Stesen televisyen juga menyumbang kepada proses kejayaan #dudukrumah dan dalam meraikan sambutan Hari Deepavali tahun ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV2 menjanjikan tayangan 10 program khas tontonan bersama yang tersayang.
Sepanjang dua hari berturut-turut iaitu 14 dan 15 November ini, bermacam-macam genre pilihan program boleh dinikmati penonton. Sesi tontonan bermula dengan tayangan pada 14 November ini iaitu telemovie “En Iniya Ponnilave”, pukul 10.00 pagi. Kisah tentang seorang anak gadis bernama Pungguzhali yang berusaha untuk mencari wanita pertama yang dicintai oleh datuknya, Govinthasamy yang juga mempunyai nama yang sama dengannya.
Kebetulan, wanita itu adalah nenek kepada Roshan, rakan sekolah yang selalu membulinya. Pungguzhali berhasrat untuk bekerjasama dengan Roshan untuk menjemput neneknya ke rumah untuk berbual-bual dengan Govinthasamy sempena perayaan Deepavali.
Seterusnya saksikan “Pertandingan Akhir Bintang Minnal @ RTM 2020”, pukul 2.00 petang yang mengetengahkan keupayaan lapan peserta akhir bertanding mendendangkan lagu dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Tamil yang semestinya menguji tahap ketahanan vokal mereka. Peserta bertanding ialah Piraveen, Mithelle, Thiviya, Dhana, Gayathiry, Arulini, Jaya Bharkavee dan Ruhan.
Menerusi telemovie “Vedigundu Pasangge”, pukul 4.00 petang, RTM membawakan cerita Theva yang menguruskan kebun pisang milik ayahnya dan jatuh cinta dengan Vithya. Manakala bos pula merupakan seorang peragut di Kuala Lumpur. Theva berdepan dengan pelbagai konflik sehinggakan dia merasa hidupnya diselubungi misteri.
Dalam telemovie “Vazhi”, pukul 8.30 malam terbitan Unit Drama TV RTM, ditonjolkan watak seorang suami mengajar isterinya memandu kereta di sebuah padang bola. Siva terpaksa mengajar isterinya Kamini memandu kerana Siva tidak dapat pulang ke rumah atas urusan kerja sempena Deepavali. Siva tertekan dengan Kamini yang sering mempersoalkan caranya mengajar. Berlaku pelbagai aksi lucu antara suami dan isteri ini. Kamini akhirnya berjaya membawa kereta dengan cemerlang walaupun Siva cedera dan perlu dikejarkan ke hospital.
Kemudiannya diteruskan dengan program hiburan “Ithu Enggal Deepavali”, pukul 9.00 malam yang berkonsepkan variasi ini menggambarkan kegembiraan dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia menyambut Hari Deepavali bersama-sama dalam keadaan norma baharu. Konsep oli Tharuvom, digambarkan melalui berbuat baik sesama masyarakat agar hidup aman sejahtera. Penampilan khas youtuber Sugu Pavithra, pelakon komedi popular Sathiya dan DJ Minnalfm menerajui segmen #olitharuvom. Pengacara program Banumathi dan DJ Theyvigan (Minnalfm). Turut menampilkan artis popular dalam persembahan ini antaranya Shantesh, Floor 88, Abimnayu, Darshaini, Kumaresh.
Kemuncak tayangan 14 November ini dalam plot cereka Tamil diberi tajuk “Thirutthu Payale 2”, pukul 10.30 malam membawa cerita seorang polis menyiasat kes di facebook yang mempergunakan dan memperdayakan wanita-wanita yang tidak bersalah. Pelakon Amala Paul, Shyam Prasad dan Prasanna.
Esoknya, 15 November 2020 ikuti tayangan program khas bual bicara berbahasa Inggeris iaitu “Fresh Brew”, pukul 11.00 pagi dan diikuti bual bicara berbahasa Tamil iaitu “Vasantham”, pukul 1.00 tengah hari. Kedua-duanyamemaparkan segmen menarik khas Deepavali.
Telemovie “Laddu”, 2.00 petang yang menyusul kemudiannya pula mengisahkan Saranya merancang untuk menggembirakan anaknya Jeeshvani (Laadu) yang menghidap barah otak sempena sambutan Deepavali. Rakan-rakannya sekolah Laddu turut membantu menjayakan 10 rancangan ibu Laddu.
Program meraikan Deeapavali di TV2 tahun ini diakhiri dengan filem bertajuk “Velaikkaran”, pukul 9.30 malam. Menarik dikongsikan kisah perjuangan seorang pekerja bawahan menentang majikannya yang telah mengetepikan kebajikan pengguna dalam produk makanan yang djual. Kemarahan tercetus apabila seorang ibu kehilangan anaknya akibat memakan makanan ‘chemical’ keluaran majikannya.