tiba-tiba di sebuah dunia yang sepi tanpa penghuni.
Dalam dunia tersebut, anda hanya boleh hidup sekiranya bermain game. Sekiranya para pemain tewas, mereka akan meninggal dunia.
Pada pendapat penulis, drama arahan Shinsuke Sato ini merupakan sebuah karya yang membuatkan para penonton tidak senang duduk sehingga ke saat-saat terakhir.
Bagi penulis, karya ini sarat dengan elemen kejutan dan game yang mereka perlu hadapi pula memang kejam dan memerlukan kebijaksanaan untuk diselesaikan.
Dalam pada itu, semua yang tidak pernah baca manga Alice In Borderland sebelum ini mungkin akan lebih terkejut dengan jalan cerita drama ini. Mana tidaknya, watak yang anda jangka boleh bertahan sehingga akhir tetapi mereka kemudiannya terkorban dalam episod awal.
Selain itu, visual dan sinematografi yang dipaparkan dalam drama ini sangat cantik dan memuaskan. Satu perkara yang menarik perhatian penulis ialah bagaimana mereka berjaya hasilkan bandar Tokyo tanpa penghuni dan ia kelihatan sangat real.