Dalam keadaan genting ini, tidak dinafikan berlaku perkembangan dalam mental kita, baik atau buruk. Ramai yang mula merasa hilang semangat, keliru, resah dan mula memikirkan pelbagai perkara yang pada akhirnya boleh merosakkan diri.
Menurut doktor, rasa ‘down’ itu adalah kerana tubuh kita tidak menghasilkan serotonin seperti kebiasaannya dahulu. Sedikit sebanyak, pergerakan kita yang terhad menyumbang kepada keadaan itu.
Apa itu serotonin? Ia adalah sejenis neurotransmitter yang bertindak menghubungkan sel-sel otak dan saraf. Hormon ini bertanggungjawab terhadap keadaan mood kita, dan melaraskan fungsi otak lain seperti selera, pembelajaran, tidur, ingatan dan kognisi. Kalau tahap serotonin rendah, ia menyebabkan kita rasa sugul dan murung.
Jadi, jangan biarkan pandemik ini ‘membunuh’ kita dalam apa cara sahaja sekalipun, maka ini saya kongsikan lima perkara yang boleh diamalkan untuk meningkatkan penghasilan serotonin oleh tubuh kita sekaligus mengembalikan semangat yang hilang.
1. Rajinkan Bersenam
Perasan tak setiap kali kita selesai berjoging atau bersukan, ada satu rasa positif yang kita alami walaupun sudah penat dan bermandikan peluh? Itu disebabkan rembesan serotonin yang terhasil daripada aktiviti fizikal kita.
Berdasarkan satu penilaian pada 2016, bersenam bukan sahaja meningkatkan penghasilan serotonin malah juga aktiviti brain-derived neurotrophic factor (BDNF). BDNF ini menghasilkan protein yang merangsang sel saraf dan ditemui dalam kawasan otak yang mengawal berat badan dan pemakanan.
Buatlah apa sahaja aktiviti fizikal, yoga ke berbasikal ke angkat berat ke, janji bergerak dan berpeluh. Menurut saranan doktor, sekurang-kurangnya 30 minit satu sesi, tiga kali seminggu.
2. Perbaiki Diet Anda
Istilah diet ini bukannya tak makan, dan ia terbahagi kepada dua – diet sihat ataupun tak sihat. Pemakanan yang sihat adalah faktor utama kesejahteraan kesihatan diri kita.
Serotonin terhasil daripada sejenis asid amino dipanggil tryptophan. Kerana tubuh kita tidak menghasilkan sendiri bahan ini, maka ia perlu diperoleh daripada apa yang kita makan. Makanan yang tinggi kandungan tryptophan antaranya ikan salmon, telur, kacang soya dan produknya seperti kicap dan tofu, ayam, sayur bayam dan biji-bijian seperti kuaci dan walnut.
3. Dapatkan cahaya
Pernah dengar tentang orang lebih mudah murung ketika musim sejuk? Dengar macam pelik, tetapi sebenarnya kita manusia juga ada persamaan dengan tumbuhan – kita memerlukan cahaya matahari.
Otak menghasilkan serotonin apabila bertindak balas dengan sinar sang suria. Apabila kulit kita tidak mendapat cahaya matahari yang diperlukan, tubuh boleh mengalami satu keadaan yang dipanggi seasonal affective disorder (SAD).
Jika anda banyak menghabiskan waktu di bawah bumbung, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ini, anda boleh beli lampu khas yang dapat meniru peranan cahaya semulajadi di luar. Doktor nasihatkan supaya pasang lampu ini dalam sejam pertama selepas anda bangun tidur, dalam masa 20-30 minit.
4. Berurut
Dalam satu kajian pada 2005, terapi urutan dapat melonjakkan tahap serotonin dalam purata 28%.
Urutan dapat menurunkan kortisol, hormon yang berperanan dalam situasi ‘lawan atau lari’, membuatkan kita jantung kita berdegup laju dan deria kita lebih peka. Jadi, urutan lebih-lebih lagi oleh orang tersayang boleh menenangkan tubuh kita.
Siapa yang tak rasa bahagia selepas diurut, kan?
5. Ambil Suplemen
Selain daripada makan makanan sebenar, pengambilan makanan tambahan seperti pil suplemen dapat membantu tubuh mendapat tryptophan yang bertanggungjawab menghasilkan serotonin.
Namun doktor berpesan supaya orang yang sudah mengambil antidepressant seperti SSRI untuk tidak mengambil lagi suplemen tryptophan. Kalau ada bukan, antara suplemen yang boleh diambil adalah SAMe (S-adenosyl-L-methionine), St. John’s Wort dan 5HTP.
Apa pun, ini sekadar cadangan. Penting untuk dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa suplemen. Badan kita lain-lain, masing-masing tak sama.
Semoga ini dapat membantu kalian supaya terus bersemangat untuk menempuh hari-hari yang mendatang dengan lebih rancak. Rancak TV peduli.
*Sumber: Insider