PROGRAM REALITI : IMPIAN 1MALAYSIA DIREALISASIKAN BERSAMA POS MALAYSIA MULAI 10 OGOS 2010 DI TV1
Kebanyakan program realiti TV begitu sinonim dengan pertandingan nyanyian atau lakonan yang membabitkan penyertaan golongan muda terutama remaja yang mahu bergelar artis. Namun Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Pos Malaysia kali ini mencetuskan kelainan di luar konsep hiburan dengan mengetengahkan program realiti TV Impian 1Malaysia.
Program ini membuka peluang kepada rakyat iaitu penonton bertuah dan terpilih untuk merealisasikan impian masing-masing menerusi pengembaraan mendekati masyarakat Malaysia selain memberi pendekatan dan penekanan kepada kepelbagaian suku kaum yang terdapat di negara ini. Program ini dilihat mampu mengitegrasikan perpaduan kaum dan budaya rakyat Malaysia selain meningkatkan pemahaman generasi muda terutamanya terhadap Gagasan 1Malaysia yang dilihamkan oleh YAB Perdana Menteri.
Menurut Datuk Ibrahim Yahaya, Ketua Pengarah RTM, ”Impian 1Malaysia juga dilihat menjadi satu landasan dalam usaha mendekatkan generasi muda dalam mengenali dan memahami asal usul, budaya dan kehidupan kepelbagaian etnik di negara ini selain memberi ruang untuk rakyat Malaysia menafsir, mendefinisi serta menghayati konsep 1Malaysia mengikut acuan serta panduan yang diberi dengan lebih terperinci”.
”Pos Malaysia amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan RTM di dalam program ini di mana kami amat menyokong Gagasan 1Malaysia, malah perkhidmatan yang ditawarkan oleh Pos Malaysia juga sejajar dengan konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian DiUtamakan melalui pelbagai jenis produk termasuk pelan transformasi yang dilaksanakan yang tidak lain dan tidak bukan untuk memberi perkhidmatan yang selesa dan berkualiti untuk rakyat”, kata Dato’ Syed Faisal Albar, Pengarah Urusan Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia.
Menampilkan tagline “Sejuta Impian, Sejuta Tafsiran Dalam Impian 1Malaysia”, program Impian 1Malaysia bersiaran mulai 10 Ogos 2010, setiap Selasa, jam 9.30 malam menerusi TV1 dan akan bersiaran selama tiga bulan. Dua episod Diari yang akan mengimbas kembali semua 10 episod impian yang telah direalisasikan akan turut disiarkan dalam tempoh tersebut sebelum pemenang diumumkan pada Malam Anugerah Impian 1Malaysia.
Rakaman 10 episod rancangan secara realiti telah dijalankan selama 2 bulan mulai Mei 2010 hingga akhir Julai 2010 dan setiap pemegang impian berjaya melalui suka duka kembara yang diimpikan. Terjemahan impian dibuat dalam perspektif mereka sendiri dan pihak produksi hanya melengkapkan cerita yang diimpikan.
Gandingan dua pengacara berbakat, Qushairi Razali (Qi) dan Nur Izzati Abul ’As, model iklan dan juga peserta program ’Penyampai Ikon’ terbitan RTM menceriakan lagi program ini yang dijalankan secara santai.
10 peserta yang telah terpilih merealisasikan impian mereka menerusi program ini ialah;
1. Nurzulayla Hamedan (Melaka) yang mahu menyelami cara hidup etnik Sabah
2. Farah Lydia Mokhtar (Kuala Lumpur) yang berminat mempelajari Tarian Mak Yong
3. Donny Thomas (Sabah) pula ingin menyelami kehidupan orang asli di Semenanjung Malaysia
4. Azrol Johan (Pahang) mahu menjadi sukarelawan di Rumah Orang Tua
5. Teng Swee Kim (Selangor) ingin mempelajari bahasa dan budaya orang Jawa.
6. Hassan Suliman (Labuan) mahu melihat KLCC dan cara hidup warga KL
7. Siti Sarah Lee (Kuala Lumpur) berhasrat mengenali cara hidup di kampung
8. Nurhafeezha Ali (Sarawak) mahu tinggal bersama keluarga Baba dan Nyonya
9. Nor Yazmin Nordin (Kedah) ingin mempelajari seni mempertahankan diri kaum Cina
10. Yogaraj Vijayakumar (Johor Bahru) mahu tinggal lima hari bersama etnik Penan.
Menariknya program ini mengetengahkan tiga segmen bermula dengan segmen pertama iaitu “Cerita Saya…” di mana ia adalah segmen pengenalan profil pemegang impian yang dipilih mengenai impian dan juga latar belakangnya. Segmen kedua, “Kembara…” akan menceritakan realiti kembara hos dan pemegang impian dalam menyusuri cerita tentang “1Malaysia”. Dan segmen terakhir,”Xpresi…” akan menyaksikan pemegang menzahirkan pengalaman kembara melalui media yang dipilih sama ada poskad, jurnal atau surat.
.
Uniknya juga program ini adalah penonton RTM akan turut berpeluang memilih 3 impian terbaik daripada 10 impian yang telah direalisasikan dengan menghantar Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) di mana pemarkahan dibuat berdasarkan 50 peratus dari juri khas dan 50 peratus juri awam yang terdiri daripada penonton RTM.
Tiga pemenang impian terbaik akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai dan beberapa hadiah iringan. Hadiah-hadiah yang ditawarkan kepada pemenang adalah Hadiah Impian terbaik (RM 15,000.00), Hadiah Impian Kedua Terbaik (RM 10,000.00) dan Hadiah Impian Ketiga Terbaik (RM 5,000.00).