Meskipun mempunyai hubungan yang baik, pelakon Sharifah Sakinah memberitahu dia enggan rujuk kembali dengan bekas suaminya yang juga seorang juruterbang, Aliff Adha.
Sakinah, 31, berkata keadaan dirinya yang mempunyai masalah disleksia tahap ringan dan gangguan kurang tumpuan atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) menjadi salah satu penyebab mereka tidak boleh kembali bersama.
Menurut Sakinah, keputusan itu dibuat kerana dia mahu menumpukan perhatian terhadap kerjaya dan anak tunggalnya, Anais Adha yang berusia tiga tahun.
“Buat masa sekarang, saya tidak akan kembali bersama dengan bekas suami dalam keadaan diri saya ada masalah ADHD, jadi saya tak nak menyusahkan dan membebankan dia.
“Sejujurnya, saya lega selepas berpisah kerana tiada lagi orang boleh menuduh bekas suami saya sebagai dayus atau tidak tahu mengawal saya yang sukakan perhatian.
“Lagipun, saya perlukan masa dan ruang untuk fokus pada diri saya terlebih dahulu, ”
– Sharifah Sakinah
Sakinah ditemui ketika majlis pengenalan duta Wholly Fitz di Skyark Event Spaces, Jalan Sibu, Kuala Lumpur.
Mengulas kehidupannya sebagai ibu tunggal, pelakon telefilem Girlfriend Aku Dari Neraka ini mengaku masih belum betah menyesuaikan diri dengan status itu.
“Saya lega selepas berpisah kerana tiada lagi orang boleh menuduh bekas suami saya sebagai dayus.”
– Sharifah Sakinah
Sebelum ini, adik kepada penyampai radio Suria FM Sharifah Shahirah itu mengesahkan rumah tangga dengan juruterbang sebuah syarikat pengangkutan udara, Aliff Adha, berkecai sejak Mei lalu.
Sakinah sebelum ini pernah mendedahkan dia adalah penghidap disleksia tahap ringan yang turut memiliki ciri-ciri Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) atau gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif.
Dalam pada itu, Sakinah turut mengakui kehidupan peribadinya masih dalam keadaan tidak terurus dan dalam proses penyesuaian selepas bercerai dengan bekas suami.
“Kehidupan saya masih haru biru. Kami pun baru saja berpisah, jadi sudah tentu perasaan saya masih sakit kerana kami bukan bersama sehari dua dan saya dengan Aliff tidak pernah bergaduh.
“Anais juga sering menitiskan air mata apabila berjumpa dengan bapanya dan sering meletakkan tangan kami bersama-sama, ” ujarnya yang memberitahu dia mendapat hak jagaan anak.
– Sharifah Sakinah
Selain itu, Sakinah tidak menafikan penyakit ADHD yang dihidapinya menjadi salah satu punca perceraian selepas empat tahun berkahwin.
“Banyak sebab (perceraian) tetapi penyakit itu menjadi salah satu faktor perpisahan kami. Buat masa sekarang, saya sedang menjalani rawatan.
“Selain merujuk kepada psikiatri dan terapi, saya mengambil ubat.
“Saya tidak mahu membebankan bekas suami untuk menjaga saya lagi. Saya mahu ruang dan masa untuk diri sendiri dahulu,”
– Sharifah Sakinah
Sakinah mendirikan rumah tangga dengan Aliff pada 28 Mac 2015 dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Anais Adha yang kini berusia tiga tahun.