Sudah hampir satu tahun setengah Malaysia dilanda pandemik COVID-19. Pada saat ini, kehidupan seharian harus diteruskan dengan mengadaptasi dan menyesuaikan diri dengan suasana kebiasaan norma baharu.
TV AlHijrah tidak terkecuali. Sedari awal, pelbagai usaha untuk memeluk emosi dan memberikan santapan rohani buat rakyat dilaksanakan secara konsisten setiap bulan menerusi penerbitan rancangan-rancangan baharu.
Terbaru, bersempena dengan ulang tahun TV AlHijrah kesebelas yang bakal disambut pada 10 Ogos 2021 bersamaan 1 Muharram 1443H, stesen televisyen Islamik ini telah menyusun barisan rancangan-rancangan istimewa untuk tontonan penonton setianya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, “tema sambutan ulang tahun kesebelas TV AlHijrah iaitu TV Kita Untuk Semua, Bangkit Bersama TV AlHijrah jelas menyatakan harapan stesen kami agar rakyat Malaysia tidak mudah berputus asa memerangi COVID-19.
“Terus bersama TV AlHijrah. Suntikan semangat untuk terus bersatu hati, berpimpin tangan dan bersoladariti memerangi COVID-19 akan diterjemah menerusi hidangan pelbagai rancangan menarik, segar dan membaja nurani bermula 4 Ogos 2021 hingga 11 September 2021.
“Antara rancangan menarik yang akan dihidangkan adalah Solidariti Yasin 2.0, Siaran Langsung Istimewa Ulang Tahun TV AlHijrah, Assalamualaikum, Pada Hari Ini 11 Tahun Yang Lalu dan #Merisik Khabar.
Paling utama menurut Namanzee, selain daripada barisan rancangan istimewa tersebut, TV AlHijrah turut memperkenalkan dua slot baru yang akan dilancarkan istimewa sewaktu Kempen Ulang Tahun Ke-11 TV AlHijrah iaitu Slot Deen dan Slot Kesuma.
“Slot Deen adalah slot kerohanian yang disiarkan setiap hari, jam 7.30 malam. Antara rancangan yang akan dihidangkan di slot ini adalah Cinta Ilmu, Tawajjuh, Ngaji On The Go, Riwayat Akhir Zaman, Bila Hijab Terbuka, Kembara Masyar, Hakikat Takikat Makrifat dan E-Kaunter Netizen.
“Manakala Slot Kesuma adalah slot khas buat penggemar telefilem tempatan dan antarabangsa. Slot ini akan disiarkan pada setiap Ahad, jam 9 malam dan sesuai dijadikan tontonan seisi keluarga. Untuk Ogos, kami akan siarkan telefilem Dealova, Iqlab dan Kabut Semalam†jelas Namanzee.
SENARAI RANCANGAN ISTIMEWA KEMPEN ULANG TAHUN KE-11 TV ALHIJRAH
- 1. SOLIDARITI YASIN 2.0
9 Ogos 2021, bermula jam 6.30 petang
Selepas kejayaan program Solidariti Yasin 1.0 yang telah disiarkan secara langsung melalui platform digital (Facebook live) dan televisyen, TV AlHijrah akan menyiarkan Solidariti Yasin 2.0 pada 9 Ogos 2021, bermula jam 6.30 petang.
Solidariti Yasin 2.0 yang turut diadakan bersempena dengan sambutan Awal Muharram 1443H ini akan menampilkan Ustaz Wadi Anuar sebagai pentausiyyah dan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai pemimpin bacaan yasin, doa penutup tahun 1442H serta doa pembuka tahun 1443H.
Istimewa, Azan Maghrib akan dilaungkan secara langsung pada hari tersebut.
- 2. SIARAN LANGSUNG ISTIMEWA ULANG TAHUN TV ALHIJRAH
Selasa, 10 Ogos 2021, bermula jam 7 pagi hingga 4 petang
Pada 10 Ogos bersamaan 1 Muharram 1443H, TV AlHijrah akan bersiaran secara langsung dari jam 7 pagi hingga jam 4 petang.
Antara rancangan-rancangan yang akan disiarkan sepanjang 9 jam siaran langsung ini adalah Assalamualaikum, Pada Hari Ini 11 Tahun Yang Lalu, MY # QuranTime Awal Muharram dan #Merisik Khabar.
Assalamualaikum
10 Ogos 2121, 7 pagi
Rancangan Assalamualaikum akan disiarkan pada 7 pagi hingga jam 10 pagi. Istimewanya, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menjadi tetamu jemputan khas sekaligus melancarkan Kempen Sambutan Ulang Tahun Kesebelas TV AlHijrah di dalam rancangan ini.
Selain itu, antara yang menarik di dalam rancangan Assalamualaikum adalah pelancaran bantuan buat usahawan-usahawan tempatan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 menerusi program Bincang Niaga Bangkit Bersama.
Pada Hari Ini 11 Tahun Yang Lalu
10 Ogos 2021, 11 pagi
Tepat jam 11 pagi, program Pada Hari Ini 11 Tahun Yang Lalu akan disiarkan. Program ini adalah imbasan suka duka dan pahit jerih sepanjang sebelas tahun TV AlHijrah bersiaran.
Amin Idris dan Irma Hasmie akan menjadi hos rancangan dan ditemani personaliti-personaliti yang pernah mewarnai program-program di TV AlHijrah seperti Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, Amna Faizal, Ustaz Syed Shahrizan Daud Al-Turabi dan Chef Iskandar Ishak. Program ini akan diselitkan dengan alunan selawat yang akan dipimpin oleh Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan Ustaz Jalal Zaiki.
#Merisik Khabar
10 Ogos 2021, 2 petang.
Pada jam 2 petang, 10 ogos 2021 pula, Abu Talib Husin dan Farah Diana Annuar akan mengambil tempat sebagai hos #Merisik Khabar. Fokus perbincangan lebih tertumpu kepada pengorbanan yang dilakukan oleh frontliners dan golongan-golongan seperti anak seni serta masyarakat yang terkesan akibat pandemik ini.
Antara tetamu yang akan berkongsi ilmu dan pengetahuan pula adalah para asatizah yang tidak asing lagi seperti Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa, Ustaz Syed Norhisham Tuan Padang, Ustaz Dr. Farid Ravi, Ustaz Wadi Anuar, Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi dan Ustaz Abdullah Khairi manakala selawat pula akan dialunkan oleh Ustaz Husaini Mahmur, Ustaz Amir Rahman Dan Ustaz Dr. Anuar Hasin.
Selain itu, TV AlHijrah juga akan turut menyajikan kandungan lain seperti kapsul Kebangkitan Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal menyerikan lagi sambutan ulang tahun TV AlHijrah yang ke-11 ini. Jadi, jangan lupa untuk terus kekal bersama TV AlHijrah, TV Kita Untuk Semua.
Sekian
Untuk mendapatkan maklumat terkini serta menikmati rancangan dan perkembangan semasa dunia dan tanah air, jangan lupa untuk “Like†dan “Follow†laman sosial Facebook TV AlHijrah dan Instagram TV AlHijrah.