Menurut Portal GUA, penyanyi Imran Ajmain baru-baru ini meluahkan rasa kecewa kerana sehingga kini buku tulisannya, ‘Selamat Ulangtahun Sayang’ masih belum dilancarkan oleh sebuah syarikat penerbitan.
Menurut Imran, buku yang siap ditulis pada tahun lalu itu sepatutnya dilancarkan pada Jun 2011, namun syarikat penerbitan itu menangguhkan pelancarannya kerana mahu menerbitkan buku ‘100 Hari Tanpa Rokok’ yang juga ditulis olehnya.
“Saya rasa agak terkilan dengan keputusan syarikat penerbitan itu kerana kalau boleh saya mahu ‘Selamat Ulangtahun Sayang’ menemui peminat terlebih dahulu kerana ia sebuah buku inspirasi istimewa buat peminat saya. Selain boleh dijadikan koleksi sendiri, buku ini juga sangat sesuai dijadikan hadiah harijadi kerana ia mengandungi cerita-cerita dan puisi-puisi yang boleh dijadikan inspirasi buat yang tersayang.
Saya pernah menghubungi mereka bertanyakan tentang perkara ini, tetapi mereka mahu saya siapkan buku ‘100 Hari Tanpa Rokok’ dahulu. Selepas buku ini dipasarkan, barulah mereka mahu lancarkan Selamat Ulangtahun Sayang. Sekarang ini, buku ‘100 Hari Tanpa Rokok’ telah pun siap ditulis, tetapi saya sengaja melengahkan penghantarannya. Biarlah buku hasil tulisan pertama saya keluar dahulu. Seandainya pihak penerbitan itu masih bermain tarik tali dengan saya, mungkin saya akan mencari syarikat penerbitan lain untuk ‘100 Hari Tanpa Rokok’,
Dalam perkembangan lain, Imran Ajmain akan muncul dengan single terbaru berjudul ‘Dikalung Kasih’, ciptaan Azlan Abu Hassan dan B.Azhar. Lagu ini telah pun diperdengarkan di dalam telefilem Senandung Cinta Semalam di Slot Cerekarama baru-baru ini. Jelas Imran selepas lagu itu diperdengarkan, dia mendapat maklum balas yang positif daripada peminat dan boleh dikatakan ramai yang menyukainya.
“Saya akan muncul dengan single dahulu sebelum tampil dengan album. Bukan tidak yakin dengan pasaran sekarang tetapi saya tidak mahu tergesa-gesa. Biar ambil masa sedikit asalkan hasilnya memuaskan. Jika tidak ada masalah, mungkin album ini akan siap pada hujung tahun ini. Album kali ini agak berbeza kerana ia memuatkan lagu-lagu yang digubah oleh komposer lain seperti Azlan Abu Hassan dan Altimet,” ulas Imran.