in ,

Drama Bersiri IMAM MUDA DARI CAIRO LAKONAN Ashraf Muslim & Reen Rahim

Kisah perjalanan hidup seorang mualaf yang kematian tunang, tetapi bertambah yakin dengan akidahnya apabila mengenali seorang doktor iaitu bekas pelajar dari Qairo, berwatak da’i lagi faqih dalam hal agama. Drama bersiri keagamaan dan kekeluargaan bertajuk “Imam Muda Dari Cairo” ini bakal menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 26 Julai ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 11.30 pagi menerusi saluran TV1.

drama bersiri Imam Muda Dari Cairo

Menampilkan lakonan mantap Ashraf Muslim, Reen Rahim, Aliah Vee, Delimawati, Yus Waisar, dan Aleeza Shahdan, siri 13 episod ini bermula dengan perkhabaran berita Fitri akan pulang dari Qairo. Bukan sahaja Hjh. Naufal yang amat ternanti-nanti kepulangan anak tunggalnya, tetapi juga anak-anak dara sekampungnya. Fitri dijangka tidak akan pulang ke Qairo dan akan bertugas di mana-mana klinik mengikut arahan.

Dalam pada itu, seorang pemuda Kheir, amat mendendami Hj. Yusof, ayah Fitri yang juga Imam kampungnya kerana satu sejarah silam yang tidak akan padam dari ingatannya. Puteri, yang baru sahaja tamat dari UPSI cuba menasihati abangnya agar melupakan sahaja perkara yang telah 20 tahun berlalu.

Bagi Kheir, kematian kedua orang tuanya dalam kemalangan adalah disebabkan oleh Hj. Yusof, tanpa mengetahui arwah ayahnya yang memandu kereta di dalam hujan lebat bersama emak dan Hj. Salim sebagai penumpang. Dia marah dan tidak kisah walaupun dia dan Fitri adalah kawan karib sejak kecil lagi.

babak dalam Imam Muda Dari Cairo

Kini Fitri telah menjadi seorang doktor di pekan dan Puteri pergi berjumpa Fitri bagi mendapat laporan kesihatan untuk membuat pendaftaran bertugas sebagai guru di sekolah kampung mereka. Pada masa yang sama, Daim penyelia syarikat perabot Hj. Yusof pergi ke pekan untuk mendapat bahan perkahwinannya dengan Indah Maisara. Tetapi Daim mendapat kemalangan jalanraya.

Indah Maisara tertekan dengan berita kematian Daim. Mujur ada Hj. Salim dan isteri membawa Indah bersama pulang bagi menenangkan perasaannya. Puteri terserempak dengan doktor di tepi kedai, yang memperkenalkan namanya Fitri, sehingga Puteri rasa nama tersebut pernah dia kenalinya.

Di hospital, Dr. Fitri terjumpa pula dengan Indah, lalu mengajaknya untuk dibuat pemeriksaan perjalanan degupan jantung, di samping memberi nasihatnya. Keadaan Indah yang keseorangan kematian ibunya, meninggalkan agama dan kampung halamannya, kini ditinggalkan Daim, menjadi pokok perbualan Hj. Yusof sekeluarga. Bagi Indah semua pengorbanannya adalah demi jodohnya untuk bersama Daim.

Indah Maisara terasa damai berada di rumah keluarga Hjh. Sakinah, emak Fitri. Malah dia gembira menerima tawaran keluarga Fitri untuk tinggal bersama mereka bagi mendekati pelajaran agama. Fitri pula sedia memberi bantuannya untuk mengajar perkara fardu ain kepada Indah, pada masa dia terluang dari tugas hospitalnya.
Ketika Fitri berada di stesen pam minyak, dia terserempak dengan Kheir, kawan sejak kecilnya. Pertemuan tersebut membangkitkan kemarahan Kheir yang menganggap dan menuduh keluarga Hj. Yusof telah merampas segala-gala darinya. Walaupun sikap Kheir agak keras dengan sesiapa sahaja, tetapi dia tetap berlembut dengan adik kesayangannya Puteri.

Kheir semakin menjadi-jadi dengan sikap panas barannya yang kemudiannya dilepaskan kepada Puteri dan pekerja-pekerjanya. Kheir turut memberi amaran agar Fitri tidak mendekati adiknya. Puteri pergi ke resort dan terjumpa dengan Fitri yang sedang menunggu Indah untuk mengajar kelas fardu ain, sebagaimana Fitri janjikan. Fitri sempat memperkenalkan Indah kepada Puteri.

Fitri amat gembira menerima berita dari Indah yang menyatakan pihak resort mahu memperluaskan kelas pengajaran agama di resort. Namun hati Fitri kurang tenang, teringatkan kisah sejarah keakraban kanak-kanak di antara dia dan Kheir amat menyetuh jiwanya dan kini Fitri sedar semuanya telah sangat berubah. Bagi Putreri pula setiap pertemuannya dengan Fitri membawa penuh makna yang tersirat rasa cinta. Indah, pergi ke pusara Daim, terkenan dirinya bersama Daim yang telah berlalu pergi bersama hayatnya.

Puteri terkejut bila Kheir yang bercadang hendak menutup restorannya. Amran, pekerja Kheir memberitahu Puteri yang dia mahu membantu. Cadangan mereka untuk membuat masakan Barat di restoran, dipersetujui oleh Puteri, yang risau dengan keadaan restoran abangnya. Di samping masalah restoran, jiwa Puteri agak resah dengan keadaan perhubungan Indah, yang dia fikirkan semakin intim dengan Fitri, sehingga dia sanggup tidak menjawab setiap panggilan dari Indah.

Kheir amat marah dengan Amran dan Sani kerana telah membuat resepi masakan Barat, yang pada awal lagi tidak digemarimya, walaupun kini dia tahu ia mendapat sambutan pelancong. Puteri mengaku dia yang bertanggung jawab kepada perubahan resepi Barat dan Puteri pengsan sewaktu Kheir melepaskan kemarahannya.

Sementara itu, Indah memberi penerangan kepada Puteri tentang tujuannya bersama Fitri untuk mendirikan projek sekolah tahfiz. Dalam masa yang sama Hj. Yusof dan Hjh. Sakinah berbincang tentang jodoh Fitri yang difikirkan ada kaitan dengan Indah. Puteri malu apabila Fitri telah mendapat tahu dari Indah yang dia cintakan Fitri. Namun begitu, Fitri masih belum bersedia untuk bercinta lagi.

Justeru siapakah yang menjadi pilihan Fitri? Adakah projek membuka tahfiz yang dirancang olh Fitri dan Indah menjadi kenyataan?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Regas Premium Sabah dan BMW Malaysia Mengalukan Wakil Pengedar Terbaharu di Kota Kinabalu

I Can See Your Voice Malaysia Rancangan Muzik Misteri?